Istimewa Maulidur Rasul 1427 Hijrah: Mengapa Kita Perlukan Rasul Allah?
Rabiul Awal kembali menemui kita. Bulan ini pastinya menggamit memori kita
kepada sambutan Maulidur Rasul yang amat tipikal kepada rakyat Malaysia. Iklan
ceramah-ceramah agama dan aktiviti-aktiviti yang bakal dijalankan bersempena
dengan ulangtahun kelahiran Rasul terakhir ini telah mula kelihatan samada di
televisyen, media cetak, internet, kain rentang dan lain-lain. Tiba hari yang
ditunggu, yang merupakan cuti umum, gema selawat ke atas Nabi, marhaban dan
qasidah yang memuji-muji junjungan besar Muhammad Sallallahu alaihi wa Sallam
mula kedengaran dan perarakan warna-warni kelihatan di mana-mana. Selepas itu,
ceramah yang menceritakan sedutan perjalanan hidup Rasulullah Sallallahu
alaihi wa Sallam selepas kelahiran dan zaman kanak-kanak baginda mula
berputar, sama seperti tahun-tahun yang lalu.
Ada juga pihak yang menganjurkan konsert sempena Maulidur Rasul dengan
menggandingkan penyanyi nasyid dan diva popular tanahair yang tampil dengan
imej bertudung. Konsert pada 1hb April 2006 lepas yang dilaporkan telah menarik
lebih 8,000 penonton itu diserikan dengan kehadiran Ustazah Siti Nor Bahyah
Mahamod yang menyampaikan tazkirah mengenai perjalanan hidup Rasulullah
Sallallahu alaihi wa Sallam sejak dilahirkan sehingga kewafatan baginda
[www.hmetro.com.my, 5 April 2006]. Nampaknya di zaman ini, untuk menimbulkan
kecintaan kepada kekasih Allah, perlu diadakan konsert sebagai satu uslub.
Tazkirah juga perlu disampaikan dalam majlis yang mana wanita bebas mempamerkan
kecantikan dan kelunakan suara melalui nasyid yang berkemundang di hadapan
ribuan penonton yang terdiri dari wanita dan laki-laki ajnabi.
Dan hendaklah kamu tetap di rumah kamu, dan janganlah kamu berhias dan
bertingkah laku seperti orang jahiliah. [TMQ Surah Al-Ahzab: 33]
Kepada masyarakat umumnya, apakah sebenarnya erti Maulidur Rasul itu? Adakah
ia hanya rutin tahunan dengan aktiviti sama saban tahun? Adakah Maulidur Rasul
dapat menumbuhkan keinsafan dalam diri mereka betapa beruntungnya mereka kerana
kehidupan dalam kegelapan yang disulami dengan seribu warna perilaku jahiliyyah
berubah wajah menjadi suatu kehidupan bermartabat tinggi setelah diutusnya para
anbiya? Atau apakah sambutan ini hanyalah seperti sambutan-sambutan lain yang
datang dan pergi tanpa memberikan kesan kepada umat? Malah, pernahkah kita,
umat Islam hari ini memahami Maulidur Rasul dengan memerhatikan hakikat
kelahiran Rasul itu sendiri? Bersempena dengan kehadiran 12 Rabiul Awal 1427H
ini, Sautun Nahdhah ingin mengupas isu ini isu yang bersangkutan dengan
fitrah manusia dan mengapa manusia amat memerlukan seorang Rasul untuk
menjalani kehidupan sejahtera di dunia dan berbahagia di akhirat.
Beragama Sebagai Satu Fitrah
Sejak zaman berzaman, kita menyaksikan manusia itu sebagai makhluk yang
mempunyai naluri beragama (gharizah tadayyun/spritual instinct). Belum pernah
ada suatu masa pun, manusia hidup tanpa mensucikan sesuatu, samada dengan cara
menyembah matahari, bintang, api, berhala, mahupun menyembah Tuhan yang Hakiki,
Yang Maha Suci, Allah Azza wa Jalla. Juga, belum pernah ada satu zaman pun yang
mana manusia tidak menyembah sesuatu. Buktinya, penganut sosialisme yang
menolak agama dan Tuhan, bukan bermakna tidak mempunyai tuhan. Akan tetapi,
mereka mengganti objek penyucian mereka dari satu bentuk tuhan kepada bentuk
tuhan yang lain. Mereka juga mengubah bentuk tazim dan taqdis (pensucian)
dari Tuhan kepada pahlawan, pemimpin dan benda-benda yang mereka anggap
memanifestasikan keagungan.
Titik Ketuhanan (God Spot)
Para ahli sains percaya mereka telah menemui Modul Ketuhanan (God Module)
di dalam otak yang menyebabkan manusia percaya pada agama. Dikatakan bahawa
terdapat saraf di dalam lobus temporal (temporal lobe) yang berkaitan dengan
agama, bertujuan untuk mengwujudkan aturan dan keamanan dalam masyarakat
[http://cas.bellarmine.edu]. Sekumpulan pakar neuro (saraf) di Universiti of
California di San Diego juga telah mengenal pasti kawasan di dalam otak manusia
yang berkaitan dengan pemikiran spiritual (kerohanian) dan ibadah. Penemuan
mereka mendapati bahawa manusia telah diprogramkan secara genetik untuk percaya
kewujudan Tuhan. [www.parascope.com]. Apabila seseorang menjejakkan kaki ke
tempat suci seperti masjid atau gereja, perasaan tazim dan rendah hati ujud
dalam diri. Lobus ini mempunyai kaitan dengan frontal cortex yang mengawal
pusat penumpuan (attention centre) dan juga pusat kognitif (cognition centre)
yang mengawal pemikiran logik (logical thinking). Eksperimen yang
dijalankan mendapati wujud aktiviti elektrik di lobus temporal ini ketika para
pesakit mengatakan mereka mengalami perasaan ketuhanan. Aktiviti elektrik
turut dikesan di kawasan ini ketika pesakit mengalami krisis peribadi dan
kekurangan gula dalam darah (hypoglycemia). [www.islamonline.net]. Namun tidak
kira apa jua yang ditemukan oleh para saintis, yang jelas, Allah Subhanahu wa
Taala telahpun menjelaskan kepada manusia, di dalam Al-Kitab yang tidak ada
keraguan di dalamnya bahawa naluri mencari Rabb (Tuhan) sememangnya wujud pada
manusia sebagai salah satu dari naluri yang di kurniakan Allah ke atasnya..
Dan apabila manusia ditimpa kesusahan, maka ianya memohon kepada Tuhannya
dengan kembali kepadaNya [TMQ Surah Az-Zumar:8]
Tegasnya, memeluk agama merupakan fitrah manusia yang tidak dapat disangkal.
Persoalannya adalah, siapakah sebenarnya yang berhak menurunkan agama yang
hakiki bagi manusia dalam mengatur keperluan naluri beragamanya? Oleh kerana
pemenuhan atau pemuasan naluri ini adalah sesuatu yang bersangkutan dengan Zat
Yang Maha Agung Allah Subhanahu wa Taala, justeru, pemenuhannya mestilah
datang hanya dari Allah Subhanahu wa Taala. Aktiviti untuk memenuhi naluri
beragama ini dinamakan ibadah, yang berfungsi sebagai tali penghubung antara
manusia dengan Penciptanya. Apabila hubungan ini dibiarkan tanpa aturan,
pastinya akan menimbulkan kekacauan dan kekeliruan. Fitrah manusia yang
sentiasa mahu mencari perlindungan pada kuasa yang lebih kuat dan sempurna,
tanpa bimbingan dan petunjuk dari seorang nabi, akan membawa Bani Adam kepada
mencari perlindungan daripada makhluk-makhluk tak bernyawa, haiwan atau pun
sesama manusia sebelum dia dapat mencari Tuhan yang hakiki. Selagi seseorang
itu belum menemui jalan sebenar kepadaNya, fitrah naluri beragamanya akan
sentiasa menunjukkan mana-mana objek/makhluk yang agung sebagai tuhannya.
Justeru itu, bila kita telusuri perjalanan dakwah yang dirintis oleh pada
Nabi ia bukanlah hanya untuk meyakinkan manusia tentang adanya Pencipta alam
semesta malah, lebih dari itu, peranan para anbiya adalah membebaskan manusia
dari cengkaman syirik dan penyembahan kepada selain Allah Yang Maha Suci.
Sebagai contoh, masyarakat Arab yang mengakui kewujudan Allah, melahirkan
keimanan mereka melalui sembahan terhadap berhala sebagai perantara; lantas
Allah menurunkan Rasul-rasul yang datang untuk memberitahu umat manusia, Wahai
manusia! Allah yang kita imani kewujudanNya adalah ini, bukan itu. Ia Maha Esa,
bukan berbilang. Jangan memberi status Allah kepada makhluk. Terimalah Allah
sebagai yang Esa. Jangan menerima sekutu apapun bagiNya.
Kisah Nabi Ibrahim
Nabi Ibrahim alaihissalam dilahirkan di Babylon dalam lingkungan kegelapan
penyembahan berhala dan penyembahan manusia. Manusia merendahkan dirinya kepada
berhala yang dibuat dengan tangannya sendiri atau kepada bintang-bintang.
Pemerintah di waktu itu adalah Namrud putra Kanan yang mengaku dewa sungguhpun
dia juga menyembah berhala. Sokongan dari para ahli nujum yang dianggap sebagai
golongan intelektual di zaman itu dimanfaatkan oleh Namrud untuk memperbodohkan
masyarakat ketika itu. Dalam situasi seperti inilah, Nabi Ibrahim dilahirkan.
Ketika berusaha membawa masyarakat ke jalan kebenaran, pada suatu masa, Nabi
Ibrahim pernah menatap ke langit sewaktu terbenam matahari dan terus berjaga
sehingga ia terbenam lagi di hari berikutnya. Baginda berdebat dengan umat
ketika itu dengan mengemukakan hujjah-hujjah yang mantap. Tatkala kegelapan
malam mula menyelimuti dan menyembunyikan segala tanda kehidupan, bintang yang
bersinar cemerlang muncul dari suatu sudut cakrawala. Untuk memenangi hati
pemuja bintang, baginda mengikuti kaedah berfikir mereka sambil berkata, Itu
adalah pemeliharaku. Namun ketika bintang itu tenggelam dan menghilang,
baginda berkata, Aku tidak dapat menerima tuhan yang tenggelam. Baginda
mematahkan hujjah pemuja bintang yang menganggap bintang itu sebagai tuhan.
Setelah itu, matanya tertuju kepada sinar sang rembulan yang bersinar dengan
cahaya yang memukau. Baginda bersikap seakan bulan itu tuhan tetapi kemudiannya
meruntuhkan kepercayaan itu dengan hujjah yang memuaskan akal mereka.
Ketika Sang Pencipta membenamkan bulan di sebalik cakrawala dan keindahannya
lenyap dari muka bumi, tanpa menyinggung perasaan pemuja bulan, baginda
berkata, Apabila Tuhanku yang hakiki tidak membimbing aku, tentulah aku
tersesat kerana tuhan ini terbenam seperti bintang dan tunduk pada suatu
aturan dan sistem yang secara pasti dibentuk oleh sesuatu yang lain.
Sesungguhnya jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku, pastilah aku
termasuk orang-orang yang sesat [TMQ Surah Al-Anam:77]
Kegelapan malam berakhir dan matahari pun muncul, membuka cakrawala dan
menyebarkan sinar keemasannya ke muka bumi. Para pemuja matahari kemudiannya
terus memalingkan wajah mereka mengadap tuhan mereka. Nabi Ibrahim turut
melakukan hal yang sama, seolah-olah bersetuju dengan pemikiran mereka. Namun,
terbenamnya matahari mengukuhkan bahawa ia tunduk pada suatu sistem alam
semesta yang umum dan Nabi Ibrahim terus mengatakan bahawa ia (matahari) tidak
layak disembah.
Kemudian tatkala dia melihat matahari terbit, dia berkata Inilah Tuhanku,
ini yang lebih besar, maka tatkala matahari itu telah terbenam, dia berkata,
Hai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sekutukan [TMQ
Surah Al-Anam :78]
Kegelapan dan kehidupan yang terpesong dari kebenaran pastinya kekal
berterusan tanpa adanya seorang Nabi yang memberi petunjuk akan wujudnya Tuhan.
Para anbiya juga memberi manusia ilmu pengetahuan dalam bentuk hujjah
intelektual berdasarkan wahyu, yang memuaskan akal dan memberikan ketenangan
dalam hati untuk memenuhi keperluan jasmani dan naluri manusia seiring dengan
pemenuhan naluri beragamanya .
Naluri, keperluan jasmani dan peranan Rasul
Aktiviti seharian manusia dimotivasikan oleh dua perkara yang ingin dipenuhi
olehnya. Dua perkara tersebut adalah naluri dan keperluan jasmani. Selain dari
manifestasi naluri keagamaan, manusia juga hidup untuk memenuhi dua perkara
tersebut. Sekiranya manusia dibiarkan memenuhi dua perkara ini sesuka hati
mereka nescaya akan hancurlah bumi ini. Di sinilah perlunya kita kepada seorang
Rasul yang akan menjelaskan kepada manusia cara-cara pemenuhan naluri dan
keperluan jasmani dengan cara yang betul.
Manusia diciptakan Allah Subhanahu wa Taala dengan memiliki keperluan
jasmani (al-hajat al-udhuwiyyah) seperti makan, minum dan lain-lain yang mesti
dipenuhi. Contohnya, apabila tubuh manusia kekurangan air yang serius, dia akan
mengalami gangguan seperti mendapat penyakit buah pinggang. Apabila manusia
mengalami kekurangan oksigen pula, dia akan mengalami sesak nafas dan boleh
membawa kematian. Inilah hakikat manusia yang lemah.
Ini adalah manusia biasa, yang masih memerlukan makan sama dengan apa yang
kamu makan, dan minum sama dengan apa yang kamu minum [TMQ Surah
Al-Mukminun:33].
Dalam keadaan tertentu, keperluan jasmani ini wajib dipenuhi kerana
kemusnahaan struktur organ badan boleh membawa kematian. Dalam hal ini, Rasul
yang diutus akan menunjukkan jalan melalui sumber wahyu bahawa dalam memastikan
keperluan jasmani ini dapat dipenuhi, sesuatu yang asalnya haram seperti
khinzir menjadi halal demi untuk mengelak kemudaratan. Dengan kata lain, dalam
situasi ini, memakan yang haram hanyalah sekadar untuk meneruskan hidup
(survival).
Maka sesiapa sahaja yang dalam keadaan terpaksa, tanpa unsur kesengajaan dan
penentangan, maka tiada dosa baginya [TMQ Surah Al-Nahl:106].
Dari wahyu juga, kita mendapati bahawa orang yang mencuri untuk makan pada
masa kebuluran tidak dijatuhi hukuman kerana ia hanya ingin mendapatkan
keperluan asasnya. Tiada hukuman potong tangan (kepada pencuri apabila
mencuri pada zaman kebuluran yang amat sangat). [HR Makhul]
Naluri pula merupakan satu fitrah yang terdapat dalam diri manusia agar
manusia dapat melanjutkan keturunan, mempertahankan diri (survival) dan mencari
petunjuk akan kewujudan Sang Pencipta. Naluri ini tidak dapat diindera secara
langsung oleh manusia tetapi dapat dijangkau oleh akal berdasarkan realiti
manifestasinya. Naluri ini tidaklah seperti keperluan jasmani (al-hajat
al-udhiwiyyah) ia tidak akan menjejaskan nyawa manusia jika tidak dipenuhi
sebaliknya hanya akan menimbulkan kegelisahan dan kegawatan fikiran terutamanya
apabila wujud rangsangan dari realiti luaran. Perbincangan mengenai naluri
keagamaan telahpun ditelusuri. Perlunya seorang Rasul dalam membimbing dan
menyampaikan hukum Allah bagi memastikan dua lagi naluri manusia dapat di kawal
dalam pemuasannya secara syari boleh diperhatikan dari contoh di bawah.
i. Naluri Mempertahankan Diri
Allah telah mewahyukan kepada labah-labah:
Kamu ambillah gunung, pokok dan apa sahaja yang mereka jadikan sebagai atap
untuk menjadi tempat tinggal (rumah)-nya [TMQ Surah An-Nahl:68]. Di sini, kita
melihat bahawa Allah Subhanahu wa Taala telah memberikan ciri-ciri khusus
kepada labah-labah untuk membuat tempat tinggal di mana pun yang
memungkinkannya berlindung dari serangan makhluk lain sebagai bukti wujudnya
naluri mempertahankan diri (survival instincts) atau gharizatul baqa.
Manifestasi wujudnya naluri ini ditunjukkan dengan rintihan rakyat Malaysia
apabila harga runcit minyak petrol dinaikkan sebanyak 30 sen kerana kenaikan
harga minyak yang memberi kesan domino ke atas harga barang dan perkhidmatan
yang lain, telah menjejaskan kuasa membeli (purchasing power) kerana pendapatan
boleh-guna (disposable income) mereka turut terjejas. Dalam konteks ini, Islam,
melalui perantaraan RasulNya, menetapkan hukum-hukum yang berkaitan dengan
kepemilikan dan jaminan keperluan asas bagi memastikan bahawa naluri
mempertahankan diri manusia diperhatikan dengan betul.
ii. Naluri Melanjutkan Keturunan
Manusia juga memiliki naluri untuk melanjutkan keturunan (gharizatun
nau/procreation instincts) termasuk menyukai lawan jenis dan menyayangi
kaum-kerabat. Firman Allah Subhanahu wa Taala dalam Al Quran: Sesungguhnya
wanita itu telah bermaksud (melakukan perbuatan itu) dengan Yusuf dan Yusuf pun
bermaksud (melakukannya) dengan wanita itu, seandainya dia tidak melihat
tanda-tanda (dari) Tuhannya [TMQ Surah Yusof:24]. Kehadiran seorang Rasul
dapat memberi petunjuk untuk memenuhi naluri ini dengan jalan yang syarie.
Wahai para pemuda, sesiapa sahaja diantara kamu yang mampu berumahtangga, maka
bernikahlah. Sebab bernikah itu dapat menundukkan pandangan dan membentengi
kemaluan. Namun sesiapa sahaja yang tidak mampu, maka hendaklah berpuasa sebab
puasa itu dapat menjadi benteng (bagi seseorang) [HR Bukhari]. Naluri yang
cuba dikekang atas alasan keagamaan ternyata bertentangan dengan fitrah manusia
yang mahukan pemenuhan naluri seksual sebagaimana kisah seorang lelaki
yang telah didera secara seksual selama 10 tahun oleh seorang paderi bernama
Father Christopher Clonan, paderi di Christ The King Church di Coventry, United
Kingdom. Pemenuhan naluri seksual di luar tabii bukan sekadar menyebabkan
mangsa mengalami schizophrenia dan post-traumatic stress disorder, malah
pihak gereja terpaksa membayar lebih £600,000 pampasan kepada mangsa.
[http://u.tv/newsroom/indepth.asp]. Naluri melanjutkan keturunan ini juga
mendorong seorang ibu, Jacqueline Pascarl-Gilespie dan seorang anak, Raja
Shahirah Aishah Raja Bahrin Shah untuk berusaha menjalin semula hubungan
sehingga dapat bertemu selepas 14 tahun terpisah [www.hmetro.com.my, 8 April
2006]. Islam meletakkan berbagai hukum yang menetapkan hubungan lelaki dan
wanita yang syarie berjalan sesuai dengan fitrah manusia.
Khatimah
Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah, peri pentingnya kehadiran seorang
Rasul kepada manusia amat jelas sekali. Rasul datang untuk menerangkan kepada
manusia agar beriman dengan Pencipta dengan cara yang sebenar-benarnya tanpa
ada unsur wijdan (sangka-sangka). Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa
petunjuk dan agama yang hak agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama. " [TMQ
Surah Al-Fath: 28]. Sayugia, hendaklah kita menjadikan baginda sebagai contoh
terbaik. Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik iaitu
bagi orang-orang yang mengharapkan rahmat dan keredhaan di Hari Kiamat " [TMQ
Surah Al-Ahzab: 21]. Walaubagaimanapun, ini bukan bermakna baginda hanya layak
dijadikan sebagai idola yang dikenang di hari ulangtahun kelahiran sahaja,
diikuti untuk melaksanakan ibadah ritual atau disanjung seperti tokoh-tokoh
tertentu di atas jasa-jasa yang telah disumbangkan sebaliknya kita sebagai umat
Islam sejati hendaklah mengambil contoh teladan yang
telah ditunjukkan baginda dalam semua urusan termasuk sistem pemerintahan,
ekonomi, sosial, perundangan, hukuman, pendidikan dan lain-lain yang mana
kesemua ini hanya dapat direalisasikan secara hakiki dalam sebuah Negara Islam
(Daulah Islamiyyah). Pemahaman yang benar mengenai Islam dengan jalan yang
ditunjukkan oleh nabi (manhaj nubuwwah) pastilah selari dengan firman Allah,
Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat
kepada seluruh alam. [TMQ Surah al-Anbiya : 107].
---------------------------------
Yahoo! Messenger with Voice. PC-to-Phone calls for ridiculously low rates.
[Non-text portions of this message have been removed]
------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~-->
Join modern day disciples reach the disfigured and poor with hope and healing
http://us.click.yahoo.com/lMct6A/Vp3LAA/i1hLAA/wpWolB/TM
--------------------------------------------------------------------~->
///// MEDIA JIM: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat
//////////////////////////////////
Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.
Berminat menjadi ahli JIM? Sila isi borang keahlian "online" di:
http://www.jim.org.my/forms/borang_keahlian.htm
Langganan : Hantar E-mail kosong ke
[EMAIL PROTECTED]
Unsub : Hantar E-mail kosong ke
[EMAIL PROTECTED]
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/islah-net/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/