Katakan Tidak Pada Wahabi
Oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Adalah malang apabila golongan
yang kononnya kuat berpegang dengan agama tidak bersifat ilmiah. Sedangkan
ilmu adalah teras kepada Islam yang tulen dan murni. Antara sikap tidak ilmiah
ialah menuduh seseorang dengan sesuatu tuduhan palsu disebabkan tidak mahu
atau berupaya menjawab persoalan yang dikemukakan. Sikap ini sama dengan
Amerika sekarang yang menganggap sesiapa sahaja yang mengkritiknya sebagai
pengganas sekalipun tanpa bukti.
Di Malaysia ini, wujud sikap yang
sedemikian. Jika seseorang memberikan pandangan agama yang bukan menjadi
perkara yang biasa diketahui oleh golongan agama tradisional tempatan, maka
dia akan dilebelkan sebagai ‘wahabi’. Sekalipun mungkin dia tidak tahu menahu
wahabi itu apa?! Bahkan yang membuat tuduhan itupun kebiasaannya tidak begitu
tahu apa itu wahabi?!
Jika kita bertanya kepada kebanyakan yang suka
melebelkan orang lain sebagai ‘wahabi’; apa itu wahabi? Berbagai jawapan
diberikan. Ada yang katakan wahabi ialah sesiapa yang tidak qunut subuh. Jika
kita beritahu dia, mazhab-mazhab yang lain juga demikian. Apakah al-Imam Ahmad
bin Hanbal dan Abu Hanifah juga wahabi? Dia diam. Ada yang kata: wahabi tidak
tahlil. Kita beritahu dia tahlil maksudnya La ilah illa ALLAH, tahmid
bermaksud Alhamd li ALLAH, tasbih bermaksud subhana ALLAH. Setahu kita mereka
ini menyebutnya. Mana mungkin, jika tidak, mereka kafir. Bahkan imam-imam di
Arab Saudi menghafaz al-Quran dengan begitu hebat dan bacaan-bacaan mereka
diperdengarkan di sana sini. Adakah mereka kafir?!! Ada yang kata wahabi
adalah mereka yang belajar di Arab Saudi. Saya kata saya tidak belajar di Arab
Saudi pun ada juga yang menuduh wahabi. Kemudian, kalau wahabi itu sesat,
apakah sekarang Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabi sedang didiami dan diimami
oleh golongan yang sesat?!! Ada yang kata wahabi ialah golongan tidak bermazh
ab. Kita beritahu dia Arab Saudi yang sebagai dituduh wahabi bermazhab
Hanbali.
Agak yang lebih pandai menyebut; wahabi adalah pengikut
Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab. Dari situ digelar pengikutnya ‘Wahhabi’. Saya
katakan saya sendiri dalam pengalaman yang singkat ini ada yang menuduh
wahabi, sekalipun saya tidak begitu membaca buku-buku Muhammad bin ‘Abd
al-Wahhab. Saya hanya menganggapnya salah seorang tokoh-tokoh umat yang ada
jasa dan sumbangannya. Dalam masa yang sama ada kekurangan dan kelemahannya.
Dia bukan tokoh mazhab fiqh yang ulung untuk dirujuk fatwa-fatwa fiqhnya. Dia
sendiri bermazhab Hanbali. Bukan juga jaguh dalam hadith, sehingga al-Albani
pernah mengkritiknya dengan agak keras. Namun, sebagai tokoh, ada sumbangannya
yang tersendiri. Dari segi ilmiah, secara peribadi saya tidak dapat banyak
manfaat daripadanya. Namun sumbangannya tidak dilupakan. Dr. Yusuf al-Qaradawi
dalam Fiqh al-Aulawiyyat memujinya, dengan berkata: Bagi al-Imam Muhammad bin
‘Abd al-Wahhab d i Jazirah Arab perkara akidah adalah menjadi keutamaannya
untuk memelihara benteng tauhid dari syirik yang telah mencemari pancaran
tauhid dan dikotori kesuciannya. Beliau telah menulis buku-buku dan
risalah-risalah dalam perkara tersebut. Beliau bangkit menanggung bebanan
secara dakwah dan praktikal dalam memusnahkan gambaran-gambaran syirik. (m.s.
263, ctk. Maktabah Wahbah, Mesir). Bahkan Dr. Wahhab al-Zuhaili juga memujinya
dengan menyebut: "Sesuatu yang tiada syak padanya, menyedari hakikat yang
sebenar, bukan untuk meredhakan sesiapa, berpegang kepada ayat al-Quran yang
agung (maksudnya) "Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya
(Surah Hud: 85), bahawa suara kebenaran yang paling berani, pendakwah terbesar
untuk islah (pembaikian), membina umat, jihad dan mengembalikan individu
muslim kepada berpegang dengan jalan al-salaf al-salih yang terbesar ialah
dakwah Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab pada kurun yang kedua belas hijrah.
Tujuannya untuk mentajdidkan kehid upan muslim, setelah secara umum dicemari
dengan berbagai khilaf, kekeliruan, bid'ah dan penyelewengan. Maka Muhammad
bin ‘Abd al-Wahhab ialah pemimpin kebangkitan agama dan pembaikian (islah)
yang dinantikan, yang menzahir timbangan akidah yang bersih.." (Rujukan: Dr
Wahbah al-Zuhaili, Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al-Thani ‘Asyar, m.s
57-58). Bahkan banyak lagi puji-pujian beliau dalam risalah tersebut. Saya
tidak pasti apakah tokoh-tokoh agama yang begitu ramai memuji Muhammad bin
‘Abd al-Wahhab patut dituduh wahabi atau tidak?!!!
Antara kitab-kitab
yang saya ajar ialah kitab fekah mazhab al-Imam al-Syafi'i. Saya baca kitab
al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i kerana ia agak mudah untuk
generasi muda. Namun apabila saya menyebut apa yang terkandung dalam kitab
tersebut yang tidak sama dengan amalan masyarakat, maka dituduh wahabi.
Sedangkan kitab itu adalah kitab dalam Mazhab al-Imam al-Syafi'i. Tokoh-tokoh
penulisnya, adalah tokoh-tokoh semasa mazhab al- Imam al-Syafi'i , iaitu
al-Syeikh Mustafa Khin, al-Syeikh Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji. Namun
apabila saya baca antara apa yang disebut dalam kitab tersebut: "Daripada
bid'ah apa yang dibuat oleh keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang
ramai kepada makanan dengan munasabah yang dinamakan berlalunya empat puluh
hari dan seumpamanya. Sekiranya perbelanjaan makanan tersebut dari harta
peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu
adalah dari perkara lebih haram. Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim
dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim tersebut. Terbabit juga
dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya"
(1/263, Damsyik: Dar al-Qalam), saya dituduh wahabi. Apakah semua penulis itu
wahabi?!!. Mereka katakan kepada saya, jangan baca! Itu tidak sama dengan
mazhab syafii tempat. Saya tanya: Adakah ada dua mazhab al-Syafi'i??!. Tidak
mengapalah, mari kita tengok apa kata kitab-kitab melayu jawi. Kata Syeikh
Daud al-Fatani (semoga ALLAH merahmatinya) dalam Bughyah al-Talab: "(dan
makruh) lagi bid'ah bagi orang yang kematian membuat makanan menserukan segala
manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian
daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi)
makruh lagi bid'ah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya"
(2/34). Demikian juga kenyataan dibuat oleh al-Syeikh Muhammad Arsyad
al-Banjari dalam Sabil al-Muhtadin. Begitu juga al-Marbawi dalam Bahr al-Mazi
menyebut: "Maka bid'ah yang tidak elok" (7/130). Apakah mereka semua juga
wahabi?!!.
Apabila kita memberitahu amalan Nisfu Syaaban seperti yang
dibuat oleh masyarakat kita bukan dari tunjuk ajar Nabi s.a.w. Mereka kata:
"awak wahabi". Kita kata ini bukan daripada tulisan Muhammad bin ‘Abd
al-Wahhab, ini fatwa Dr Yusuf al-Qaradawi apabila ditanya mengenai nisfu
Syaaban, beliau menjawab: "Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan
par a sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu
Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada
sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai
berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah
Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain
pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a
yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’
tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan
Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya...perhimpunan (malam nisfu
Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri
orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat
sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf,
segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setia p yang
diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang
sesat itu dalam neraka.( Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah, 1/382-383,
Beirut: Dar Uli al-Nuha). Apakah beliau juga wahhabi?!!
Al-Imam
al-Nawawi (meninggal 676 H) adalah tokoh agung dalam mazhab al-Syafi'i. Pada
zamannya, beliau membantah mengiringi jenazah dengan mengangkat suara membaca
al-Quran. Beliau berkata: "Ketahui sesungguhnya yang betul lagi terpilih yang
menjadi amalan al-salaf al-salih r.a ialah diam ketika mengiringi jenazah.
Jangan diangkat suara dengan bacaan, zikir dan selainnya. Hikmahnya nyata,
iaitu lebih menenangkan hati dan menghimpunkan fikiran mengenai apa yang
berkaitan dengan jenazah. Itulah yang dituntut dalam keadaan tersebut. Inilah
yang cara yang betul. Jangan kamu terpengaruh dengan banyaknya orang yang
menyanggahinya. Sesungguhnya Abu ‘Ali al-Fudail bin ‘Iyad r.a. pernah berkata
-maknanya-: "Berpegang dengan jalan petunjuk, jangan engkau tewas disebabkan
sedikit yang melaluinya. Jauhilah jalan yang sesat. Jangan engkau terpengaruh
dengan banyaknya golongan yang rosak". Adapun apa yang dilakukan oleh golongan
jahil di Damsyik, iaitu melanjutkan bacaan al-Quran dan bacaan yang lain ke
atas jenazah dan bercakap perkara yang tiada kaitan, ini adalah haram dengan
ijma’ ulama. Sesungguhnya aku telah jelaskan Adab al-Qiraah keburukannya,
besar keharamannya, dan fasiknya sesiapa yang mampu membantahnya tetapi tidak
membantahnya". (Al-Nawawi, Al-Azkar, m.s. 225-226, Damsyik: Maktabah
al-Ghazali). Saya percaya jika al-Imam al-Nawawi di zaman kini dan buat
kenyataan ini, golongan yang taksub pegangan tempatan akan menuduhnya juga
wahabi. Apatah lagi jika mereka membaca kenyataan al-Imam al-Nawawi ini
menyetujui tokoh-tokoh mazhab al-Syafi’i yang membantah jamuan atau kenduri
sempena kematian. Katanya: "adapun menyediakan makanan oleh keluarga si mati
dan menghimpunkan orang ramai kepadanya adalah tidak diriwayatkan daripada
Nabi s.a.w sedikit pun. Ia adalah bid’ah yang tidak disukai" (Al-Nawawi,
al-Majmu’ Syarh al-Mahazzab 5/320 Beirut: Dar al-Fikr).
Banyak lagi
contoh-contoh lain jika hendak disebut. Maka fahamlah bahawa tuduhan wahabi
kepada seseorang di negara kita ini kebanyakan adalah fitnah. Sebagai jawapan
kepada persoalan yang tidak terjawab, maka diputarkan isu ke arah yang lain.
Ia adalah lambang akhlak dan perilaku buruk pembuatnya. Memburukkan orang lain
tanpa bukti dan ilmu. Kesemua mereka ini akan didakwa di akhirat kerana
memutar belitkan fakta tanpa rasa takut kepada ALLAH. Tidak pernahkah mereka
membaca firman ALLAH dalam Surah al-Hujurat ayat 11-12: (maksudnya) Wahai
orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki)
merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan
itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum
perempuan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak
yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu
menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu
panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.
(Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi
fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia
beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan
fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. Wahai orang-orang yang
beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari
sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari
kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya
yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang
telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik
kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan
bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha
mengasihani.
Adalah malang jika medan perbahasan ilmiah dijadikan
medan fitnah memfitnah. Apatah lagi jika yang terlibat itu golongan agama.
Kita sepatutnya hanya berada dalam sempadan fakta dan angka sahaja. Jangan
terbabas ke peringkat tuduh menuduh secara tidak berakhlak. Umpamanya, memang
benar kita dalam beberapa pandangan hukum, mengambil selain dari mazhab
al-Syafi'i. Ini beradarkan kajian atau tarjih yang disandarkan kepada ulama
lain. Di Malaysia pun memang banyak hukum yang tidak berpegang dengan mazhab
al-Syafi'i, terutamanya dalam fiqh muamalat. Lihat sahaja hukum-hakam zakat di
negara ini. Namun ini bukan bererti kita menghina al-Imam al-Syafi'i. Malang
sebahagian yang berniat jahat membuat fitnah kononnya kita menghina Imam kita
yang agung itu. Sedangkan saya sendiri pada Julai 2004 telah menulis tentang
keagungan al-Imam al-Syafi'i dalam majalah ini dan demikian juga dalam
buku-buku saya. Bahkan ada yang membuat cerita kononnya ingin dibakar
kitab-kita b mazhab dan inilah wahabi. A’azu bi ALLAH min zalik (pohon
perlindungan dengan ALLAH dari itu semua). Benarlah kata Kata Muhammad bin
Salih al-‘Ali: "Kebiasaannya, taksub kepada sesuatu pandangan atau mazhab
membawa kepada sejenis sikap keras terhadap sesiapa yang menyanggahi pandangan
dan mazhabnya. Inilah yang berlaku kepada sebahagian pengikut mazhab fiqh yang
lidah mereka petah (mencerca) sesiapa yang berbeza dengan mereka…Orang yang
taksub terlindung dari penilaian secara ilmiah dan berhati-hati dalam hukuman.
Dia tidak melihat melainkan keburukan dan kesilapan orang yang berbeza
dengannya. Ini membawanya kepada sikap keras, mengkritik dan menyakiti.."
(rujukan: Muhammad bin Salih bin Yusuf al-‘Ali, Insaf Ahl al-Sunnah wa
al-Jama`ah m.s. 113-114, Jeddah: Dar al-Andalus al-Khadra`).
Ramai
pendakwah yang mengeluh dengan akhlak buruk ini. Saya juga berdukacita dan
bersimpati. Apatah lagi jika ahli fitnah memakai gelaran ahli badan ulama.
Lebih lagi kita sedihkan. Namun say a katakan kepada diri saya yang amat dhaif
dan para pendakwah yang difitnah; bersabarlah. Telah pun difitnah sebelum ini
para rasul yang mulia, sehingga Nabi Muhammad s.a.w dituduh ahli sihir dan
gila. Al-Imam al-Syafi'i r.h pernah dituduh sebagai pendokong Syiah di zaman
sehingga dia dihukum. Al-Imam Al-Bukhari r.h pernah tuduh sebagai bersefahaman
dengan Mu’tazilah mengenai al-Quran, sehingga dia terpaksa keluar dari kampung
halamannya. Demikian sejarah dan sirah para ulama kesemuanya tidak sunyi dari
mainan golongan yang hasad dan khianat. Demikian tabiat dakwah ini yang
sentiasa menuntut keikhlasan dan pengorbanan. Pada hari kita memulakan dakwah
ke jalan ALLAH dan rasulNya ini, kita sepatutnya mengetahui denai berliku dan
lorong berduri yang akan lalui di hadapan. Jika tidak bertemankan keikhlasan
dan kecintaan yang tinggi kepada ALLAH dan Rasul, gugurlah kita satu persatu.
Untuk itu dari awal kita mesti sedar hakikat ini. Jika takut dilambung ombak,
jangan berumah di tep i pantai.
Ada kata golongan wahabi enggan
terikat dengan mazhab. Jadi sesiapa yang ada berpegang dengan mazhab lain
dalam beberapa perkara, maka dia wahabi. Kita katakan kita amat menghormati
mazhab dan memuliakannya. Dalam banyak perkara kita terkait dengan mazhab
al-Syafii. Tetapi ahli ‘tuduh menuduh’ ini seperti kata Dr Yusuf al-Qaradawi:
"Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu
mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada
pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan
sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian. Perbuatan ini
sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah SWT. Seakan-akan
mereka menganggap imam-imam mazhab mempunyai kuasa membuat syari`at dan
perkataan mereka adalah hujah syarak yang dipegang dan tidak boleh dibangkang.
Ini sebenarnya menyanggahi tunjuk ajar imam-imam mazhab itu sendiri, kerana
sesungguhnya mereka telah melarang orang ramai bertaklid kepada mereka atau
selain mereka. Ini juga menyanggahi apa yang dipegang oleh golongan salaf umat
ini iaitu para sahabah dan mereka yang selepas sahabah sepanjang kurun-kurun
yang awal yang merupakan sebaik-baik kurun dan yang paling dekat kepada
petunjuk Nabi. Justeru itu, para ulama besar umat ini dan para muhaqqiqnya
(pengkaji) membantah sikap melampau di dalam taklid mazhab yang menyamai apa
yang dilakukan oleh ahli kitab yang mengambil paderi dan pendita mereka
sebagai tuhan-tuhan selain Allah". (rujukan: Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sahwah
al-Islamiyyah bain al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Mazlum, m.s 202,
Kaherah: Dar al-Sahwah). Barangkali mereka juga kena masukkan al-Qaradawi
dalam senarai wahabi seperti yang didakwa oleh Amerika terhadap beliau.
Dalam ilmu hadith pula, kita menyebut apa yang disebut oleh
ulama-ulama hadith yang mendhaif atau menghukum sebagai palsu sebahagian
hadith yang diamalkan oleh masyarakat kita. Umpamanya, kita memeti k
ulasan-ulasan para ulama terhadap Kitab Ihya ‘Ulum al-Din. Bukan bertujuan
menghina al-Imam al-Ghazali (semoga ALLAH merahmatinya), tetapi sebagai
ingatan untuk kita. Malangnya, mereka yang tidak takutkan ALLAH membuat fitnah
kononnya kita menganggap kita lebih alim dari al-Imam al-Ghazali. Di sini saya
petik apa yang tertera dalam buku saya "Menangkis Pencemaran Terhadap Agama
& Tokoh-Tokohnya" yang dicetak pada awal tahun 2004:
"Sebagai
contohnya di sini kita sebutkan kitab Ihya`Ulum al-Din karangan al-Imam
al-Ghazali r.h (meninggal 505H) secara khusus. Ini memandangkan ia merupakan
yang paling masyhur dan banyak diguna pakai dalam masyarakat. Dengan kita
menyedari bukan hanya kitab al-Ihya ini sahaja yang mengandungi hadith-hadith
dhaif dan palsu, ada kitab-kitab lain juga banyak yang mempunyai masalah yang
sama. Mengkritik hadith-hadith palsu dan dha`if dalam kitab al-Ihya ini
tidaklah bererti kita menafikan sama sekali sumbangan penulisnya dan
nilai-nilai ba ik yang terkandung di dalamnya. Sebagai seorang tokoh, tentunya
Al-Ghazali mempunyai sumbangannya yang tersendiri. Namun ini tidak memboleh
kita menyembunyi apa yang benar. Kita mendo`akan keampunan dan kerahmatan
Allah untuknya dan juga kita. Namun persoalan kebenaran dan ilmu mesti
dijelaskan. Firman Allah:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman!
Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi
menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap
diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu.( Surah al-Nisa`: 135)
Al-Ghazali seperti yang dinyatakan oleh al-Hafizd al-Zahabi (wafat
748H) ketika mengulas kesilapan-kesilapannya dalam kitab Ihya `Ulum al-Din:
"Aku katakan: Al-Ghazali adalah imam yang besar, namun bukanlah menjadi syarat
seorang alim itu untuk dia tidak melakukan kesilapan. (rujukan: Al-Zahabi,
Siyar `Alam al-Nubala 19/339, Beirut :Muassasah al-Risalah)
Sesiapa
sahaja yang mengkaji ilmu hadith tahu bahawa Al-Imam al-Ghazali bukan seorang
pakar dalam bidang hadith, ini diakui oleh semua pihak, melainkan mereka yang
jahil tentang ilmu hadith sahaja. Sehingga Taj al-Din al-Subki (meninggal
771H/ Beliau adalah tokoh mazhab al-Syafi’i yang terkenal) yang begitu
mempertahankan al-Imam al-Ghazali dalam Tabaqatnya turut mengakui hal ini
dengan menyatakan: "Adapun apa yang dianggap cacat pada kitab al-Ihya
disebabkan kelemahan sebahagian hadith-hadithnya, ini kerana al-Ghazali
diketahui bukanlah seorang pakar dalam bidang hadith". (rujukan: Taj al-Din
al-Subki, Tabaqat al-Syafi`yyah al-Kubra, 3/449, Beirut :Dar al-Kutub
al-`Ilmiyyah)
Kita lihat apa yang kata tokoh-tokoh hadith umat
mengenai kitab Ihya `Ulum al-Din antaranya:
-Kata al-Hafizd al-Imam
Ibn Kathir (meninggal 774H) dalam Al-Bidayah wa Al-Nihayah: "Ketika berada di
Damsyik dan Bait al-Maqdis, al-Ghazali mengarang kitabnya Ihya `Ulum al-Din,
ianya sebuah kitab yang ganjil. Ianya mengandungi ilmu ya ng banyak berkaitan
syarak, bercampur dengan kehalusan tasawwuf dan amalan hati. Namun padanya
banyak hadith yang gharib, munkar dan palsu".( Ibn Kathir, Al-Bidayah wa
al-Nihayah, 12/186, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah)
-Kata al-Hafizd
al-Imam Ibn Jauzi (wafat 597H): "Kemudian datang Abu Hamid al-Ghazali menulis
untuk golongan sufi kitab al-Ihya’ berdasar pegangan mereka. Dia memenuhi
bukunya dengan hadith-hadith yang batil yang dia tidak tahu kebatilannya".(
rujukan :Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 190, Beirut : Dar al-Kutub al-ilmiyyah)
-Kata al-Hafizd al-Imam al-Zahabi (wafat 748H): "Adapun kitab al-Ihya
padanya ada sejumlah hadith-hadith yang batil. Sekiranya tidak ada padanya
adab, cara dan zuhud yang diambil dari ahli falsafah dan golongan sufi yang
menyeleweng, padanya ada kebaikan yang banyak. Kita memohon daripada Allah
ilmu yang bermanfaat. Tahukah anda apa itu ilmu yang bermanfaat?. Ianya apa
yang dinyatakan al-Quran dan ditafsirkannya oleh Rasululla h secara perkataan
dan perbuatan".( Al-Zahabi, Siyar `Alam al-Nubala`, 19/339)
-Kata
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (wafat 728H): "Abu Hamid (Al-Ghazali) tidak
mempunyai kepakaran dalam hadith-hadith Nabi dan riwayat-riwayat salaf
sepertimana yang dimiliki oleh ahli yang mengetahui perkara itu. Mereka dapat
membeza antara yang sahih dan yang tidak sahih. Oleh itu al-Ghazali menyebut
dalam kitab-kitabnya hadith dan athar yang palsu dan dusta, yang mana kalau
mengetahuinya tentu dia tidak menyebutnya".( Ibn Taimiyyah, Dar`u Ta`arud
al-`Aql wa al-Naql, 7/149, Riyad : Dar al-Kunuz al-Adabiyyah).
Ada
yang kata, kalau iya pun, banyak lagi isu yang lebih penting. Kita katakan
alhamd lil Lah, atas kurnia ALLAH, banyak isu-isu ilmiah utama di negara ini,
kita antara yang awal membincangkannya. Isu Islam Liberal, isu Astora, Syiah
dan seumpamanya. Tulisan-tulisan kita banyak tentang isu-isu itu. Adapun
isu-isu yang disebutkan tadi hanya sampingan sebagai menjawab persoalan-perso
alan yang dibangkit oleh generasi baru yang luas pembacaannya. Namun telinga
anda hanya memetik apa yang anda benci dan memekakkan diri dari apa yang anda
suka. Kami pohon keampunan dari Allah untuk kami dan anda juga !!
Justeru, jauhkan diri fitnah-menfitnah kerana itu perlambangan akhlak
yang buruk dan peribadi yang amat rendah. Kita kurang kecewa apabila pelakunya
itu ‘Shahrir Long’. Namun kita akan kecewa jika hal ini dilakukan oleh
golongan agama, yang berakhlak dan mempunyai maruah diri. Mungkin ada orang
yang benar-benar ingin menasabkan dirinya kepada wahabi. Namun kita sejuta
kali menyebut : ‘Katakan tidak untuk wahabi’. Ya untuk syafii, ya untuk
Hanbali, Ya untuk Maliki, Ya untuk Hanafi. Dengan syarat tidak ekstrim dan
taksub. Tapi no untuk wahabi kerana ia bukan aliran yang cukup untuk
dimazhabkan.