Utusan Malaysia 15 Julai 2001

Mahathir bimbang bahan lucah berleluasa

PUTRAJAYA 14 Julai - Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad melahirkan 
kebimbangan terhadap bahan-bahan lucah 
yang berleluasa diedarkan kepada umum termasuklah ke peringkat kanak-kanak tadika.
Menurut Dr. Mahathir, beliau terkejut dengan fenomena itu kerana maklumat tersebut 
diperoleh daripada cucu beliau sendiri 
yang menceritakan apa yang dilihatnya.

Remaja, kata beliau, amat mudah terpengaruh dengan filem-filem lucah kerana bagi 
mereka, ia adalah sesuatu yang misteri dan 
baru.

``Emosi mereka mudah dicuit sehingga mereka mungkin melakukan perkara tidak baik 
seperti merogol dan membunuh 
kanak-kanak berusia lima tahun,'' katanya.

Dr. Mahathir berkata demikian semasa berucap pada majlis Dialog Belanjawan 2002 Sesi 
Ketiga di sini, hari ini.
Sejak kebelakangan ini, katanya, negara dikejutkan oleh banyak peristiwa di luar 
batasan kemanusiaan, terutama kes rogol, 
buang bayi, penderaan dan pembunuhan bayi.

``Lebih membimbangkan, peristiwa-peristiwa tersebut menjadi lebih kejam. Ia 
menunjukkan terdapat di kalangan masyarakat 
kita yang senang dipengaruhi oleh nilai-nilai negatif yang telah meruntuhkan akhlak 
dan sifat kemanusiaan.

``Ahli masyarakat perlu bersama berganding tenaga untuk mengutuk dan menghindari 
berlakunya lagi peristiwa-peristiwa 
seperti itu,'' katanya.

Dalam hal ini, ujar beliau, institusi kekeluargaan memainkan peranan penting dalam 
membentuk masyarakat yang berakhlak 
tinggi dan menghayati nilai-nilai murni kemasyarakatan.

``Kita tidak semestinya mengabaikan tanggungjawab kekeluargaan kerana semata-mata 
mengejar kemajuan.
``Ini akan hanya melahirkan ahli masyarakat yang memegang nilai-nilai menyimpang dari 
norma-norma nilai masyarakat sihat 
dan progresif,'' katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Dr. Mahathir berkata, isu utama yang ditekankan 
oleh badan-badan bukan kerajaan 
pada majlis dialog tersebut ialah peningkatan kes-kes jenayah kejam.

``Pembunuhan melibatkan sesama ahli keluarga tidak pernah berlaku sebelum ini dan 
begitu juga masalah penyalahgunaan 
dadah yang masih tinggi,'' katanya.

Perdana Menteri berkata, NGO juga meminta kerajaan memberi tumpuan kepada anak-anak 
yatim supaya mendapat asuhan 
serta perlindungan yang akan menjadi dinding kekuatan bagi mereka bila dewasa.

_________________________________________________________________
    http://fastmail.ca/ - Fast Secure Web Email for Canadians

Kirim email ke