MALIK: Pemimpin muda tidak tahu tentang sejarah
perjuangan bangsanya. Mereka melihat UMNO sebagai ejen
untuk memudahkan mereka berniaga. UMNO sudah menjadi
terlalu materialistik. Ini realitinya. Akhirnya, kita
hilang pedoman. Inilah yang berlaku kepada dinosaur –
besar tetapi akhirnya pupus. UMNO jangan jadi
dinosaur. 
 
MINGGUAN MALAYSIA  7 Mei 2006 - “UMNO jangan jadi
dinosaur”

SEBAGAI seorang sejarawan yang kemudiannya menjadi
orang politik, Malik Munip mempunyai satu perspektif
yang cukup menarik tentang UMNO yang akan meraikan
ulang tahunnya yang ke-60, Khamis ini.

Dalam wawancara bersama NOOR AZAM SHAIRI di pondoknya
di Muar, Johor kelmarin, Malik melihat betapa masa
depan UMNO dan orang Melayu khususnya akan banyak
bergantung kepada sejauh mana mereka mampu memahami
bukan hanya sejarah parti tetapi juga sejarah negara.

“Kalau mahu memahami kejayaan politik UMNO, kita mesti
menggilap asal usulnya, tahu matlamatnya,” katanya.

Sepanjang perbualan yang bermula sebelum waktu Zuhur
dan kemudian disambung semula selepas solat Jumaat,
Malik berkali-kali menyebut tentang kekuatan orang
Melayu yang tidak disedari oleh orang Melayu sendiri
kerana pengaruh penjajahan minda.

“Kita harus kembali membaca dan memahami sejarah serta
mengenal ketinggian kebudayaan kita,” katanya.

Sementara itu, dalam satu wawancara bersama SITI
MARIAM MD. ZAIN melalui telefon di Kuala Lumpur, Tan
Sri Aishah Ghani, 82, yang mengaku tidak begitu sihat
bagaimanapun semacam mendapat kekuatan baru apabila
diajak berbual mengenai UMNO.

Sebagai seorang yang menyertai UMNO sejak usia
remajanya, tokoh veteran itu berasa cukup bertuah
dapat melihat parti itu berkembang dan berjasa kepada
bukan saja orang Melayu tetapi seluruh rakyat dan
negara.

“Cabaran perlu ditangani dengan bijak oleh ahli-ahli
dan pemimpin jika mahu UMNO terus relevan,” katanya
terus terang sambil menegaskan berkali-kali
tanggungjawab perlu dipikul dengan sebaik mungkin.

MINGGUAN: Apakah maknanya 60 tahun ini kepada UMNO dan
orang Melayu yang diwakilinya?

MALIK: Pergerakan UMNO bertitik tolak daripada satu
perkataan iaitu pembangunan. Ini bukan hanya sekadar
pembangunan fizikal sebaliknya turut memelihara
kedaulatan orang Melayu itu sendiri. Apa ertinya
seseorang itu hebat dan berjaya tetapi dia menolak
asal usulnya dan melihat orang Melayu dengan
kebencian? 

Saya tidak nafikan ada ramai orang Melayu yang hebat
dan berjaya dan menjadi bertambah Melayu, cuma mereka
itu tidak sibuk dengan UMNO. Masalahnya sebahagian
daripada kita tanpa sedar semacam taksub menolak
warisan, menyangkakan warisan itu menjadi penghalang
kepada kemajuan.

Apakah betul sangkaan itu?

MALIK: Nilai Melayu sebenarnya telah dimanipulasikan.
Kita misalnya dilatih untuk percaya bahawa orang
Melayu mundur kerana berpegang kepada nilai biar mati
anak, jangan mati adat. Tanpa sedar kita terperangkap
dalam satu aliran pemikiran yang kita sendiri tidak
faham. Kita mengutuk diri sendiri. Nilai Melayu yang
tinggi itu kita pijak dan buruk-burukkan. Kita tidak
sedar bahawa pepatah itu menunjukkan konsep keadilan
Melayu yang bersendikan agama Islam – demi ketinggian
martabatnya, hukum tidak boleh digadaikan.

Kalau kita lihat nilai etika kerja Melayu pula nilai
itu sebenarnya jauh lebih baik daripada orang Jepun –
daripada sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit, seluk
pekasam biar sampai ke pangkal lengan sampailah kepada
yang lebih grafik, genggam bara api biar sampai jadi
arang. Apakah tidak tinggi nilai etika itu – selagi
diberi tugas, kita jangan sama sekali mengalah biarpun
terpaksa menderita? Ada kalanya kita gagal, dan pada
saat itu kita pulang kepada qadak dan qadar Ilahi –
rezeki secupak tidak akan jadi segantang. Ketika
gagal, kita sebaliknya berjaya meningkatkan keimanan. 

Inilah nilai-nilai baik yang berakar umbi dalam jiwa
orang Melayu tetapi telah ditafsirkan dalam kerangka
yang menjijikkan. Ini sebahagian daripada penjajahan
minda, sehingga kita menganggap warisan kekuatan itu
beban yang menjijikkan. Pedih dan sedih sebenarnya.
Orang Melayu harus memulihkan kesedaran tentang asas
kekuatan mereka.

Bagaimana?

MALIK: Kita harus kembali membaca dan memahami sejarah
serta mengenal ketinggian kebudayaan kita. Pelayar
yang mengelilingi dunia, Datuk Azhar Mansor ketika
ditanya mengenai inspirasinya, mengatakan lebih kurang
begini: “Aku lakukan ini kerana datuk nenek aku pernah
mengelilingi dunia dengan serba kekurangan. Aku adalah
pewaris kepada tradisi keberanian itu.”

Kekuatan yang ada pada orang Melayu itu bukanlah
sesuatu yang baru. Kita hanya menghidupkan semula
nilai yang ada dalam tradisi. Kita harus jadi seperti
orang Korea dan Jepun yang maju kerana kekuatan
tradisi mereka, dari sastera dan budaya.

Kita harus ada program yang rapi untuk ini; tidak
payah sibuk berbunyi tetapi buat belum pasti. Kita
harus melakukan ini sampailah kita mampu berkata
dengan penuh yakin bahawa menjadi orang Melayu dan
manusia yang maju adalah sesuatu yang tidak dapat
dipisahkan.

Kita selalu mendengar pelbagai kritikan tentang sikap
orang Melayu, tentang sukarnya menukar budaya dan
kaitannya dengan kemajuan dan pembangunan. Pandangan
saudara? 

MALIK: Ini sebenarnya tidak ada kena-mengena. Pemenang
Hadiah Nobel Ekonomi, Robert Solow pernah mengatakan
bahawa turun naiknya perkembangan ekonomi dalam
sesebuah masyarakat itu tidak ada kena-mengena dengan
kebudayaan dan nilai masyarakat itu. Prof. Diraja
Ungku Aziz, yang lebih dekat dengan kita di sini,
mencerakinkan kemiskinan luar bandar dan menulis enam
atau tujuh kertas kerja yang hebat. Tidak ada satu pun
analisisnya itu menghubungkaitkan kemiskinan dengan
soal budaya dan nilai. 

Ini proses peminggiran ekonomi bumiputera yang
dimulakan oleh penjajah tetapi kita tidak nampak dan
tidak faham. Chai Hon Chan dalam bukunya The
Development of British Malaya 1896-1909 menunjukkan
bagaimana pembangunan British mengelak kawasan Melayu
– Kuala Lumpur, Seremban, Ipoh dan Taiping. Orang
Melayu hanya tinggal di kawasan pesisir yang tidak
dibangunkan; Jugra di Selangor contoh yang terbaik –
daripada sebuah pelabuhan, ia menjadi bandar yang
sunyi, daripada sebuah bandar akhirnya menjadi
kampung. Orang Melayu apabila tidak faham semua ini
akan mengutuk diri sendiri. 

Tidakkah kutukan itu menjadi cabaran?

MALIK: Proses mengutuk diri itu akhirnya melahirkan
generasi yang meyakini inilah sifat-sifat Melayu yang
sebenar. Orang Melayu akan membenci warisannya sendiri
termasuklah UMNO. Orang Melayu akan hilang kebanggaan
diri. Kata Ibnu Khaldun, masyarakat yang hilang harga
diri tidak mungkin boleh mencipta kejayaan. 

Masyarakat yang kuat harus ada esprit de corps atau
semangat kekitaan yang kuat, bangga dengan warisannya.
Jepun dan Jerman, negara yang cukup maju itu semangat
kekitaan masyarakatnya cukup kuat. Kita? Kita
hancurkan. Kita cemuh dan kutuk orang Melayu. Sekarang
ini macam-macam isu ditimbulkan termasuklah
mempersoalkan DEB.

Bagaimanakah saudara melihat perjuangan UMNO?

MALIK: Ada pemimpin UMNO yang berkata, UMNO ejen
perubahan. UMNO tidak perlu berbicara tentang
perubahan tetapi sebaliknya pembangunan dan kemajuan.
Ini kerana baik disebut atau tidak, perubahan memang
tetap akan berlaku. Falsafah pergerakan UMNO bukan
perubahan tetapi pembangunan iaitu untuk menjadikan
orang Melayu sebagai induk dalam semua bidang.

Kita wajib menterjemahkan kedudukan orang Melayu yang
induk dalam semua bidang penghidupan. Alhamdulillah,
orang Melayu menjadi induk dalam politik. Dalam soal
ekonomi, masih jauh lagi tetapi dalam bidang
pendidikan, kita sedang berkembang ke arah itu. Apa
yang lebih kompleks ialah membina keperibadian bangsa
berdasarkan tradisi keperibadian tempatan.

Apakah cabaran yang dihadapi oleh UMNO?

MALIK: Musuh nombor satunya ialah pembalingan idea
yang boleh menimbulkan syak wasangka tentang kesahihan
perjuangannya. Musuh orang Melayu dari awal Bismillah
tahu tentang ini. Apabila ada orang mempersoalkan
kesahihan perjuangan UMNO dengan melontarkan konsep
keadilan sosial dalam pengagihan ekonomi, ada orang
Melayu yang termakan dengan idea itu.

Kita jangan terlupa tentang proses peminggiran ekonomi
yang dilakukan oleh penjajah. Masalahnya kita tidak
faham tentang peminggiran itu dan diasuh supaya
meyakini bahawa ia terjadi kerana salah kita sendiri.
Akibatnya, kita melahirkan generasi yang otaknya
terbelenggu dengan perancangan penjajah – mengutuk
diri sendiri, menyalahkan budaya dan nilai, dan
sebagainya. Kita tersisih kerana kita tidak memahami
proses penjajahan.

Apakah kelemahan yang mungkin tidak disedari oleh
UMNO?

MALIK: Orang Melayu selalu segan hendak mengaku
hal-hal yang baik yang ada dalam budaya dan
tamadunnya. Ini sense of apologia yang menggilakan
sehingga kita waswas mahu melangkah ke depan, betul
atau tidak setiap tindakan.

Saya pernah berjumpa dengan seorang graduan Jerman
yang lulus ijazah kelas pertama dari University of
Edinburgh dan bertanya tentang kejayaannya. Katanya:
“Saya berjaya kerana saya orang Jerman.” Dia memahami
kekuatan bangsanya, dan menjadikan itu sebagai asas
kejayaannya.

Tetapi sejak akhir-akhir ini, setiap sesuatu yang
melambangkan kecemerlangan Melayu cuba digambarkan
sebagai mengaibkan. Proton yang melambangkan
pencapaian kita yang luar biasa dalam bidang industri
tinggi misalnya dalam masa beberapa tahun ini
diberikan pelbagai gambaran yang negatif. Kita terlupa
bahawa ini adalah soal membangunkan kemahiran dan
kemampuan. 

Ini namanya capacity building, bukan untung rugi.
Kalau kita sudah melahirkan beribu-ribu jurutera
Melayu yang mahir di Proton, kita tidak usah bertanya
ia untung atau rugi kerana itu capacity building untuk
jangka panjang. Capacity building itu adalah asas
untuk mencipta wang, membina kekayaan dan mencipta
kejayaan.

Itu sebabnya saya tidak faham kenapa Proton, dan satu
lagi MAS, dipamerkan sebagai lambang kehancuran. Kita
harus faham dan ambil tahu sejarah MAS. Saya dahulu
mengajar sejarah ekonomi, dan saya berusaha untuk
mengetahui hal-hal ini.

Saya bangkitkan semua ini kerana sedih melihat
pemerahan kepada orang Melayu dalam sejarah. Semasa
zaman penjajah ketika teh mula muncul sebagai tanaman
komersial, semua geran tanah milik orang Melayu dicap
tidak boleh tanam teh. Getah pun begitu juga. Ini
proses peminggiran ekonomi orang Melayu, panjang
ceritanya. 

Sejauh manakah sumbangan UMNO dalam pembinaan ekonomi?

MALIK: UMNO satu-satunya parti politik bumiputera yang
secara konkrit mempunyai rancangan ke arah memecahkan
belenggu daripada colonial economy yang diwarisinya.
Ia sudah mula membuka ruang dengan membina ekonomi
nasional. Kalau sesuatu bidang itu masih dikuasai oleh
satu kaum tertentu misalnya, bidang itu tidak
mencerminkan komponen masyarakat negara ini – masih
lagi colonial economy. Dalam hal ini kita masih belum
berjaya sepenuhnya. Kita kurang berkesan.

Apa sebabnya ia kurang berkesan?

MALIK: Ini berbalik kepada soal tadi, penjajahan
minda. Memberi bantuan kepada orang Melayu dianggap
sebagai subsidi. Itu bukan subsidi tetapi memulangkan
hak yang dinafikan dalam sejarah. Ini hutang negara
kepada orang Melayu yang diwarisi daripada penafian
penjajah terhadap hak bumiputera di buminya sendiri.

Tetapi ada juga pemimpin Melayu yang menyangka
menolong orang Melayu itu sebagai satu anugerah, satu
sedekah. Kepada saya, pandangan yang sebegini adalah
satu dosa kerana kegagalan memahami sejarah ekonomi
bangsanya sendiri. Ini bukan sedekah tetapi sebahagian
daripada tanggungjawab untuk memulangkan hak. Orang
Melayu bukan meminta sedekah tetapi menuntut hak.

Malangnya ada juga orang Melayu termasuk di dalam UMNO
yang menganggap ini semua adalah historical garbage
yang harus ditolak ke tepi.

Kenapa sejarah ini penting untuk difahami? 

MALIK: Pertama, kita akan lebih mengenal diri sendiri
kerana hak-hak kita berkait rapat dengan pemahaman
kita mengenai sejarah. Kedua, kita akan tahu arah yang
hendak dituju dan ketiga, untuk mengelak kita
terperangkap dalam idea-idea yang mahu memesongkan
pemikiran orang Melayu.

Apabila terperangkap dalam idea globalisasi misalnya,
kita akan merasakan aspirasi nasional itu begitu
terasing dan kecil. Globalisasi itu pula diberikan
takrif yang sangat sempit iaitu perdagangan. Ia pula
disifatkan sebagai satu arus – menentang bererti
melawan arus, melawan proses semula jadi. Liberalisasi
melalui globalisasi itu sendiri adalah satu penipuan,
seperti kata Joseph Stiglitz.

Apakah yang orang perlu faham tentang UMNO?

MALIK: UMNO adalah bahtera perjuangan bangsa yang
diwariskan untuk generasi akan datang. Itu kata
Pendeta Za’aba. Dalam gagasan sebuah bahtera yang
besar yang merangkumi segala macam manusia itu
tentulah akan muncul watak-watak yang membuatkan kita
jadi meluat. Tetapi rasa meluat itu bukan asas untuk
kita menghancurkannya, pecahkan bahtera itu. Kita
perlu perbaiki.

Apakah banyak watak yang meluatkan itu?

MALIK: Mereka yang tidak peduli tentang apa yang kita
bincangkan ini. Aneh atau tidak, pada saat orang
Melayu papa kedana kekuatannya hampir tidak ada tolok
bandingnya tetapi ketika berjaya dan dianugerahkan
rezeki melimpah, rezeki itu pula yang melemahkannya?
Semasa UMNO ditubuhkan dulu orang Melayu miskin tetapi
semangatnya cukup kuat pantang berundur tetapi kenapa
sekarang ini luntur dan terhakis kerana harta? Kenapa?

Mereka yang mempersoalkan DEB itu sebenarnya adalah
orang yang mendapat banyak manfaat daripada DEB.
Mereka inilah yang terperangkap dengan idea-idea yang
menjadi musuh itu. DEB selalu dikritik kerana tidak
menyediakan padang yang sama rata. Tetapi masalahnya
orang Melayu sejak dulu hanya jadi pemerhati di tepi
padang apalagi hendak cerita duduk dalam padang.

Pada usianya 60 tahun ini, bagaimanakah kedudukan UMNO
menghadapi sumpah generasi ketiga – generasi pertama
membina, generasi kedua menikmati dan generasi ketiga
menghancurkan.?

MALIK: Kita mesti berikhtiar bertungkus lumus
memelihara supaya sumpah yang terbukti dalam banyak
organisasi di dunia ini tidak berlaku kepada UMNO.

Apakah tanda-tanda itu sudah ada?

MALIK: Ada. Pemimpin muda tidak tahu tentang sejarah
perjuangan bangsanya. Mereka melihat UMNO sebagai ejen
untuk memudahkan mereka berniaga. UMNO sudah menjadi
terlalu materialistik. Ini realitinya.

Ahli falsafah, John Dewey mengatakan bahawa organisasi
pada mulanya menjadi alat untuk mencapai sesuatu.
Setelah berkembang, ia akan sampai kepada satu
peringkat apabila budaya organisasi itu kemudiannya
menyebabkan ahli-ahlinya menjadi alat kepada
organisasi tersebut. Winston Churchill juga mengatakan
hal yang sama, iaitu pertama kita membentuk institusi
dan kemudian institusi itu pula yang membentuk kita. 

Akhirnya, kita hilang pedoman. 

Inilah yang berlaku kepada dinosaur – besar tetapi
akhirnya pupus. UMNO jangan jadi dinosaur. Kita jangan
terlalu syok dengan jumlah ahli tetapi perlu sibuk
membina kualiti ahli. Kalau boleh biar dapat
kedua-duanya sekali – ahli yang banyak dan berkualiti.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=0507&pub=utusan_malaysia&sec=rencana&pg=re_01.htm&arc=hive


     
  Syarak Mengata , Adat Menurut - Syarak Dijunjung , Adat Dijulang
   
  Sudi-sudi layari blog saya di http://waghih.blogspot.com




__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam?  Yahoo! Mail has the best spam protection around 
http://mail.yahoo.com 


------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
You can search right from your browser? It's easy and it's free.  See how.
http://us.click.yahoo.com/_7bhrC/NGxNAA/yQLSAA/wpWolB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

///// MEDIA JIM: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat
//////////////////////////////////

Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.

Berminat menjadi ahli JIM? Sila isi borang keahlian "online" di: 
http://www.jim.org.my/forms/borang_keahlian.htm

Langganan : Hantar E-mail kosong ke  
            [EMAIL PROTECTED]
Unsub     : Hantar E-mail kosong ke  
            [EMAIL PROTECTED] 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke