|
CARA
PENYEMBELIHAN ISLAM ZALIM? Binatang yang halal dalam Islam dibahagikan kepada dua kategori, pertamanya, yang susah ditangkap untuk disembelih (seperti rusa dan kijang), dan yang keduanya, yang mudah ditangkap untuk disembelih (lembu dan kambing). Hal ini dijelaskan Allah dalam surah al-Maidah ayat 94 yang bermaksud, Wahai mereka yang beriman, sesungguhnya Allah mengujimu dengan sesuatu dari binatang buruanmu yang dapat ditangkap oleh tangan-tanganmu dan dengan menggunakan tombak-tombakmu. Daging binatang liar yang halal dimakan menjadi halal selepas ia diburu dengan menggunakan senjata tajam dan ia mati selepas dilukai oleh senjata itu. Berhubung dengan ini Adi ibn Hatim pernah bertanya nabi tentang binatang yang mati selepas terkena golok. Baginda bersabda, Jika kamu melempar dengan golok dan golok itu menembusi kulitnya (dan melukainya) maka makanlah dagingnya. Jika tidak maka janganlah dimakan dagingnya. Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Sembelihan dalam Islam dilakukan dengan memutuskan saluran pernafasan (trachea) dan penghadaman (oesophagus) haiwan di samping pembuluh darah arteri karotid (carotid arteries) dan saluran darah jugular (jugular veins) di bahagian kiri dan kanan. Yang tidak boleh dipotong ialah saraf tunjang yang terletak di belakang leher haiwan itu. Pemotongan saluran pernafasan dan pembuluh-pembuluh darah ini menyebabkan darah terus melimpah keluar sekali gus menurunkan tekanan darah secara mengejut di samping menjadikan sistem otak terputus dari bekalan oksigen dan glukosa. Keadaan ini menyebabkan haiwan itu terus pingsan tanpa menderita sakit diikuti dengan kelupur beberapa saat selepas itu. Haiwan yang disembelih ini menggelupur disebabkan otaknya telah kehilangan oksigen dan bukannya disebabkan sakit. Walau bagaimanapun jantungnya masih terus mengepam darah disebabkan saraf tunjangnya yang mengawal sistem denyutan jantung masih berada dalam keadaan yang elok kerana ia tidak dipotong ketika penyembelihan dilakukan.
Sebahagian golongan di barat menganggap cara
penyembelihan yang dilakukan oleh umat Islam adalah kejam. Justeru mereka
mengetengahkan pendekatan baru yang dikenali sebagai stunning sebelum penyembelihan dilakukan
ke atas haiwan. Stunning bermaksud
haiwan yang akan disembelih dipingsankan terlebih dahulu agar ia tidak berasa
sakit ketika penyembelihan dilakukan. Pendekatan seperti ini dianggap sebagai
tidak kejam. Benarkah begitu? Antara cara sembelihan
yang dipopularkan di barat ialah menggunakan konsep Captive Bolt Pistol
Stunning atau CBP. Mengikut
Wikipedia Encyclopedia, CBP menggunakan sejenis pistol yang diisikan
dengan peluru dalam bentuk besi pengancing (bolt) yang ditembak di bahagian dahi
binatang. Bagi binatang biasa peluru besi pengancing ini ditembak pada kelajuan
55 meter./ saat dan bagi binatang yang besar 75 meter / saat. Terdapat dua jenis
besi pengancing yang sering digunakan sebagai peluru. Pertamanya besi pengancing
yang merosakkan bahagian utama otak iaitu bahagian serebrum dan serebelum dan
yang keduanya besi yang sekadar memberikan gegaran kuat kepada otak. Selepas
ditembak peluru akan memasuki semula ke dalam pistol. Kedua-dua pendekatan ini
menyebabkan binatang sembelihan jatuh pingsan supaya selepas itu sembelihan
dapat dilakukan ke atasnya tanpa binatang itu menderita
sakit.
Di samping C.B.P., sebahagian haiwan dipingsankan dengan
mengenakan kejutan elektrik ke dalam otak melalui alat tertentu yang dipasang di
kiri kanan kepala haiwan. Benarkah pendekatan barat dengan stunning tidak menzalimi
binatang? Mengikut Rebecca Smith dalam artikel Sentenced to Death yang dilaporkan
dalam laman web rasmi Viva (Vegetarians International Voice for Animals) di
viva.org.uk, setiap tahun 900 juta binatang ternakan disembelih untuk dimakan di
UK. Beliau menjelaskan, undang-undang UK menuntut agar setiap haiwan
dipingsankan terlebih dahulu sebelum sembelihan dilakukan. Tujuannya ialah agar
setiap haiwan tidak berasa sakit ketika sembelihan dilakukan. Namun, kata
Rebecca Smith, kami telah menganalisi kajian-kajian saintifik yang terkini
serta mendapat pendapat pelbagai pakar berhubung perkara ini dan kami mendapati
apa yang sebenarnya berlaku amat membimbangkan. Sebenarnya, pendekatan yang
dilakukan adalah tidak efektif menyebabkan puluhan juta haiwan berada dalam
keadaan sedar ketika sembelihan dilakukan. Setiap tahun lebih kurang 1.8 juta
khinzir dan 5 juta kambing biri-biri yang dipingsankan melalui kejutan elektrik
sedar semula ketika penyembelihan dilakukan. Tambahan dari itu terdapat kajian
yang menunjukkan penggunaan kejutan elektrik memang tidak berkesan untuk
menyebabkan haiwan pingsan. Mengikut seorang pakar, Dr Harold Hillman, haiwan
sebenarnya berasa sakit ketika kejutan elektrik dikenakan dan baginya ini
merupakan satu bentuk penyeksaan. Berhubung dengan penggunaan pistol berpeluru
seperti pengancing besi (captive bolt pistol), setiap tahun penggunaan teknik
yang salah menyebabkan 230,000 kambing terpaksa menanggung kesakitan selepas
tembakan dilakukan di kepala. Kadangkala tembakan yang kedua terpaksa dilakukan
disebabkan tembakan yang pertama gagal menyebabkan kambing-kambing itu pingsan.
Kajian juga menunjukkan penggunaan kejutan elektrik melalui tangki air (electric
waterbath) ke atas itik, ayam, turkeys, geese juga tidak mencapai matlamat yang
dikehendaki. Lebih kurang 62 juta daripada binatang ternakan ini sedar semula
ketika penyembelihan dilakukan.
///// MEDIA JIM: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat ////////////////////////////////// Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian. Berminat menjadi ahli JIM? Sila isi borang keahlian "online" di: http://www.jim.org.my/forms/borang_keahlian.htm Langganan : Hantar E-mail kosong ke [EMAIL PROTECTED] Unsub : Hantar E-mail kosong ke [EMAIL PROTECTED] YAHOO! GROUPS LINKS
|

