*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
{ Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net }
{ Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] }
{ Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] }
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
<Picture>���http://detik.daily.tripod.com/jan02/22jan_4.htm ��<Picture>
MENGAPA KEADILAN-BA KALAH TERUK DI INDERA KAYANGAN
Oleh : DR SYED HUSIN ALI
Calon MCA-BN telah mengalahkan pencabarnya dari keADILan-BA dengan majoriti lebih
besar di Indera Kayangan. Berbanding dengan pilihanraya 1999, kali ini BN menambah
majoriti dengan kira-kira 700 undi kepada kurang sedikit dari 2,600. Tandanya jelas
apabila pengiraan undi pos, daripada pasukan polis yang terkawal rapi, menghasilkan
700 undi bagi BN dan cuma 22 bagi BA. Dari mula-mula, BA mengetahui bahawa untuk
menang memang susah, akan tetapi mereka mengharapkan sekurang-kurangnya dapat
mengurangkan majoriti.
Sepanjang masa, sejak sebelum hari penamaan calon lagi, BA jelas sekali tidak dapat
melawan BN dari segi propaganda, kewangan dan organisasi. Sesungguhnya keADILan-BA
telah berhadapan dengan seluruh kekuatan pemerintahan BN.
Serangan propaganda melalui media elektronik serta cetak mengenai Afghanistan,
Taliban, keganasan dan Negara Islam telah dipertingkatkan semasa tempoh berkempen.
Walaupun ada yang merasakan Afghanistan serta Taliban berada jauh, namun ramai peniaga
Tionghua dan sebahagian kelas menengah di Indera Kayangan merasa tergugat oleh
propaganda BN yang diulang-ulang itu. Mereka bimbang kekacauan serta ketidakstabilan
akan berlaku dan kontrak atau lesen mereka akan ditarik balik sekiranya BA menang.
Sememangnya wujud juga rasa curiga terhadap PAS dan Islam, terutama di kalangan bukan
Islam, yang berterusan disogok dengan propaganda fitnah parti dan pemerintah BN.
Serangan dari beberapa anasir di luar pemerintah juga tidak membantu BA. Liputan luas
yang diberi kepada penangkapan kumpulan KMM, yang dibuat kena pada masa, menambahkan
lagi suasana psikologi ketakutan umum. KeADILan dicap oleh MCA khususnya sebagai
dikuasai oleh PAS.
BN menguatkan lagi kesan taktik menakut-nakutkan ini dengan beberapa tindakan ganas
oleh anasir samseng. Mereka memecahkan cermin kereta milik penyokong serta pemimpin
BA, dan memukul serta mencederakan petugas-petugas BA. Bahkan mereka telah juga
membelasah seorang pegawai polis sehingga patah gigi depan. Pegawai itu cuba menyekat
tiga buah bas dari Taman Medan, Petaling Jaya, diketuai Norkhaila, anggota Exco
Selangor, yang dipercayai membawa undi hantu. Semua bas ini serta penumpang yang
ditahan di balai polis telah dilepaskan pada jam 4.30 petang, setelah TPM Abdullah
Badawi melawat balai berkenaan.
Setiap hari para menteri, pemimpin BN dan �penganalisis politik� muncul di kaca
televisyen. Sebaliknya , keADILan-BA tidak diberikan satu saat pun untuk menjelaskan
dasar serta pendirian mereka melalui media itu. Akhbar perdana yang dimiliki atau
dikuasai parti-parti pemerintah terus memutar-belit segala tindakan atau kenyataan BA.
Berbeza dengan di Lunas, manakala media Tionghua lebih neutral bahkan kadang-kadang
menyokong BA, di Indera Kayangan pula akhbar-akhbar ini, yang lebih dikongkong oleh
MCA-BN terang-terangan menyokong calon mereka.
Akan tetapi, yang sangat signifikan ialah walaupun propaganda, fitnah dan taktik kotor
yang ditujukan terhadap BA sangat hebat, namun undi Tionghua yang diperolehi BA
bertambah dari kira-kira 10 peratus pada tahun 1999 kepada lebih 30 peratus kali ini.
Didapati lebih banyak golongan muda Tionghua yang mengundi BA berbanding dengan
golongan tua dan wanita. Nampaknya mereka tidak tergugat sangat oleh propaganda
keganasan berikutan serangan di New York pada 11 haribulan September dulu.
Yang merosot ialah undi Melayu, daripada kira-kira 65 kepada 40 peratus. Ini akibat
daripada sumber kewangan BN yang tidak terbatas dan jentera pilihanraya mereka yang
berkesan.
Sebelum penamaan calon lagi, MB Perlis mengadakan majlis kenduri tiap-tiap malam.
Mengikut laporan yang dipercayai beliau telah memerikan RM100 seorang kepada bakal
haji, berjumlah RM83,000. Mengapa dekat pilihanraya? Sesetengah pemimpin PAS pun
merasa khuatir kerana beberapa petugas mereka mulai menghilangkan diri setelah
diberikan sampai RM500-1000 seorang oleh BN. Semua orang Kangar tahu bahawa pemimpin
serta anggota keADILan tempatan yang masuk UMNO ada harga sendiri. Melalui sistem
�anak angkat� pula, banyak keluarga pengundi menerima wang dan makanan. BN mampu
melakukan pelbagai sogokan.
Boleh dikatakan jentera pilihanraya BN kuat, terima kasih kepada kekayaan BN. Sebelum
wakil rakyat yang lalu meninggal, UMNO-BN telah mendirikan pos-pos dan mengupah
anggota serta penyokong UMNO untuk menjadi �anak angkat� kepada banyak keluarga di
kampung dan taman kediaman. Mereka bertumpu kepada kawasan-kawasan yang telah
memberikan banyak undi kepada keADILan dalam pilihanraya lalu. Setelah penamaan calon,
lebih banyak lagi �anak angkat� sampai, terdiri daripada Puteri UMNO. Di antara mereka
kelihatan pelajar-pelajar dari pusat pengajian tinggi, yang kononnya dilarang
berkempen oleh pemerintah.
�Anak angkat� bukan saja menjadi saluran bagi sogokan wang serta bekalan makanan dari
BN, bahkan digunakan untuk menyekat keluarga angkat mereka daripada menghadiri ceramah
atau menemui perayu undi BA. Kawasan-kawasan kampung atau taman kediaman itu dikepung
oleh orang BN, dan beberapa orang petugas keADILan-BA yang cuba masuk dihalau dan ada
juga yang dipukul oleh anasir samseng BN. Hanya pada dua hari terakhir baru pemimpin
serta petugas keADILan BA berjaya masuk, akan tetapi sudah agak terlewat dan terbatas
kesannya. Pengundi-pengundi dalam keluarga angkat ini disuruh bersumpah dengan Quran
untuk mengundi calon MCA-BN sebagai membalas budi segala �hadiah� yang diterima. Pada
hari mengundi, mereka diiringi ke tempat mengundi dengan rapi.
Selain jentera sendiri, UMNO-BN juga menggunakan institusi serta kakitangan
pemerintah. Selama beberapa hari kenderaan Jabatan Penerangan terletak di Taman
Kemajuan, yang banyak undi Melayu, sedang pegawai-pegawai jabatan itu berkempen untuk
BN. Pegawai tinggi Majlis Bandaran Kangar pula telah mengarah pekerja-pekerja
menurunkan poster serta bendera BA kerana kononnya melanggar undang-undang. Akan
tetapi mereka tidak bertindak terhadap BN pula. Hanya setelah BA membuat aduan, baru
pegawai-pegawai majlis bandar ini memulangkan segala milik BA yang telah mereka
rampas.
Jelas sekali bahawa sogokan, ugutan dan kawalan BN membantu mereka mendapat lebih
banyak undi Melayu kali ini. Akan tetapi, tidak boleh dinafikan pula bahawa
keADILan-BA mempunyai kelemahan sendiri juga. Sudah pasti BA tidak akan dapat
menyaingi BN dari segi wang dan kuasa di mana dan bila masa saja. Akan tetapi ia boleh
dan patut bekerja kuat untuk memperbaiki jentera parti di semua peringkat, terutama
sekali di peringkat akar umbi.
Dari segi organisasi keADILan memang lemah di Kangar dan Perlis. Ia ditambah lemahkan
lagi apabila beberapa orang pemimpin dan anggota keluar parti. Sungguhpun sebenarnya
tidak sampai satu dozen yang keluar, bukannya beratus-ratus sebagaimana yang
dibesarkan melalui propaganda BN, ia telah cukup untuk merosakkan imej. Akan tetapi,
Anuar Tahir, bekas Setiausaha Agung, menyertai ceramah untuk menafikan tuduhan beliau
masuk UMNO. Ruslan Kassim pula telah menerima balik jawatan lama sebagai Ketua
Penerangan. Tindakan mereka membantu membuktikan bahawa keADILan masih utuh.
Kebanyakan petugas di bilik-bilik gerakan keADILan serta PRM terdiri daripada orang
luar, dan sangat kurang sekali orang tempatan. Kempen rumah ke rumah tidak dapat
dilakukan secara berkesan, apatah lagi kerana banyak kampung dan kawasan kediaman
Melayu dikepung keras oleh UMNO-BN. Oleh itu keADILan-BA terpaksa bergantung banyak
kepada ceramah. Seperti biasa, ceramah ini baik untuk memberi maklumat serta
penjelasan, dan menjawab tuduhan. Biasanya ramai yang datang, akan tetapi kebanyakan
mereka dari luar dan bukan pengundi. Ramai pengundi dikawal atau disekat oleh �anak
angkat� hingga tidak boleh mendengar ceramah BA.
Kini BN lebih berkuasa ke atas media. Sebaliknya, ceramah BA semakin berkurang oleh
kerana sekatan polis yang tidak mahu mengeluarkan permit. Semasa di Indera Kayangan
pun, polis menafikan permit untuk dua ceramah perdana pada dua hari kempen terakhir.
Bahkan pasukan polis bertindak lebih jauh dengan menghantar FRU mengepong
tempat-tempat yang dijadualkan untuk ceramah tersebut. BA tidak banyak menggunakan
cara-cara lain untuk berkempen bagi menjelaskan pendirian serta dasar BA dan menjawab
tuduhan-tuduhan BN.
Memandangkan BN memonopoli media dan polis membatas pengeluaran permit ceramah, BA
hendaklah berbincang bagi melaksanakan kaedah-kaedah yang lebih berkesan untuk
memenangi hati dan fikiran pengundi. Tetapi bersama ini, dan mungkin lebih penting
lagi, kita harus membina dan membaiki jentera parti serta jentera pilihanraya di
setiap peringkat, mulai dari sekarang.
20 Januari 2002
Top���Home
"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI!
HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA" PENERBITAN PEMUDA
24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak, 53100 Kuala Lumpur
Tel : 03-40243530 Faks : 03-4630372
[EMAIL PROTECTED]
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB)
( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB)
( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan )
( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net )
( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] )
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengirim: Izz4h <[EMAIL PROTECTED]>