(on suria .fke.utm.my)

aliasm.vcf was scanned by Interscan Viruswall on suria.fke.utm.my and no virus found.
------------------------------------------------------------------------
Pengalaman Manis di Kursus Bina Negara

Setelah lima hari empat malam berkurung di Kem Bina Negara Meru Klang saya benar-benar 
dapat merasakan bagaimana kebimbangan yang amat sangat pihak yang cenderung kepada 
parti UMNO dari kehilangan kuasa.

Dengan menggunakan nama Melayu kami ditakut-takutkan akan kehilangan segala-galanya 
kalau Melayu atau khususnya parti UMNO tidak berkuasa lagi.

Walaupun kerajaan BN sendiri telah membuat dasar dan peraturan supaya pensyarah tidak 
terlibat dengan politik, tetapi pada pengamatan saya selama berada di Kem Bina Negara 
kami seperti dijemput untuk terlibat sama dengan percaturan politik negara.

Mungkin untuk jangka pendek taktik menakut-nakutkan yang digunakan oleh kerajaan BN 
ini dapat meraih simpati orang-orang Melayu untuk tidak memberi undi kepada 
pembangkang, tetapi untuk jangka masa yang panjang negara kita tidak akan mendapat 
apa-apa manafaat darinya.

Saya dapat merasakan kursus seperti ini akan menanamkan rasa tidak senang dan curiga 
di hati kita terhadap kaum-kaum lain yang ada di negara ini.

Kadang-kadang terasa pelik juga, di waktu pemimpin-pemimpin kita berucap dan bercakap 
perlunya kepada hidup bersatu padu antara kaum tetapi dalam pada waktu yang sama 
kursus-kursus yang melebarkan jurang antara kaum terus digalakkan.

Kita tidak boleh selamanya menyalahkan sejarah silam kerana kehadiran kaum Cina dan 
India ke negara ini. Samada kita mahu atau tidak kita kena berpijak di bumi nyata, 
kena terima hakikat kaum Cina dan India adalah juga sebahagian dari rakyat di negara 
ini.

Apapun terjadi, susah dan senang kita terpaksa hidup bersama-sama mereka juga. Kita 
boleh bersikap tidak peduli antara satu kaum dengan kaum yang lain kiranya kita dapat 
membahagikan negara ini kepada tiga negara mengikut kaum-kaum tersebut seperti yang 
pernah berlaku kepada India dan Pakistan. Tetapi membahagikan negara ini kepada tiga 
negara yang berasingan bukanlah pilihan yang kita semua kehendaki.

Kalau kita mahu hidup bersama di bawah satu negara, mahu tidak mahu semua kaum 
mestilah secara bersama dan bersungguh-sungguh memikirkan halatuju negara. Kita tidak 
boleh bertindak secara berasingan yang akan menyebabkan tindak tanduk kita akan 
dipandang serong dan curiga oleh kaum yang lain.

Satu kerugian yang besar jika kursus-kursus Bina Negara yang diadakan ini bukan untuk 
tujuan pembinaan negara tetapi lebih kepada pembinaan Melayu yang hasilnya setiap 
orang Melayu yang melalui kursus ini berasa seperti terancam oleh rakan-rakan mereka 
dari kaum lain.

Di kursus ini semangat kita dibakar untuk mempertahankan kekuasaan Melayu, 
memperkukuhkan perpaduan Melayu, tolong Melayu, sokong Melayu dan macam-macam Melayu 
lagi.

Saya tidak fikir adanya orang Melayu kita yang menyokong dan memberi tepukan kepada 
Taufik Hidayat ketika beliau menentang Wong Choong Han dalam pertandingan badminton 
Piala Thomas bulan Mei lepas walaupun kita tahu Taufik Hidayat itu orang Melayu.

Saya juga tidak fikir Goh Chock Tong dapat menebalkan mukanya jika dilihat oleh 
pelancung asing rakyatnya yang terdiri dari Ahmad, Abu, Ali dan lain-lainnya memenuhi 
kaki-kaki lima di Bandar Singapura yang indah dan maju itu dengan meminta sedekah. 
Malah Goh Chock Tong berasa megah untuk berkata taraf kehidupan orang Melayu di 
Singapura lebih baik dari kebanyakan orang Melayu di Malaysia.

Untuk memilih pemimpin yang terbaik di kalangan kita, tidak  ada cara yang terbaik 
selain dari cara demokrasi. Sistem demokrasi dapat menjamin peralihan kuasa dapat 
berlaku secara aman tanpa kekerasan selain itu ia dapat menjamin hanya pemimpin yang 
terbaik sahaja dapat menjadi pemimpin.

Tetapi apabila amalan demokrasi sebenar telah dinoda dan diubahsuai oleh pemimpin yang 
berkuasa mengikut kepentingan mereka maka jadilah demokrasi itu sebagai alat untuk 
menjamin pemimpin yang memerintah untuk terus berkuasa, bukan lagi sebagai alat yang 
membolehkan pemimpin yang terbaik mendapat peluang menjadi pemimpin seperti mana yang 
sepatutnya.

Kita tidak nafikan adanya parti politik yang menggunakan agama untuk meraih sokongan 
pengundi. Bukan sahaja dalam parti politik, malah ada juga orang menggunakan agama 
untuk menipu orang untuk memperkayakan diri mereka, ada juga yang menggunakan agama 
untuk mendapat kedudukan dan pangkat. Perbuatan menyalahgunakan agama untuk 
kepentingan diri amat dicela oleh Islam.

Penyebab utama sokongan orang Melayu kepada parti PAS pada pilihanraya 1999 bukanlah 
kerana penggunaan agama oleh parti itu tetapi tindak tanduk dan beberapa kelemahan 
UMNO di masa itu telah tidak disenangi oleh orang-orang Melayu sendiri dan mereka 
telah tunjukkan kemarahan mereka itu dengan memberi undi kepada PAS.

 Padahal sebelum itu PAS seperti parti yang tidak dapat bernafas walaupun  kerajaan di 
waktu itu lebih liberal di mana ceramah PAS dan akhbarnya jauh lebih bebas berbanding 
sekarang.

Ini menunjukkan kekuatan PAS bukanlah kerana penggunaan agama tetapi kerana UMNO telah 
banyak buat silap.

Orang yang berkuasa selalunya tidak dapat menerima kelemahan mereka, mereka sentiasa 
menganggap diri mereka sentiasa betul dan mereka saja yang boleh memerintah. Dalam 
keghairahan untuk mengekalkan kekuasaan dan tidak dapat menerima kekalahan inilah 
amalan-amalan demokrasi selalunya dicabuli supaya kemenangan sentiasa berpihak kepada 
mereka.

Cabaran ke tiga Wawasan 2020 secara jelas menyebutkan , mewujudkan dan membangunkan 
masyarakat demokratik yang matang. Tetapi apakah usaha-usaha yang telah dibuat oleh 
kerajaan untuk mendidik rakyat memahami dan menghayati amalan demokrasi. Malah 
pemimpin-pemimpin kita sendiri pun tidak pernah menunjukkan kematangan berpolitik. Di 
satu ketika Hang Tuah tidak sanggup membunuh Hang Jebat yang tidak berkeris walaupun 
Hang Jebat telah menyerahkan dirinya kepada Hang Tuah. Begitulah kematangan
pahlawan-pahlawan Melayu. Mereka lebih rela kalah dibunuh oleh musuh dari membunuh 
musuh yang tidak bersenjata.

Penggunaan jentera kerajaan oleh parti pemerintah untuk kempen parti mereka, menyekat 
parti-parti pembangkang untuk berkempen melalui media-media perdana, menyekat 
ceramah-ceramah dan akhbar-akhbar parti pembangkang adalah merupakan contoh-contoh 
tindakan yang bertentangan dengan akhlak demokrasi itu sendiri. Di manakah wujudnya 
keadilan dalam satu pertandingan jika kita berlawan dengan musuh yang telah diikat 
kakitangannya.

Selama pemimpin kita sekarang ini bertindak wajar, mungkin rakyat tidak menghadapi 
apa-apa masalah. Tetapi jika tiba-tiba pemimpin yang memerintah bertindak di luar 
kewajaran, sudah tentu di waktu itu kita tidak ada peluang lagi untuk menukar pemimpin 
tersebut kerana semua sistem demokrasi yang ada telah diubah suai bagi mengekalkan 
kuasa beliau untuk selamanya.

Kita tidak mahu menjadi seperti rakyat Soviet Union pada masa dulu dan rakyat 
Singapura pada hari ini di mana demokrasi hanya tinggal menjadi lambang. Akhirnya 
rakyat mereka hidup seperti robot yang segala kehidupan mereka telah diprogramkan oleh 
pemerintah.

Pemimpin yang mementingkan ras dan tidak mengambil peduli kaum lain selain kaumnya 
sendiri adalah pemimpin yang tidak baik. Serb dan Israel adalah contoh bangsa yang 
telah dipulaukan oleh dunia hari ini kerana ketaksuban mereka kepada bangsa mereka. 
Tidak mungkin kita boleh hidup aman damai bersama dengan bangsa yang mempunyai 
pemikiran seperti Serb dan Israel ini.

Di dalam sistem demokrasi tulin pemimpin yang tidak baik tidak akan dapat peluang 
untuk dipilih menjadi pemimpin. Sebaliknya pemimpin yang terbaik tidak kira dia 
berbangsa apa pun akan tetap terpilih menjadi pemimpin kita.

Pemimpin seperti Lee Lam Thye, Nik Aziz Nik Mat, Mahatma Ghandi, Abraham Lincoln 
adalah contoh-contoh pemimpin yang memiliki sifat luhur dan perikemanusiaan yang 
tinggi. Mereka adalah pemimpin yang dikasihi oleh pengikutnya tanpa mengira kaum. 
Mereka adalah contoh pemimpin yang dapat melepasi sempadan kaumnya sendiri. Setiap 
kaum yang berada di bawah kepimpinan mereka ini akan terus berasa selamat dan hak 
mereka dijaga dan dihormati. Pemimpin yang mempunyai kualiti seperti inilah yang kita 
kehendaki
untuk memimpin negara seperti Malaysia yang terdiri dari berbilang kaum ini.

Hanya sistem demokrasi tulin sahaja yang dapat menjamin orang yang mempunyai kualiti 
yang disebutkan di atas berpeluang untuk dipilih menjadi pemimpin negara kita ini. 
Oleh itu demi kebaikan masa depan negara kita adalah menjadi tanggungjawab kita semua 
untuk memastikan demokrasi yang kita amalkan ini tidak dicabuli oleh sesiapa pun.

Mempertahankan kepimpinan Melayu di abad ke 21 ini bukanlah menjadi perkara yang lebih 
utama kepada kita semua. Tetapi yang patut sentiasa menjadi keutamaan kepada kita 
rakyat Malaysia hari ini ialah mempertahankan hak-hak demokrasi yang sebenar, tidak 
membenarkan demokrasi diubah mengikut selera pemerintah. Kerana inilah satu-satunya 
mekanisma terbaik untuk melahirkan pemimpin terbaik untuk negara kita.

Kalau kita benar-benar sayangkan negara kita, bangsa kita, hak kita maka peliharalah 
demokrasi dari dicabuli. Wallahulam.

begin:vcard 
n:Mohd Yusof;Alias 
tel;fax:07-5566272
x-mozilla-html:TRUE
org:Universiti Teknologi Malaysia;Kejuruteraan Elektrik Kuasa (POWER)
version:2.1
email;internet:[EMAIL PROTECTED]
title:Pensyarah
adr;quoted-printable:;;Fakulti Kejuruteraan Elektrik=0D=0A81310 UTM Skudai=0D=0AJohor Bahru=0D=0AJohor;;;;
fn:Alias Mohd Yusof
end:vcard

Kirim email ke