http://utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121011/lu_01/Polis-beri-amaran-serangan-di-Bali

Polis beri amaran serangan di Bali
 
Gambar bertarikh 13 Oktober 2002, merakamkan polis dan orang ramai berkumpul di 
lokasi serangan bom di Kuta, berhampiran Denpasar, pulau peranginan Bali, 
Indonesia. - AFP 
JAKARTA 10 Okt. - Polis Indonesia hari ini memberi amaran tentang kemungkinan 
berlaku serangan pengganas pada majlis memperingati ulang tahun ke-10 kejadian 
serangan bom di Bali, Jumaat ini.

Timbalan Ketua Polis Bali, Ketut Untung Yoga, bagaimanapun berkata, pihaknya 
telah bersedia memperkukuhkan kawalan keselamatan bagi melindungi beribu-ribu 
pelancong dan orang kenamaan yang dijangka hadir meraikannya, termasuk Perdana 
Menteri Australia, Julia Gillard dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang 
Yudhoyono.

"Daripada maklumat yang kami kumpulkan, terdapat petunjuk tentang rancangan 
yang disasarkan kepada orang kenamaan yang akan hadir," katanya.

Menurut beliau, sebanyak 118 anggota pasukan keselamatan dari Jakarta 
diterbangkan ke Bali untuk membantu 1,003 pegawai polis di pulau itu, bagi 
memastikan keselamatan para tetamu yang hadir sepanjang majlis itu berlangsung.

Sebanyak 4,000 pelancong asing dijangka hadir pada majlis itu.

Majlis peringatan akan diadakan di beberapa tempat di Bali termasuk pantai 
Kuta, lokasi kejadian serangan itu, yang berlaku pada 12 Oktober 2002.

Dalam kejadian 10 tahun lalu itu, sebanyak 202 orang terbunuh termasuk 88 warga 
Australia dan menjadi titik perubahan buat Indonesia dalam usaha memerangi 
kegiatan pengganas. - REUTERS


Artikel Penuh: 
http://utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121011/lu_01/Polis-beri-amaran-serangan-di-Bali#ixzz28vt50YP5
 
© Utusan Melayu (M) Bhd 


[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke