Aduhai puteriku sayang,
 
            Betapa pentingnya ilmu, tidak siapa yang berani menafikannya. Ilmu itu menjadi panduan kepada manusia dalam mengharungi kehidupan, menjadi teman ketika kesepian dan menjadi penyuluh pada waktu kegelapan. Ilmu itu mampu menjaga pemiliknya berbanding harta dan kekayaan yang bersifat sementara dan melalaikan.
 
 
 
Wahai puteriku,
 
            Hati-hatilah oleh dirimu, dalam mengejar ilmu, kemahiran dan kebolehan, janganlah kau jadikan ia sebagai adat. Pada masa orang lain sibuk mendapatkan sekeping sijil, usahlah kau turut sama berniat seperti mereka sekadar mendapatkan sijil untuk pulangan kewangan.
 
 
 
Ketahuilah wahai anakku sayang,
 
            Dalam Islam mencari ilmu bukan sekadar adat dan bukan sekadar ikut-ikutan. Konsep menuntut ilmu harus jelas dan tersemat kukuh di jiwamu, wahai anakku, kerana sesungguhnya ulama dan cendekiawan Islam berjaya membangunkan tamadun apabila niat mereka mencari ilmu tidak terhenti sekadar untuk mendapat pengiktirafan masyarakat. Ilmu digali dengan penuh gigih, rahsia alam dicungkil penuh tekun, tamadun dibina tanpa henti, manusia dididik dengan tabah lagi sabar, dan akhirnya Allah �dibesarkan� dalam kehidupan.
 
 
 
Wahai muslimahku sayang,
 
            Budaya menuntut ilmu amat tepat jika kau mencontohi Rasulullah s.a.w, para sahabat, dan ulama-ulama Islam. Milikilah wahai anakku, matlamat yang jelas dalam menuntut ilmu. Kau harus tahu bahawa belajar bukan matlamat tetapi sebagai alat untuk mendekatkan diri kepada Allah.
 
 
 
Aduhai puteriku sayang,
 
            Hendaklah kau yakini bahawa Allah sahaja yang berkuasa. Bukan hantu, manusia atau sains yang berkuasa. Juga, kau harus yakin bahawa Nabi Muhammad s.a.w ialah seorang manusia yang dipilih oleh Allah s.w.t untuk membawa wahyu dan baginda adalah contoh ikutan.
 
 
 
Wahai anakku,
 
            Sentiasalah berusaha untuk menjadikan dirimu bermanfaat kepada orang lain. Berlumbalah membuat kebaikan. Walaupun hidupmu tidak mewah, tetapi hidupmu aman dan kau dikenali dengan sifat suka memberi, kurang meminta, dan kurang memiliki. Sebaliknya, jangan jadikan dirimu sebagai manusia yang banyak merebut dan minta untuk diri sendiri dan kurang memberi.
 
 
 
Wahai anakku sayang,
 
            Hiduplah secara sederhana dalam makanan, pakaian dan percakapan. Tidak mewah dan bermegah dengan apa yang dimiliki. Memberi sebahagian daripada nikmat yang kau dapati, lebih baik daripada membeli hingga tidak terpakai, makan hingga muntah atau membuangnya ke tong sampah, berlumba dan bermegah hingga hasad melihat apa yang orang lain miliki.
 
Wahai permata hatiku,
 
            Seluruh kehidupan ini adalah nikmat dari Allah s.w.t. Kita disuruh menikmati nikmat yang diberi tetapi harus bersifat rendah diri kepada-Nya.
 
 
 
Doaku untukmu,
 
�Wahai Tuhanku, berikanlah kepada anakku kemampuan supaya bersyukur kerana nikmat yang Engkau telah anugerahkan kepadanya dan kepadaku, dan supaya puteriku dapat mengerjakan perbuatan baik yang Engkau sukai, dan perbaikilah keturunan Kami. Sesungguhnya kami bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya��.
 
 
 
 
Koleksi APS disini
http://cikgunik.tripod.com

Kirim email ke