(on suria .fke.utm.my)

aliasm.vcf was scanned by Interscan Viruswall on suria.fke.utm.my and no virus found.
------------------------------------------------------------------------
Pengalaman Manis di Kursus Bina Negara

Setelah lima hari empat malam berkurung di Kem Bina Negara Meru Klang
saya benar-benar dapat merasakan bagaimana kebimbangan yang amat sangat
pihak yang cenderung kepada parti UMNO dari kehilangan kuasa.

Dengan menggunakan nama Melayu kami ditakut-takutkan akan kehilangan
segala-galanya kalau Melayu atau khususnya parti UMNO tidak berkuasa
lagi.

Walaupun kerajaan BN sendiri telah membuat dasar dan peraturan supaya
pensyarah tidak terlibat dengan politik, tetapi pada pengamatan saya
selama berada di Kem Bina Negara kami seperti dijemput untuk terlibat
sama dengan percaturan politik negara.

Mungkin untuk jangka pendek taktik menakut-nakutkan yang digunakan oleh
kerajaan BN ini dapat meraih simpati orang-orang Melayu untuk tidak
memberi undi kepada pembangkang, tetapi untuk jangka masa yang panjang
negara kita tidak akan mendapat apa-apa manafaat darinya.

Saya dapat merasakan kursus seperti ini akan menanamkan rasa tidak senang
dan curiga di hati kita terhadap kaum-kaum lain yang ada di negara ini.

Kadang-kadang terasa pelik juga, di waktu pemimpin-pemimpin kita berucap
dan bercakap perlunya kepada hidup bersatu padu antara kaum tetapi dalam
pada waktu yang sama kursus-kursus yang melebarkan jurang antara kaum
terus digalakkan.

Kita tidak boleh selamanya menyalahkan sejarah silam kerana kehadiran
kaum Cina dan India ke negara ini. Samada kita mahu atau tidak kita kena
berpijak di bumi nyata, kena terima hakikat kaum Cina dan India adalah
juga sebahagian dari rakyat di negara ini.

Apapun terjadi, susah dan senang kita terpaksa hidup bersama-sama mereka
juga. Kita boleh bersikap tidak peduli antara satu kaum dengan kaum yang
lain kiranya kita dapat membahagikan negara ini kepada tiga negara
mengikut kaum-kaum tersebut seperti yang pernah berlaku kepada India dan
Pakistan. Tetapi membahagikan negara ini kepada tiga negara yang
berasingan bukanlah pilihan yang kita semua kehendaki.

Kalau kita mahu hidup bersama di bawah satu negara, mahu tidak mahu semua
kaum mestilah secara bersama dan bersungguh-sungguh memikirkan halatuju
negara. Kita tidak boleh bertindak secara berasingan yang akan
menyebabkan tindak tanduk kita akan dipandang serong dan curiga oleh kaum
yang lain.

Satu kerugian yang besar jika kursus-kursus Bina Negara yang diadakan ini
bukan untuk tujuan pembinaan negara tetapi lebih kepada pembinaan Melayu
yang hasilnya setiap orang Melayu yang melalui kursus ini berasa seperti
terancam oleh rakan-rakan mereka dari kaum lain.

Di kursus ini semangat kita dibakar untuk mempertahankan kekuasaan
Melayu, memperkukuhkan perpaduan Melayu, tolong Melayu, sokong Melayu dan
macam-macam Melayu lagi.

Saya tidak fikir adanya orang Melayu kita yang menyokong dan memberi
tepukan kepada Taufik Hidayat ketika beliau menentang Wong Choong Han
dalam pertandingan badminton Piala Thomas bulan Mei lepas walaupun kita
tahu Taufik Hidayat itu orang Melayu.

Saya juga tidak fikir Goh Chock Tong dapat menebalkan mukanya jika
dilihat oleh pelancung asing rakyatnya yang terdiri dari Ahmad, Abu, Ali
dan lain-lainnya memenuhi kaki-kaki lima di Bandar Singapura yang indah
dan maju itu dengan meminta sedekah. Malah Goh Chock Tong berasa megah
untuk berkata taraf kehidupan orang Melayu di Singapura lebih baik dari
kebanyakan orang Melayu di Malaysia.

Untuk memilih pemimpin yang terbaik di kalangan kita, tidak  ada cara
yang terbaik selain dari cara demokrasi. Sistem demokrasi dapat menjamin
peralihan kuasa dapat berlaku secara aman tanpa kekerasan selain itu ia
dapat menjamin hanya pemimpin yang terbaik sahaja dapat menjadi pemimpin.

Tetapi apabila amalan demokrasi sebenar telah dinoda dan diubahsuai oleh
pemimpin yang berkuasa mengikut kepentingan mereka maka jadilah demokrasi
itu sebagai alat untuk menjamin pemimpin yang memerintah untuk terus
berkuasa, bukan lagi sebagai alat yang membolehkan pemimpin yang terbaik
mendapat peluang menjadi pemimpin seperti mana yang sepatutnya.

Kita tidak nafikan adanya parti politik yang menggunakan agama untuk
meraih sokongan pengundi. Bukan sahaja dalam parti politik, malah ada
juga orang menggunakan agama untuk menipu orang untuk memperkayakan diri
mereka, ada juga yang menggunakan agama untuk mendapat kedudukan dan
pangkat. Perbuatan menyalahgunakan agama untuk kepentingan diri amat
dicela oleh Islam.

Penyebab utama sokongan orang Melayu kepada parti PAS pada pilihanraya
1999 bukanlah kerana penggunaan agama oleh parti itu tetapi tindak tanduk
dan beberapa kelemahan UMNO di masa itu telah tidak disenangi oleh
orang-orang Melayu sendiri dan mereka telah tunjukkan kemarahan mereka
itu dengan memberi undi kepada PAS.

 Padahal sebelum itu PAS seperti parti yang tidak dapat bernafas
walaupun  kerajaan di waktu itu lebih liberal di mana ceramah PAS dan
akhbarnya jauh lebih bebas berbanding sekarang.

Ini menunjukkan kekuatan PAS bukanlah kerana penggunaan agama tetapi
kerana UMNO telah banyak buat silap.

Orang yang berkuasa selalunya tidak dapat menerima kelemahan mereka,
mereka sentiasa menganggap diri mereka sentiasa betul dan mereka saja
yang boleh memerintah. Dalam keghairahan untuk mengekalkan kekuasaan dan
tidak dapat menerima kekalahan inilah amalan-amalan demokrasi selalunya
dicabuli supaya kemenangan sentiasa berpihak kepada mereka.

Cabaran ke tiga Wawasan 2020 secara jelas menyebutkan , mewujudkan dan
membangunkan masyarakat demokratik yang matang. Tetapi apakah usaha-usaha
yang telah dibuat oleh kerajaan untuk mendidik rakyat memahami dan
menghayati amalan demokrasi. Malah pemimpin-pemimpin kita sendiri pun
tidak pernah menunjukkan kematangan berpolitik. Di satu ketika Hang Tuah
tidak sanggup membunuh Hang Jebat yang tidak berkeris walaupun Hang Jebat
telah menyerahkan dirinya kepada Hang Tuah. Begitulah kematangan
pahlawan-pahlawan Melayu. Mereka lebih rela kalah dibunuh oleh musuh dari
membunuh musuh yang tidak bersenjata.

Penggunaan jentera kerajaan oleh parti pemerintah untuk kempen parti
mereka, menyekat parti-parti pembangkang untuk berkempen melalui
media-media perdana, menyekat ceramah-ceramah dan akhbar-akhbar parti
pembangkang adalah merupakan contoh-contoh tindakan yang bertentangan
dengan akhlak demokrasi itu sendiri. Di manakah wujudnya keadilan dalam
satu pertandingan jika kita berlawan dengan musuh yang telah diikat
kakitangannya.

Selama pemimpin kita sekarang ini bertindak wajar, mungkin rakyat tidak
menghadapi apa-apa masalah. Tetapi jika tiba-tiba pemimpin yang
memerintah bertindak di luar kewajaran, sudah tentu di waktu itu kita
tidak ada peluang lagi untuk menukar pemimpin tersebut kerana semua
sistem demokrasi yang ada telah diubah suai bagi mengekalkan kuasa beliau
untuk selamanya.

Kita tidak mahu menjadi seperti rakyat Soviet Union pada masa dulu dan
rakyat Singapura pada hari ini di mana demokrasi hanya tinggal menjadi
lambang. Akhirnya rakyat mereka hidup seperti robot yang segala kehidupan
mereka telah diprogramkan oleh pemerintah.

Pemimpin yang mementingkan ras dan tidak mengambil peduli kaum lain
selain kaumnya sendiri adalah pemimpin yang tidak baik. Serb dan Israel
adalah contoh bangsa yang telah dipulaukan oleh dunia hari ini kerana
ketaksuban mereka kepada bangsa mereka. Tidak mungkin kita boleh hidup
aman damai bersama dengan bangsa yang mempunyai pemikiran seperti Serb
dan Israel ini.

Di dalam sistem demokrasi tulin pemimpin yang tidak baik tidak akan dapat
peluang untuk dipilih menjadi pemimpin. Sebaliknya pemimpin yang terbaik
tidak kira dia berbangsa apa pun akan tetap terpilih menjadi pemimpin
kita.

Pemimpin seperti Lee Lam Thye, Nik Aziz Nik Mat, Mahatma Ghandi, Abraham
Lincoln adalah contoh-contoh pemimpin yang memiliki sifat luhur dan
perikemanusiaan yang tinggi. Mereka adalah pemimpin yang dikasihi oleh
pengikutnya tanpa mengira kaum. Mereka adalah contoh pemimpin yang dapat
melepasi sempadan kaumnya sendiri. Setiap kaum yang berada di bawah
kepimpinan mereka ini akan terus berasa selamat dan hak mereka dijaga dan
dihormati. Pemimpin yang mempunyai kualiti seperti inilah yang kita
kehendaki untuk memimpin negara seperti Malaysia yang terdiri dari
berbilang kaum ini.

Hanya sistem demokrasi tulin sahaja yang dapat menjamin orang yang
mempunyai kualiti yang disebutkan di atas berpeluang untuk dipilih
menjadi pemimpin negara kita ini. Oleh itu demi kebaikan masa depan
negara kita adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan
demokrasi yang kita amalkan ini tidak dicabuli oleh sesiapa pun.

Mempertahankan kepimpinan Melayu di abad ke 21 ini bukanlah menjadi
perkara yang lebih utama kepada kita semua. Tetapi yang patut sentiasa
menjadi keutamaan kepada kita rakyat Malaysia hari ini ialah
mempertahankan hak-hak demokrasi yang sebenar, tidak membenarkan
demokrasi diubah mengikut selera pemerintah. Kerana inilah satu-satunya
mekanisma terbaik untuk melahirkan pemimpin terbaik untuk negara kita.

Kalau kita benar-benar sayangkan negara kita, bangsa kita, hak kita maka
peliharalah demokrasi dari dicabuli. Wallahulam.

begin:vcard 
n:Mohd Yusof;Alias 
tel;fax:07-5566272
x-mozilla-html:TRUE
org:Universiti Teknologi Malaysia;Kejuruteraan Elektrik Kuasa (POWER)
version:2.1
email;internet:[EMAIL PROTECTED]
title:Pensyarah
adr;quoted-printable:;;Fakulti Kejuruteraan Elektrik=0D=0A81310 UTM Skudai=0D=0AJohor Bahru=0D=0AJohor;;;;
fn:Alias Mohd Yusof
end:vcard

Kirim email ke