Konsortium Indonesia kenakan bayaran tinggi urus kemasukan

 
DUMAI: Konsortium yang dilantik kerajaan Indonesia bagi menguruskan kemasukan semula pendatang tanpa izin untuk bekerja secara sah di Malaysia, mengenakan pelbagai bayaran sehingga mencecah lebih Rp3 juta (RM1,300) seorang.

Bayaran itu termasuk Rp100,000 (RM42) bagi pengesahan visa dan proses merekod pengenalan secara biometrik sebanyak Rp650,000 (RM277) sedangkan urusan itu dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Selain itu, setiap pekerja dikenakan bayaran Rp250,000 (RM104) untuk pemeriksaan kesihatan, Rp132,000 (RM55) untuk latihan induksi, Rp120,000 (RM50) untuk pasport, Rp400,000 (RM167) untuk insurans pekerja dan cukai kerajaan Rp150,000 (RM63).

Urusan dokumentasi dan sebelum berlepas pula dikenakan bayaran Rp250,000 (RM104), tambang feri dan cukai pelabuhan Rp120,000 (RM50), makanan dan penginapan Rp150,000 (RM63), tambang bas Rp250,000 (RM104) dan yuran perkhidmatan Rp500,000 (RM208).

Timbalan Penolong Pengarah Kanan Jabatan Imigresen Malaysia, Saleha Adam, yang ditugaskan di Pusat Sehenti di sini bagi menguruskan pengeluaran visa pekerja terbabit, mengakui menerima banyak aduan daripada majikan mengenai masalah berkenaan.

“Ini yang pelik kerana kita tidak mengenakan bayaran untuk kedua-dua proses berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, urusan itu bertambah rumit apabila majikan terpaksa mendapatkan ‘job order’ atau dokumen kontrak pekerjaan dari syarikat yang beroperasi di Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur.

“Ini menyebabkan majikan terpaksa pulang semula ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan dokumen berkenaan hingga melewatkan lagi proses kemasukan semula pekerja terbabit.

“Malah, sehingga ini kami belum menerima satu pun permohonan kemasukan semula pekerja Indonesia walaupun sudah beroperasi di pusat ini sejak 28 Februari lalu,” katanya.

Pusat Sehenti Dumai adalah antara 11 pusat yang dibuka khusus bagi menyegerakan proses kemasukan semula pekerja Indonesia ke Malaysia. Selain agensi Indonesia, Jabatan Imigresen Malaysia juga menempatkan pegawai di pusat berkenaan bagi memudahkan dan mempercepatkan urusan pengeluaran visa.

Sebelum ini, pihak Indonesia memberi jaminan urusan itu tidak akan melebihi tiga hari, sekali gus memberi keyakinan kepada majikan tempatan menghantar pulang pekerja asing tanpa izin masing-masing.

Bagaimanapun, pusat sehenti yang ditubuhkan bagi proses itu di Dumai, Medan dan Tanjung Uban dikatakan mengalami masalah sehingga ada permohonan yang terlewat hampir dua minggu dan belum tentu bila mendapat kelulusan.

Kelmarin, Datuk Seri Najib Razak, berkata Malaysia mahu Indonesia menyelesaikan proses penghantaran semula pendatang tanpa izin rakyat republik itu yang sudah menjalani program pengampunan, dalam tempoh sebulan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, jika Jakarta gagal untuk menyelesaikan proses kemasukan semula pekerjanya dalam tempoh itu, Kuala Lumpur tiada pilihan kecuali mendapatkan pekerja dari Selatan Filipina, Bangladesh, India dan Pakistan kerana kelewatan kemasukan semula pekerja Indonesia kini menjejaskan semua sektor ekonomi Malaysia terutama pembinaan, perkilangan, perladangan dan restoran.

Saleha berkata, beliau sudah mengemukakan masalah itu kepada Ketua Imigresen Dumai, Pudjo Hartoyo.

“Saya diberitahu beliau sudah mengemukakan laporan ke Jakarta supaya tindakan diambil bagi memansuhkan konsortium itu,” katanya.

Pudjo yang ditemui sebelum itu turut mengakui masalah kelewatan itu antara lain disebabkan kerenah konsortium berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, masalah juga wujud di peringkat Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri yang disangkanya bertanggungjawab mengeluarkan kontrak pekerjaan itu.

“Kesimpulannya terlalu banyak kerenah birokrasi di Indonesia dan Malaysia. Hilangkan birokrasi ini, terlalu banyak orang tengah,” katanya.

Pudjo juga menegaskan, sistem pemprosesan permohonan untuk bekerja di Malaysia di pusat sehenti adalah sempurna dan pihaknya hanya mengenakan bayaran biasa sebanyak Rp120,000 untuk pasport 24 halaman.

“Sistem kami di sini cukup baik. Masalahnya bukan dengan kami. Kami siap sedia,” katanya sambil menambah pihaknya hanya menerima 66 permohonan pasport sehingga kini.

Di KUALA LUMPUR, Pengarah Kajian Sosiologi Indonesia (ISR), Khairudin Harahap turut mempersoalkan bayaran sebegitu tinggi, sedangkan sebelum ini kos untuk bekerja di Malaysia secara sah hanya sekitar RM500.

Beliau yang dihubungi semalam berkata, ramai pendatang yang pulang terkilan dengan bayaran kira-kira RM1,300 bagi memproses permohonan untuk kembali ke Malaysia.

“Saya khuatir akan berlaku kemasukan pendatang tanpa izin Indonesia ke Malaysia secara besar-besaran jika kerenah birokrasi berterusan,” katanya.


Block Spam Emails - Click here!

_______________________________________________
is-lam mailing list
[email protected]
http://milis.isnet.org/cgi-bin/mailman/listinfo/is-lam

Kirim email ke