Perlis: Hari ini hantar rang undang-undang, hari ini juga luluskan
Thursday, September 05 @ 09:28:32 MYT
oleh HELMI KHALID
KANGAR, 5 Sept (Hrkh) - Ketiga-tiga Adun PAS Perlis bertindak keluar dari
sidang Dewan Undangan Negeri Perlis sebagai bantahan terhadap pembentangan
Rang Undang-Undang yang didakwa telah melanggar peraturan Dewan.
Adun Sanglang, Ustaz Haji Hashim Jasin, Adun Guar Sanji, Ustaz Ahmad Ali dan
Adun Santan, Ustaz Zolkharnin Abidin Al-Hafiz bertindak demikian setelah
berlaku pertikaman lidah dengan Speaker Dun Perlis, Azib Saad.
Ustaz Hashim yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis mempertikaikan pembentangan
Rang Undang-Undang Mengawal dan Menyekat Pengembangan Iktikad dan
Kepercayaan-Kepercayaan Agama Bukan Islam kerana dibuat tidak mengikut
prosedur Dewan.
Dewan yang mula bersidang pada jam 9.00 pagi semalam (4 September) hingga!
jam 10.20 pagi dan ditangguhkan selama 30 minit untuk berehat disambung
semula pada jam 10.50 pagi.
Pada sesi kedua ini, Speaker memaklumkan kepada Dewan bahawa satu Rang
Undang-Undang berhubung perkara di atas akan dibentangkan dan meminta Pihak
Kerajaan membentangkannya.
Ketika ini, Ustaz Hashim bangun membantah:
"Tuan Speaker, kami tidak menentang Rang Undang-Undang ini, tetapi kertas
ini hanya sampai pagi ini sahaja di tangan kami, bagaimana ia boleh
dibentang untuk dibahaskan.
"Saya cadangkan supaya ia dibaca buat kali pertama sahaja dan tidak
dibahaskan, tetapi akan dibahaskan dalam persidangan akan datang.
Beliau kemudian membacakan peraturan Dewan yang berbunyi:
Perkara 13(2) dalam Peraturan-peraturan dan Perintah-perintah Negeri Perlis
menyebut satu Rang Undang-Undang hendaklah di maklumkan tujuh hari sebelum
dimulakan mesyuarat dan hendaklah Setiausaha menghantarkan kepada tiap-tiap
ahli acara mesyuarat yang mengandu! ngi peraturan, cadangan, rencana
undang-undang dan lain-lain perkara yang dicadang hendak dijalankan dalam
mesyuarat yang akan datang bagi dewan.
Speaker: Saya setuju perkara 13 (2) tapi ia tertakluk kepada kuasa speaker,
ia menyebut akan tetapi, jika speaker telah memberi akuan bahawa mana-mana
perkara itu ialah perkara yang penting bagi orang ramai itu yang dikehendaki
segera, maka bolehlah dipermasukkan di dalam susunan perkara-perkara
mesyuarat walaupun tidak tersebut di dalam acara mesyuarat.
Bagaimanapun Ustaz Zolkharnain bangun mencelah: Tuan Speaker, dalam Fasal 52
menyebut, "kecuali dalam hal-hal yang dikhaskan oleh speaker hendak
disegerakan maka salinan bercap bagi semua rencana undang-undang itu
hendaklah dihantarkan oleh Setiausaha kepda tiap-tiap ahli
sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum rencana undang-undang itu dibaca bagi
kali yang pertama dalam dewan.
Speaker bagaimanapun mengulangi perkara 13 (2), dan meminta piha! k kerajaan
meneruskan bacaan Rang Undang-Undang tersebut, beliau langsung tidak
mengulas mengenai Fasal 52 yang dibangkitkan oleh Ustaz Zolkharnain.
Ekoran itu, Ustaz Hashim terus meninggalkan dewan diikuti Ustaz Ahmad Ali
dan Ustaz Zolkharnain.
Sementara itu Ustaz Hashim yang ditemui kemudiannya berkata, rang
undang-undang ini perkara besar, bukan pasal perikanan atau yang lain.
"Sebab itu saya syorkan ia tidak dibahaskan lagi hari ini dan dibahaskan
pada persidangan akan datang, semua pihak boleh bentang dengan selesa dan
bukan dalam masa yang singkat kerana ia tidak dimaklumkan sebelum itu,"
jelasnya.
Ustaz Hashim juga menegur sikap Speaker yang tidak menghormati peraturan
dewan, katanya, Speaker dengan kuasanya tidak sepatutnya buat begitu.
Beliau menambah, maksud dalam perkara 13(2) itu tidak ada kena-mengena
dengan pembentangan rang undang-undang sebaliknya ia hanya terhad kepada
pembentangan permohonan lain yang bukan undan! g-undang.
Ustaz Zolkharnain pula berkata, tindakan keluar dewan itu adalah tanda
protes di atas sikap kerajaan yang langsung tidak menghormati dewan.
"Ini bukan kali pertama, ia telah berlaku dalam sidang-sidang sebelum ini,
dan juga bayangkanlah sampai sekarang kita tidak dapat sebarang jawapan dari
soalan-soalan lisan yang dikemukakan tetapi tidak sempat dibaca dalam
dewan."
"Kerajaan tidak serius dalam hal ini, ini soal mendapatkan keterangan, kita
berharap agar kerajaan mengambil perhatian dan tidak mengulanginya di
masa-masa akan datang," tegas beliau.
Bagaimanapun rang undang-undang tersebut tetap diluluskan setelah dibahas
oleh tiga wakil rakyat BN.
> ATTACHMENT part 2 application/x-microsoft-ole-object name=Picture
COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM
Do You Yahoo!?
Yahoo! Finance - Get real-time stock quotes
