Title: KENYATAAN MEDIA (26 JUN 2002)
FWD:
 
        KENYATAAN MEDIA (1 JULAI 2002)

 

TEMPOH PERALIHAN : JAWATAN PM JADI 'POST DATED CHEQUE'

 

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) melahirkan rasa terkejut dengan keputusan Perdana Menteri dan Majlis Tertinggi Umno untuk mewujudkan tempoh peralihan kuasa selama 15 bulan sebelum Dr Mahathir Mohammad melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno. DPP Pusat melihat tempoh yang lama bukan sahaja mengundang ketidakstabilan politik, tetapi juga ekonomi dan sosial terutama dalam suasana ekonomi yang masih belum pulih dan kontrak sosial orang Melayu sedang dilonggarkan oleh Kerajaan BN. DPP Pusat juga merasakan bahawa keputusan yang dibuat ini adalah sangat aneh dan tidak pernah dilakukan oleh mana-mana parti politik terutama parti pemerintah kerana ia boleh memberikan dampak yang buruk kepada rakyat.   

 

DPP Pusat melihat keputusan yang dicapai oleh Umno untuk menyelesaikan masalah perletakan jawatan presiden Umno dan perdana menteri sebagai suatu yang sangat aneh. Sebagai sebuah parti yang memerintah, keputusan Umno seolah-olah menggambarkan bahawa Umno sedang mengalami kepupusan kepemimpinan dan ahli-ahli Umno tidak yakin dengan kemampuan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memimpin negara dan Umno. Tempoh peralihan sehingga Oktober 2003 adalah terlalu lama dan tidak pernah dibuat oleh mana-mana parti atau individu dengan meletakkan jawatan yang akan berkuat kuasa 15 bulan akan datang.  Ini secara tidak langsung menggambarkan ada masalah dalaman yang kronik dalam kepemimpinan Umno.

 

Sejarah telah menunjukkan sebelum ini bahawa proses pertukaran perdana menteri tidak memerlukan tempoh peralihan kuasa seperti yang cuba diterapkan oleh Umno. Bahkan perlantikan Tun Razak Hussien dan Dr Mahathir sendiri melalui proses biasa tanpa perlu menetapkan satu tarikh tertentu. DPP Pusat melihat peralihan kuasa untuk Abdullah Badawi seumpama pemberian 'post dated cheque' yang hanya boleh ditunaikan pada Oktober tahun hadapan. DPP Pusat tidak menolak kemungkinan dalam tempoh 15 bulan ini mungkin cek tersebut akan tercicir, terkoyak ataupun dicuri oleh orang lain sebelum sempat ia ditunaikan. Lebih dahsyat lagi jika cek tersebut adalah cek tendang! Apa yang lebih penting sebenarnya, Majlis Tertinggi Umno tidak mempunyai kuasa untuk menetapkan perlantikan seseorang perdana menteri kerana ia adalah di bawah bidang kuasa Yang DiPertuan Agong. Dan tidak mustahil pada Oktober 2003 kerajaan pusat sudah tidak lagi dikuasai oleh BN!  

 

DPP Pusat juga berpandangan bahawa keputusan Umno untuk mewujudkan tempoh peralihan begitu lama sehingga 16 bulan akan memberikan kesan yang buruk kepada ekonomi negara. Dr Mahathir yang juga Menteri Kewangan sebelum ini telah gagal memulihkan ekonomi negara setelah kegawatan pada 1997, dan perletakkan jawatan ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi. Keyakinan pelabur yang rendah akibat ketidakstabilan politik akan memberi dampak kepada keseluruhan ekonomi negara. Bahkan sehingga hari ini Bursa Saham Kuala Lumpur mulai menunjukkan tanda-tanda negatif akibat hilangnya keyakinan para pelabur terhadap masa depan politik negara.

 

DPP Pusat juga sangat kesal dengan sikap negatif ahli-ahli Umno yang begitu fanatik terhadap Dr Mahathir sehingga membayangkan hanya Mahathir sahaja yang mampu mentadbir negara ini. Selama ini Dr Mahathir mengherdik orang-orang Melayu kerana mentaliti tongkat sehingga memaksa Umno/BN menghapuskan hak-hak istimewa orang Melayu. Tetapi hari ini terbukti bahawa mentaliti tongkat ini sangat menebal dalam Umno sehingga mereka tidak yakin untuk berdiri tanpa Dr Mahathir. Inilah kejayaan yang dicapai oleh Dr Mahathir dalam mewujudkan suasana fanatik kepada ahli Umno sehingga mereka tidak dapat menerima Umno tanpa Dr Mahathir.

 

DPP Pusat melihat bahawa punca sebenar keputusan aneh ini dicapai ialah kerana Umno sedang menghadapi krisis kepemimpinan yang sangat tenat. Perebutan kuasa dan percaturan politik kotor yang menjadi amalan biasa pemimpin Umno kini mengancam kepemimpinan Umno sehingga mereka tidak mampu untuk menyelesaikan masalah pengganti Dr Mahathir. Walaupun Abdullah Badawi diwar-warkan sebagai pengganti Dr Mahathir, tetapi klik-klik pemimpin tertinggi Umno sudah tentu mempunyai calon masing-masing memaksa mereka untuk mewujudkan satu lompang selama 16 bulan untuk mencari pemimpin sebenar Umno. Mungkin juga Dr Mahathir ingin menggunakan ruang 16 bulan ini untuk melihat prestasi pemimpin-pemimpin Umno sebelum beliau secara rasmi melepaskan jawatan. Walau apapun, janganlah kerana percaturan politik Umno, bebanan yang berat terpaksa ditanggung oleh rakyat.

 

 

 

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat


Kirim email ke