----------------------------------------------------------
Visit Indonesia Daily News Online HomePage:
http://www.indo-news.com/
and click banner our sponsor
----------------------------------------------------------

Ganas di Borneo: Bilangan yang mati capai 114

SINGKAWANG (Indonesia) -- Keganasan kaum terus melanda wilayah Indonesia di
Borneo semalam, dengan angka kematian meningkat kepada 114 orang kata pihak
tentera, sedang penduduk kaum asli yang bersenjatakan serampang dan parang
merayau-rayau di sekitar wilayah itu mencari mangsa.

Sehingga kelmarin, seramai 114 orang dilaporkan terbunuh dan 97 cedera, kata
seorang pegawai di pusat penyelarasan pasukan bertindak tentera di kota
Sambas.

Wilayah Kalimantan Barat di kepulauan Borneo itu telah berubah menjadi satu
kawasan yang menakutkan dengan laporan-laporan tentang pembunuhan dan
kejadian orang memakan daging manusia yang telah mereka bunuh.

Kumpulan-kumpulan penduduk Melayu dan kaum asli Dayak, dengan bersenjatakan
lembing, parang dan senapang lantak, kelmarin dilihat bertindak berleluasa
membakar rumah-rumah yang ditinggalkan penduduk kaum Madura yang telah
melarikan diri.

Sekitar 5,000 orang kaum Madura pula kini dikatakan terperangkap dalam
sebuah kawasan hutan di Tebas, yang dikepung oleh penduduk-penduduk tempatan
Melayu dan Dayak, lapor akhbar harian Media Indonesia.

Penduduk-penduduk Madura itu menanti ketibaan tentera untuk mengiringi
mereka keluar menuju ke kawasan-kawasan yang lebih selamat.

Dalam menghadapi keadaan kekejaman itu, pihak tentera Indonesia telah
melancarkan operasi besar-besaran memindahkan penduduk-penduduk kaum
Madura -- yang merupakan pendatang dari kepulauan Madura yang padat dan
miskin -- yang berpindah ke Kalimantan Barat.

Kehadiran mereka itu mencetuskan ketegangan kerana orang-orang, terutama
penduduk-penduduk Melayu dan kaum asli Dayak tempatan, tidak senang dengan
kehadiran mereka.

Ketegangan itu mencetuskan keganasan baru pada Isnin minggu lalu di
Pemangkat, sebuah bandar pelabuhan yang sepi di daerah Sambas.

Setakat ini sekitar 12,473 penduduk kaum Madura telah dipindahkan ke
Pontianak, yang difikirkan lebih selamat. -- AFP.

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Didistribusikan tgl. 24 Mar 1999 jam 02:49:46 GMT+1
oleh: Indonesia Daily News Online <[EMAIL PROTECTED]>
http://www.Indo-News.com/
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Kirim email ke