Berikut ialah Resolusi Muzakarah Ulama 2006 yang telah
mencetuskan kebangkitan umat Islam di Malaysia
menentang serangan IFC, gerakan murtad, Islam Liberal
dan seterusnya. Boleh download dalam PDF format dalam
laman web Jabatan Mufti Perak di
http://mufti.perak.gov.my

R E S O L U S I MUZAKARAH ULAMA 2006
SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-78
KEPUTERAAN DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN
PERAK DARUL RIDZUAN

Tema: Pemurnian Islam daripada Liberalisme dan
Pluralisme 

MUKADIMAH Bismillahi ‘r-Rahmani ‘r-Rahim Dan bahawa
sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul
lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah
kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam),
kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai- Beraikan
kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian Itulah
Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.
Al-An`am: 153 

Dengan limpah rahmat petunjuk Yang Maha Esa, Muzakarah
Ulama yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan
Perak Darul Ridzuan dan Hotel Casuarina, Ipoh pada
14-16 Jamadil Awwal 1427H, bersamaan 11 -13 Jun 2006
telah berkesempatan meneliti, membahas dan merumuskan
tiga kertas kerja di sekitar isu “Islam liberal” dan
pluralisme agama. 

Muzakarah telah mencapai kesepakatan menilai dan
menyikapi aliran pemikiran “Islam liberal”, termasuk
faham pluralisme agama (menyamakan semua
agama/mengakui kebenaran semua agama) sebagai
penyimpangan serius dan berbahaya. Ia adalah 
sebahagian daripada agenda al-ghazw al-fikriy
(serangan pemikiran) yang didalangi oleh kaum
orientalis dan dilatari oleh pengaruh faham asing:
sekularisme modenisme dan pascamodenisme. 

Pemikiran liberal dan plural dalam konteks tersebut
jelas menggugat pokok-pokok ajaran Islam serta
mencemarkan kemurnian dan ketulenannya, termasuk, 
• Mencemarkan kemurnian tauhid (teras `aqidah
Islamiah). 
• Menggugat kemutlakan al-Qur’an sebagai kitab suci,
wahyu Ilahi (kalamu ‘LLah).
• Menggugat martabat kerasulan dan keluhuran peribadi
Nabi Muhammad s.`a. w. 
• Menggugat autoriti al-Sunnah dan ijma` `ulama’. 
• Menggugat keunggulan syari`at dan kedaulatannya. 

Berasaskan hakikat tersebut, muzakarah dengan penuh
kesedaran dan keprihatinan membuat resolusi-resolusi
berikut: 

DASAR-DASAR KERAJAAN 

1. Sesuai dengan tanggungjawab pemegang amanah
hirasatu ‘d-din wa siyasatu ‘d-dunya bih (memelihara
agama dan mengurus kehidupan duniawi dengannya) serta
kewajipan melaksanakan perintah al-amru bi ‘l-ma`ruf
dan an-nahyu `ani ‘l-munkar (memerintahkan kebaikan
dan mencegah kemungkaran), maka pemerintah hendaklah
membuat pendirian tegas tentang penyelewengan aliran
pemikiran “Islam liberal”, termasuk faham pluralisme
agama. Sehubungan dengan itu langkah-langkah
seperlunya hendaklah segera diambil bagi mencegah
penyebaran pemikiran tersebut, termasuk larangan
pengedaran bahan-bahan bercetak atau penyiaran
program-program (media elektronik) yang mempromosikan
idea liberalisme dan pluralisme dalam pengertian
tersebut. 

2. Demi memelihara kemurnian `aqidah Islamiah, amalan
berkongsi perayaan hari kebesaran keagamaan di
kalangan penganut pelbagai agama hendaklah ditinjau
kembali dari segi keselarasannya dengan hukum syara`
kerana dikhuatiri terdapatnya unsur-unsur yang boleh
membawa kepada syirik. 

3. Peruntukan perlembagaan yang mencatatkan kedudukan
Islam sebagai agama Persekutuan hendaklah
dipertahankan, direalisasikan dan diterjemahkan secara
yang lebih nyata dan bermakna dengan mendaulatkan
syari`atnya, menguatkuasakan undang-undangnya,
menerapkan nilai-nilai murninya dan memperkasakan
institusi-institusinya. Sehubungan dengan itu hak dan
kewajipan umat Islam untuk menghayati dan mengamalkan
Islam secara utuh dan murni sebagai cara hidup
hendaklah sentiasa dilindungi daripada sebarang
gangguan mana-mana pihak. 

4. Selaras dengan semangat tersebut, pemerintah
hendaklah dengan tegas dan muktamad menolak IFC
((Interfaith Commission) dan gagasan-gagasan lain
sepertinya yang bermotif menggugat Islam (ajarannya,
undang-undangnya dan institusi-institusinya) serta
mencampuri urusan keagamaan masyarakat Islam.

5. Melihat gejala penyuburan gaya hidup
sekularistik-materialistik sebagaimana yang terjelma
dalam bentuk keleluasaan budaya hedonistik
pesta-pestaan dan hiburan yang melampau-lampau,
muzakarah ini berpendapat bahawa perkembangan tersebut
akhirnya akan mengakibatkan pendangkalan agama dalam
erti pemusnahan kekuatan rohaniah dan pencemaran iklim
kehidupan keagamaan di kalangan rakyat. Sehubungan
dengan itu muzakarah ini mendesak pemerintah segera
bertindak mengawal perkembangan tersebut, terutama
media massa (cetak dan elektronik) yang seharusnya
berfungsi mendidik rakyat dengan nilai-nilai murni
keagamaan untuk merealisasikan cita-cita pembinaan
masyarakat yang religius (masyarakat yang taat
beragama). 


PENDIDIKAN DAN PENYELIDIKAN 

6. Menyedari betapa seriusnya ancaman terhadap
keutuhan dan kemurnian Islam akibat berleluasanya
penyebaran faham dan aliran pemikiran yang menyeleweng
seperti yang dilakukan oleh JIL (Jaringan Islam
Liberal) dan sekutu-sekutunya, maka muzakarah ini
mengusulkan penubuhan badan atau institusi khusus yang
dianggotai oleh ulama dan ahli-ahli akademik untuk
memantau dan menangani ancaman pemikiran tersebut. 
Sebuah unit khas dengan fungsi seperti di atas perlu
diwujudkan di Jabatan Mufti. 

7. Berdasarkan kenyataan bahawa faham sesat yang
memakai label “Islam liberal” tersebut selalu
diperlihatkan sebagai wacana yang bersifat
keintelektualan dan disasarkan terutamanya kepada
golongan terpelajar, maka muzakarah ini menyarankan
agar kursus mengenai aliran-aliran pemikiran yang
menyeleweng diajarkan di institusi-institusi pengajian
tinggi dengan penekanan khusus pada kritik dan
sanggahan terhadap “Islam liberal” dan aliran-aliran
lain sepertinya. 

8. Sehubungan dengan perkara di atas, program
penghantaran pelajar-pelajar bidang pengajian Islam ke
institusi-institusi pengajian tinggi luar negara
hendaklah dilaksanakan secara yang lebih selektif dan
berhati-hati dengan mengambil kira risiko pengaruh
pemikiran “Islam liberal” ke atas pelajar-pelajar
berkenaan. 

9. Menginsafi pengaruh aliran-aliran pemikiran yang
membahayakan faham dan pegangan keagamaan di kalangan
umat, muzakarah ini merasakan perlunya usaha
pemantapan pendidikan `aqidah Islamiah (berasaskan
faham ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah) di semua peringkat
pendidikan formal dan tidak formal. 


DAKWAH DAN DIALOG 

10. Menyedari hakikat bahawa kegiatan jahat
mencemarkan kemurnian ajaran Islam adalah bersifat
global, intensif dan terancang, muzakarah ini menggesa
semua pihak, institusi-institusi kerajaan, badan-badan
dakwah, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan
parti-parti politik agar lebih prihatin dan
berpartisipasi secara aktif, serius dan penuh komitmen
dalam gerakan membasmi faham-faham perosak, dan
menyedarkan umat tentang bahaya “Islam liberal”
termasuk faham pluralisme agama. 

11. Di samping meningkatkan usaha pemurnian Islam
dengan menolak “Islam liberal” dan faham pluralisme
agama, muzakarah ini ikut mendukung idea dialog antara
agama dengan semangat untuk saling memahami dan saling
menghormati tanpa mencairkan jati diri dan keyakinan
terhadap agama masing-masing. Selain itu, pintu dialog
juga seharusnya sentiasa terbuka kepada semua pihak
termasuk para pendukung “Islam liberal” dan
lain-lainnya. 


PEMBAHARUAN, IJTIHAD DAN PERSYARATANNYA 

12. Muzakarah ini juga menyepakati keperluan melakukan
pembaharuan keislaman dalam erti tajdid, islah dan
ijtihad. Bagaimanapun, usaha-usaha tersebut harus
dilaksanakan berasaskan prinsip dan kaedah yang sah
mengikut ajaran Islam. Dalam kaitan ini, muzakarah
mengingatkan bahawa pembukaan pintu ijtihad tidak
dengan sendirinya bererti kebebasan dan
kesewenang-wenangan ber”ijtihad” tanpa tertakluk
kepada sebarang syarat. Ijtihad adalah `ilmun wa
amanah (ilmu dan sekaligus amanah) yang harus
dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab oleh
mereka yang memenuhi segala persyaratannya. 


TEKAD DAN KOMITMEN MUZAKARAH 

13. Menyedari berlakunya pelbagai percubaan untuk
mendistorsikan hakikat Islam dan mencipta “Islam”
versi liberal, muzakarah ini bertekad untuk berjuang
mempertahankan dan mempromosikan Islam hakiki, tulen
dan murni berdasarkan sumber asasinya, al-Qur’an dan
al-Sunnah. Sehubungan dengan itu muzakarah menyeru
seluruh umat untuk menentang usaha musuh-musuh Islam
untuk merubah wajah dan citra Islam mengikut selera
dan keinginanan mereka. 

Hotel Casuarina, Ipoh, 16 Jamadil Awwal 1427H, 13 Jun
2006. 


     
   
  Adat Bersendikan Hukum , Hukum Bersendikan Kitab Allah
  Syarak Mengata , Adat Menurut
   
  Sila layari Blog PAS N.Sembilan di http://pasns.blogspot.com
   




__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam?  Yahoo! Mail has the best spam protection around 
http://mail.yahoo.com 


///// MEDIA JIM: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat
//////////////////////////////////

Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.

Berminat menjadi ahli JIM? Sila isi borang keahlian "online" di: 
http://www.jim.org.my/forms/borang_keahlian.htm

Langganan : Hantar E-mail kosong ke  
            [EMAIL PROTECTED]
Unsub     : Hantar E-mail kosong ke  
            [EMAIL PROTECTED] 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke