Bhagat Singh dan Hidup Selamanya Revolusi!
Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
Sejak 20 tahun lagi, saya jarang dapat menikmati keenakan menonton filem,
kalau ada pun hanyalah siri pendek drama TV. Untuk terpaku lebih dua jam,
apatah lagi filem Hindi selama tiga jam, ia begitu memenatkan. Walaupun
isteri saya terpaksa membeli VCD Kuch Kuch Hota Hai, sebanyak tiga kali –
kerana yang sebelumnya rosak dan dipinjam orang tanpa dikembalikan – minat
saya langsung tidak terusik. Apabila dikatakan filem Phir Bir Hindustani
dapat menggambarkan mood reformasi, saya cuba menonton, tetapi secara
melompat-lompat, dan akhirnya merasakan ia tidak lebih dari filem murahan
Hindi yang lain.
Namun The Legend of Bhagat Singh, sentuhan berbisa Rajkumar Santoshi,
berdasarkan lakonlayar Anjum Rajabali, yang diterajui pelakon Ajay Devgan,
mengubah keadaan. Hampir tiga jam saya menatap penuh ghairah, setelah puas
memujuk anak paling kecil, Umar Mukhtar, 4 tahun, yang merengek mahu
menonton VCD Ultraman. Gelodak jiwa muda bagai disambar, manakala nostalgia
hidup di kampus kembali berputar selepas menyaksikan kisah benar bagaimana
anak muda, Bhagat Singh, 23 tahun, menyanyi ceria sambil berlari-lari anak,
bersama dua teman karibnya, Sukhdev dan Rajguru, ke bilik gantung, selepas
dikejutkan oleh pengawal penjara bahawa saat kematiannya telah tiba, ketika
beliau asyik menelaah buku!
Mati dalam usia semuda itu, pada 23 Mac 1931, selepas menempuh liku-liku
perjuangan paling getir menentang penjajah British, kemudiannya jasad
diseludup keluar melalui pintu belakang Penjara Pusat Lahore, dan mayat
dibakar selepas dipotong-potong, merupakan gumpalan pengalaman tragis,
tetapi saya kira ia mampu menyuntik semangat baru kepada penonton, khususnya
golongan muda.
Bhagat Singh yang menyaksikan pembunuhan beramai-ramai Jallianwala ketika
berumur 12 tahun adalah pengkagum hebat Ghandi. Kepada ibunya, Bhagat
berkata: “Ghandi adalah jelmaan Tuhan pada diri seorang insan.” Namun, ia
berubah apabila Ghandi menghentikan gerakan menolak kerjasama dengan
British. Bhagat tidak percaya dengan aktiviti anti-keganasan Ghandi apabila
beliau mahu bertindak lebih nekad. Justeru, slogan keramatnya ialah
“Inqilab! Zindabad!” (Hidup Selamanya Revolusi!) dan kalimah inilah yang
memaksa Kongres mengubah tuntutannya untuk mendapatkan kemerdekaan penuh
daripada British.
Dengan menganggotai pertubuhan radikal HRA, yang rela menumpahkan darah demi
negara, Bhagat menyedari perjuangannya langsung tidak diketahui umum.
Baginya kemerdekaan tiada makna jika British dihalau keluar tetapi
penggantinya adalah elit India yang terus menindas dan memeras golongan
bawahan. Dan, bagi Bhagat, selagi berlaku pengasingan antara pejuang dan
rakyat, maka British akan terus menjajah. Justeru, jalan pintas harus
dicari, meskipun terpaksa mempertaruhkan nyawanya, supaya mesej
perjuangannya dikongsi bersama sentimen rakyat.
Dengan meletupkan bom di Parlimen pada 8 April 1929 – tapi di tempat
kosong -- ketika rang undang-undang anti-mogok dibentangkan, Bhagat
menjadikan penjara dan mahkamah sebagai markas untuknya mengheebahkan gerakan
anti-British, menurut pendekatannya yang berbeza dengan Kongres dan Ghandi.
Katanya, bom diletupkan bagi menyedarkan penjajah yang pekak! Bayangkan,
sebelum ditangkap kerana mengebom Parlimen, selain keluarga dan kumpulannya,
Bhagat langsung tidak dikenali, tetapi beliau selepas dihadapkan ke
mahkamah – dan sempat memperlekehkan hakim, polis dan pendakwa British –
pengkaji sejarah berkata popularitinya di India menyamai Ghandi!
Bhagat Singh adalah cerita perjuangan dan kisah kekentalan hati sekumpulan
anak-anak muda yang berazam untuk mati demi negara. Mereka sentiasa ceria
meskipun dipukul, diterajang, diseksa dan tetap gembira sewaktu mogok lapar
membantah layanan buruk di penjara. Mereka benar-benar menghayati amanat
bahawa dalam perjuangan segala-galanya harus dikorbankan, termasuk keluarga,
ibu bapa, kekasih, harta benda dan kesenangan. Tidak hairanlah apabila
kematian mereka di tali gantung mencetuskan suasana kacau-bilau di seluruh
India dan mempercepatkan proses kemerdekaan.
Menonton filem ini, bagi saya, mengingatkan tentang peritnya takah-takah
perjuangan yang mesti didaki. Ia juga menyedarkan tentang kebijaksanaan
mengatur rentak dan gerak, dan lebih menarik memaparkan bagaimana kumpulan
kecil dapat menggugat kuasa imperialis maha hebat ketika itu.
Terngiang-ngiang lagi pekikan bersemangat Bhagat ketika mereka meluru masuk
ke Parlimen dan kandang tertuduh di mahkamah: “Revolus! Hidup Selamanya!”,
“Hancur Imperialisme!” Terselit juga memori buat mereka yang kini ditahan,
Ezam, Hisham, Tian, Badrulamin, Abu Urwah, Lokman, dan rindu juga untuk
mendengar laungan “Reformasi!” di Jalan Tuanku Abd Rahman!




COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Yahoo! Finance - Get real-time stock quotes

Kirim email ke