*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
{ Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net }
{ Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] }
{ Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] }
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Delivered by: Ustaz Taib Azamudeen b. md. Taib
Date: Mac 1998
CINTAKAN DUNIA SENARIO UMMAH .
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Bertaqwalah kita kepada Allah S.W.T dalam tempoh hidup yang masih ada
sebelum datangnya hari di mana harta dan anak pinak sudah tidak bermakna
lagi. Hati yang tenteram dan sejahtera sahaja yang dapat memberi makna di
hari tersebut.
Sesudah lebih kurang 52 tahun rata-rata Islam mencapai kemerdekaan. Jumlah
penduduknya 20 peratus daripada penduduk dunia, namun ia masih merupakan
umpama buih seperti yang pernah dimaksudkan baginda Rasulullah s.a.w.
Rata-rata umat Islam di Asia dan Afrika masih dirundung malang. Kualiti
rendah dari segi iman, ilmu, kemahiran, teknologi mahupun kegersangan
produktiviti. Lebih memalukan lagi apabila tidak mampu untuk memperlihatkan
akhlak dan moral yang baik.
Masyarakat Islam terus berpecah sama ada dalam politik, pemikiran aqidah,
fahaman Islam, sosial dan semakin lemah dari segi kerjasama muhibah dan
kasih sayang.
Para sahabat pernah bertanya kepada Nabi s.a.w, kenapa fenomena ini berlaku?
Adakah jumlah umat Islam itu sedikit? Baginda menjawab: Tidak, mereka ramai!
Tetapi mereka ditimpa dua penyakit, iaitu cintakan dunia dan bencikan mati.
Dalam bahasa tamadun cintakan dunia bermaksud kita menjadi umat yang suka
berseronok, berhibur, hidup bermewah-mewah, berpesta, beromong-omong kosong.
Anak-anak mudanya tanpa tujuan, tidak ada idealisme perjuangan, tidak
produktif.
Inilah senario umat yang lemah, lebih banyak berprasangka dari bermuafakat.
Lebih banyak mempersoalkan hal remeh temeh daripada membincangkan soal dasar
dan prinsip. Yang selebihnya gejala-gejala rasuah, mengapu, beraksi dengan
'title' dan gelaran, tetapi dalam waktu yang sama sukar mengaku kesalahan
diri sendiri. Berbanding di zaman kegemilangan Islam mereka merasa selesa
kalau ada orang sanggup menegur kesalahan. Allah S.W.T amat murkai mereka
yang hidup cenderong kepada dunia atau "hubbu al-Dunya" sehingga mendustakan
ayat-ayat Allah S.W.T. Firman Allah yang bermaksud:
" Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan darjatnya dengan
ayat itu, tetapi dia cenderong kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya
yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya
diulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia mengulurkan lidahnya
juga. Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat
Kami. Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka
berfikir. (Surah al-A'raf:176)
Kaum muslimin yang berbahagian,
hubbu al-Dunya atau cintakan dunia yang dimaksudkan itu juga makin dirasai
bahangnya oleh umat Islam kita akhir-akhir ini. Akibat dari gejala sosial
makin hebat menyerang masyarakat kita, bermula di bandar sehinggalah ke
kampung pendalaman serta tidak kurang pula di tanah-tanah rancangan,
semuanya menjadi seolah-olah tidak terkawal.
Banayak persoalan yang timbul di kalangan kita umpamanya, kenapa dan mengapa
keadaan ini menjadi semakin menjadi-jadi dalam masyarakat kita? Lebih-lebih
lagi yang terlibat peratusan yang tinggi ialah dari kalangan umat Islam,
dari yang bergelar nenek hinggalah keperingkat yang baru mumayyiz.
Sebenarnya masalah sosial bukan masalah baru. Ia wujud dalam setiap
masyarakat yang dinamik. Cuma bentuk mungkin berbeza mengikut masa.
Umpamanya sebelum merdeka dahulu, Malaysia tidak menghadapi banyak masalah
penyalahgunaan dadah, tetapi setelah merdeka dadah menjadi musuh nombor satu
negara menggantikan ancaman komunis. Apabila tahap ekonomi negara meningkat
baru-baru ini ada yang tidak dapat mengawal nafsu sehingga sanggup
berbelanja boros serta membazir, akibatnya tabiat ini terbawa-bawa hingga ke
zaman ekonomi meleset ini yang sepatutnya mereka berjimat cermat. Tetapi
oleh kerana cintakan dunia itu lebih menguasai diri maka usaha-usaha ke arah
yang tidak positif itu sulit kepada sesetengah orang.
Bahkan tidak dinafikan terdapat tanda-tanda yang cukup jelas di kalangan
anggota masyarakat kita yang dipengaruhi "hubbu al-Dunya" cinta dunia lupa
tanggungjawab sebagai ibu bapa yang baik, sebagai majikan yang penyayang,
sebagai guru yang berdisiplin, sebagai peniaga atau saudagar yang amanah dan
sebagai individu yang bermoral dan berakhlak. Yang paling menyayat hati
apabila sebagai muslim yang beriman sanggup mengenepikan iman dan aqidah
yang benar semata-mata kerana memenuhi nafsu cintakan dunia itu.
Kaum muslimin yang berbahagia,
Citarasa masyarakat yang dipengaruhi cintakan dunia akan lebih cenderong
untuk meniru, memuja dan menyanjung untuk dijadikan model, contoh dan
teladan tidak lagi kepada mereka yang terdidik, yang terpimpin dan yang
banyak berjasa. Tetapi sebaliknya mereka cenderong untuk mengikuti langkah
dan rentak mereka yang sedang menempah nama, sedang meningkat naik dan yang
telah maju dalam dunia "glamour".
Dunia "glamour" di negara kita bukan dunia intelek, bukan dunia ulama' dan
ilmu pengetahuan atau dunia kepimpinan dan politik, tetapi dunia hiburan,
lakonan dan nyayian. Tambahan pula mereka yang dari kumpulan inilah yang
sering mendapat tempat dalam masyarakat dan media. Orang-orang dunia glamour
inilah yang dapat muncul di hadapan kamera beraksi sebagai pasangan yang
amat intim semata-mata kerana mereka sedang bercinta atau bertunang.
Berbaring di atas riba sofa dan penuh ghairah. Berpeluk-peluk seperti
pengantin baru dan pelbagai lagak sumbang yang lain.
Andaianya keadaan ini dibiarkan berterusan tanpa apa-apa langkah dan
tindakan kawalan maka kualiti umat Islam sebagai 'khairu ummah' atau umat
pilihan akan tersisih. Mereka memiliki iman, tetapi seperti kata al-marhum
Malik bin Nabi: Yang mereka miliki ialah iman individu yang sudah hilang
sinar sosialnya. Iman yang tidak punya kekuatan untuk mencerna kegemilangan
peradaban dan tamadun iman yang rapuh. Iman yang seumpama ini juga terjumlah
sebagai iman mereka yang mempersendakan agama. Firman Allah yang bermaksud:
"Orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai main-main dan senda gurau
dan kehidupan dunia telah menipu merka maka pada hari ini (hari Kiamat) Kami
melupakan mereka sebagaimana mereka melupakan pertemuan mereka dengan hari
ini, dan sebagaimana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Kami. (Surah
al-A'raf"51)".
Kaum muslimin yang berbahagia,
Dalam pada kita membincangkan tugas-tugas dan tanggungjawab kita sebagai
umat Islam dalam pelbagai sudut dan pelbagai bidang terhadap semua peringkat
dan lapisan masyarakat kita agar kedaulatan umat Islam terpelihara jua
sudahnya. Maka kita juga perlu peka dengan perkembangan media massa. Tidak
dinafikan semakin kita membangun semakin banyak elemen-elemen negatif akan
di bawa masuk menerusi rangkaian media yang semakin canggih.
Pakar-pakar komunikasi mengakui media adalah satu alat yang paling berkuasa
dalam mencerna dan membentuk minda masyarakat. Sesuatu yang tidak dinafikan
kebanyakakan filem-filem rancangan hiburan dan bahan maklumat yang dibawa
masuk ke negara ini datangnya dari barat atau yang ditiru dari barat. Jadi
dengan sendirinya masyarakat kita sedang dibayangi budaya barat yang
sebahagian besarnya songsang dan bertentangan dengan budaya Islam.
Kemasukan bahan-bahan melalui internet pula lebih cepat sampai ke
bandar-bandar berbanding di luar bandar. Ini bermakna masyarakat di
bandarlah yang lebih 'advance' dalam mempelopori kemasukan elemen-elemen
yang selain dari positif maka yang negatif juga dari barat. Hasil dari
sesetengah keadaan negatif inilah masyarakat di bandar umumnya terbawa-bawa
serta terpengaruh dengan cara hidup individualistik dan materialistik
sehingga ada yang hilang langsung norma-norma budaya bangsa timur.
Kita juga amat sedih apabila melihat bangsa melayu yang terkenal dengan
budaya bersopan-santun, lemah-lembut, berhemah tinggi, pemalu dan berakhlak
mulia, telah bertukar menjadi jaguh dalam banyak kes keruntuhan akhlak,
budaya samseng dan gejala sosial yang lain. Firman Allah S.W.T yang
bermaksud:
"Jika kamu berbuat baik bererti kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan
jika kamu berbuat jahat maka kejahatan itu bagi dirimu sendiri.(Surah
al-Isra':7)".
---
Outgoing mail is certified Virus Free.
Checked by AVG anti-virus system (http://www.grisoft.com).
Version: 6.0.307 / Virus Database: 168 - Release Date: 12/11/01
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB)
( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB)
( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan )
( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net )
( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] )
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengirim: "HISYAMUDIN MOHD HASNI" <[EMAIL PROTECTED]>