Hizbullah : Apakah sikap kita?
Posted on Tuesday, August 08 @ 06:59:46 MYT by admin

oleh : Maszlee Malik

Lewat isu nuklear Iran dan juga peperangan
Zionis-Hizbullah, timbul satu
fenomena di Malaysia. Terdapat dua golongan yang
saling bertentangan di
dalam menyikapi isu ini. Di satu pihak, wujud golongan
yang mengambil
peluang isu ini untuk mempromosikan Syiah dan ideologi
revolusi Iran. Di
sudut yang bertentangan pula, wujud golongan yang
menentang Syiah dan
menyatakan kebimbangan mereka mengenai tersebarnya
ideologi Syiah kerana isu
tersebut.

Pihak yang giat mempromosikan ideologi Syiah telah
berhujahkan kehebatan dan
ketegasan Iran berhubung isu nuklear. Mereka juga
bagaikan mendapat bonus
apabila Hizbullah dengan beraninya menyerang konvoi
tentera Zionis yang
telah menyebabkan peperangan ke atas Lubnan. Menurut
mereka, apa yang
dilakukan oleh Hizbullah itu menunjukkan betapa
hebatnya prinsip dan aqidah
Syiah. Tidak ketinggalan, di mana-mana demo
dianjurkan, pastinya ada sahaja
gambar-gambar pemimpin Syiah Iran dan Hizbullah akan
dijulang. T-shirt
Hizbullah juga dipakai dengan bangganya oleh para
pemuda dari golongan ini.
Di mailing list-mailing list dan blog-blog juga
terdapat artikel-artikel
yang memuji Syiah, mempromosikan mereka dan cuba untuk
menyeru ke arah Syiah
dan ideologi revolusi.

Pihak ini juga telah menggunakan peluang yang ada
untuk menghentam para
pengkritik Syiah, terutamanya golongan Salafi.
Pendirian kerajaan Saudi yang
pro-AS dan juga fatwa mufti Saudi yang terlalu
kontreversi juga telah
digunakan sebagai peluang untuk menghentam golongan
Salafi. Bagi mereka,
bukan hanya kerajaan Saudi, malah seluruh pejuang
Islam yang berfahaman
Salafi adalah agen Yahudi, agen AS dan juga ada yang
terus mengkafirkannya.
Mungkin golongan ini terlupakan Usamah Ben Laden dan
al-Qaeda serta para
mujahidin di Checnya, Kashmir dan di Iraq yang
merupakan golongan berfahaman
Salafi jalur keras. Mereka juga mungkin tidak
perasankan HAMAS yang
merupakan cabang Ikhwan al-Muslimin di Palestin.
Ikhwan telah dikenali di
seluruh dunia sebagai gerakan yang mengambil aqidah
"Salafiyyah" sebagai
aqidah mereka. Mungkin juga Dr Yusuf al-Qaradawi
tercicir dari senarai
mereka. Al-Qaradawi adalah seorang yang beraqidahkan
salafiyyah, malah
tulisan beliau mengenai Syirik, bid'ah dan juga aqidah
jelas menunjukkan
pegangannya yang bersumberkan ajaran Ibn Taimiyyah dan
Muhammad bin Abdul
Wahab.

Di satu sudut pula, ada golongan yang bulat-bulat
menerima fatwa mufti
Saudi. Berbekalkan kenyataan-kenyataan Abu Mus'ab
al-Zarqawi di Iraq, mufti
tersebut telah menyama ratakan semua golongan Syiah di
muka bumi ini. Jika
hukuman yang diberikan ke atas golongan Syiah itu
berkaitan dengan aqidah,
majoriti akan bersetuju. Malangnya, situasi di Lubnan
sekarang adalah isu
politik. Isu politik harus ditafsirkan dan ditanggani
dengan menggunakan
neraca politik. Di dalam pertimbangan politik,
bukannya aqidah dan juga
pegangan yang menjadi ukuran, tetapi maslahah
(keuntungan) dan mafsadah
(kerugian). Umat Islam haruslah mengutamakan maslahah
(keuntungan) yang
lebih besar kepada umat secara keseluruhan dan
mengelakkan mafsadah
(mudarat) daripada umat. Begitu juga di waktu
peperangan. Rakan kita,
bukanlah hanya mereka yang seaqidah, tetapi siapakah
yang dapat memberikan
manfaat kepada umat. Rakan kita di waktu peperangan
juga, ialah sesiapa yang
sedang menentang musuh kita. Bak kata pepatah Inggeris
" The enemy of my
enemy is my friend". Jikalaulah yang dapat bersama
untuk menyelamatkan
maslahah umat Islam itu bukan Islam sekalipun, kita
wajib bersama mereka.
Apatah lagi, jika yang dapat bersama kita untuk
menentang musuh bersama itu
di kalangan umat Islam sendiri.

Bahasa Politik

Di dalam isu perang Zionis ke atas Lubnan, sewajarnya
isu aqidah ini tidak
timbul. Isu ini haruslah disikapi dengan penuh
kematangan dan dengan penuh
strategi. Isu pokoknya adalah isu Palestin. Apa yang
dilakukan oleh
Hizbullah adalah bertujuan untuk membantu rakyat
Palestin yang telah ditekan
dan diganasi oleh rejim Zionis semenjak kemenangan
HAMAS di dalam
pilihanraya Majlis Legaslatif yang lalu. Hizbullah
pula, sememangnya telah
berjanji dengan HAMAS untuk sama-sama saling membantu
di dalam menentang
rejim Zionis. Jasa mereka harus diberikan kredit.
Begitu juga dengan Iran
yang merupakan bapa kepada Hizbullah.
Pendirian-pendirian mereka berhubung
isu Palestin tidak boleh dipandang remeh. Jika
dibandingkan dengan lain-lain
negara anggota OIC, Iran lebih ke hadapan selepas
Qatar, Syria dan Yemen. Di
dalam isu ini, biarlah bahasa politik yang kita
gunakan dan bukannya bahasa
"agama" atau "aqidah".
Di dalam isu perang Zionis ke atas Lubnan, sewajarnya
isu aqidah ini tidak
timbul.

Bukanlah saya bermaksud untuk menjadi sekular, tetapi
kebijaksanaan umat
Islam untuk berpolitik itu perlu. Umat Islam harus
berusaha mengurangkan
musuh dan bersikap fokus. Maslahah umat Islam yang
lebih besar harus
didahulukan. Di dalam politik, usaha membanyakkan
rakan dan mengurangkan
musuh amat perlu. Bila rakan kita ramai, risiko ke
atas umat akan kurang,
berbanding jika kita mempunyai terlalu ramai musuh.
Sama juga seperti isu
Palestin. Seharusnya umat Islam menjadikan isu
Palestin ini sebagai ruang
untuk mencari kekuatan. Isu ini sepatutnya dijadikan
ruang untuk kita
bertemu dan bersatu untuk menentang Zionis. Bukan
hanya sekadar
Syiah-Sunnah, malah juga mazhab-mazhab dalam Islam
seperti Ibadhiyyah,
Zaiidiyyah, malah dengan Kristian yang bersimpati
dengan kita sekalipun kita
sepatutnya bersatu. Seharusnya kita berusaha
meramaikan rakan di dalam kem
menentang Zionis dan berusaha megurangkan musuh.
Inilah usaha yang dilakukan
oleh al-Quds Institute di dalam mempertahankan Masjid
al-Aqsa. Bukan hanya
sekadar wakil dari Syiah juga turut menganggotai
institut ini, malah
wakil-wakil Kristian juga ada di dalamnya. Mungkin
pengalaman Salahudin
mengambil Kristian-kristian Arab untuk bersama
menentang tentera Salib boleh
dijadikan contoh.

Walau bagaimanapun ini bukanlah bermaksud kita perlu
mengakui kebenaran
aqidah Syiah. Mana mungkin kita mengiktiraf kebenaran
aqidah mereka yang
menuduh Aisyah berzina, mana mungkin kita bersetuju
dengan aqidah
orang-orang yang mengkafirkan sahabat, menghina
isteri-isteri Rasul, menolak
hadis-hadis kita dan juga menganggap ahli sunnah
sebagai penghuni neraka?

Di dalam persoalan aqidah kita wajib tegas. Kita wajib
mempertahankan aqidah
kita. Namun, di dalam isu politik dan peperangan,
bahasanya lain. Maka kita
mempunyai pndirian yang tegas. Apa yang berlaku tidak
akan sekali-kali
menyebabkan kita terpengaruh dengan aqidah Syiah. Apa
yang berlaku juga
sekali-kali tidak akan membuatkan kita termakan dengan
taqiyah dan juga
penyelewengan aqidah mereka. Kita katakan "YES
Hizbullah, but NO Syiah!",
atau "YES Hizbullah but NO Aqidah Syiah!"

Lubnan bukan Iraq dan Pakistan

Golongan yang tidak dapat menyokong Hizbullah dan
bersimpati terhadap mereka
kebanyakannya tidak dapat melupakan jenayah-jenayah
golongan Syiah di Iraq
dan Pakistan. Memang benar, di Pakistan dan Iraq hatta
di Iran, hubungan
Sunni-Syiah amat tegang. Syiah di Pakistan adalah
minoriti yang berusaha
memastikan survival mereka dan bersikap agresif untuk
memastikan kewujudan
mereka di bumi itu. Pertumpahan darah di dalam
pertembungan kedua-dua
golongan adalah sesuatu yang biasa di sana. Begitu
juga di Iraq. Hubungan
Sunni-Syiah, (terutamanya pasca penjajahan AS) semakin
tegang. Usaha
golongan Syiah untuk menguasai Iraq bukan lagi rahsia.
Mereka sanggup
membunuh, bersekongkol dengan AS dan juga melakukan
tipu daya demi
memastikan matlamat mereka dicapai. Keadaan di sana
telah berjaya menarik
perhatian Dr Yusuf al-Qaradawi untuk masuk campur dan
memberikan amaran
kepada golongan Syiah di Iraq.

Walau bagaimanapun suasana di Lubnan agak berbeza.
Walaupun Hizbullah
merupakan wakil Syiah di Lubnan bersama gerakan Amal,
namun survival mereka
di sana berbeza. Syiah di Lubnan terpaksa bersatu
dengan ahli Sunnah demi
memastikan survival mereka. Lubnan yang didominasi
golongan Kristian telah
memaksa komuniti muslim tidak berperang sesama
sendiri. Fenomena ini
walaupun wujud hanya selepas berakhirnya peperangan
saudara (1975-1990),
namun ianya dapat bertahan sehingga kini. Kepahitan
peperangan saudara telah
menyaksikan bagaimana setiap golongan berjuang untuk
mempertahankan
kewujudan masing-masing. Perstiwa itu telah menjadi
peristiwa hitam yang
tidak mahu diingati lagi oleh sesiapa pun di Lubnan.
Di atas dasar inilah,
Perdana Menteri Lubnan, Fuad Siniora tetap bertegas
untuk menyokong
Hizbullah di dalam mempertahankan negara mereka dari
serangan Zionis. Beliau
dan juga pemimpin-pemimpin bukan Syiah di Lubnan tetap
bertegas untuk tidak
mengikut telunjuk Zionis yang memaksa mereka untuk
menentang Hizbullah.

Secara tegas, para pemimpin Lubnan menyatakan bahawa
mereka tidak akan
mengulangi peperangan saudara seperti yang pernah
mereka tempuhi dahulu.
Serangan Zionis ke atas Lubnan, adalah serangan ke
atas rakyat Lubnan dan
bukannya serangan ke atas Hizbullah semata-mata.
Mereka bersepakat di dalam
hal ini. Sekali lagi, faktor politik membawa sikap
yang berbeza di dalam
kehidupan. Di Lubnan, aqidah bukan isunya lagi, tetapi
survival kelompok dan
juga keamanan bersama adalah agenda utama setiap
golongan. Hal in berbeza
dengan suasana di Iraq dan Pakistan, hatta di Iran
sekalipun.

Hizbullah dan HAMAS

Berkaitan isu Palestin pula, pendirian Hizbullah patut
diberikan kredit.
Bukan kerana mereka Syiah, tetapi kerana komitmen
mereka. Jika Iran
dikaitkan sebagai penyebab utama munculnya Hizbullah,
kita juga tidak boleh
melupakan peranan rakyat Palestin sendiri. Sebelum
kemunculan Hizbullah, dan
sebelum ideologi revolusi Iran diekspot ke Lubnan,
kelompok Syiah yang
berjuang menentang Zionis kebanyakannya berpayungkan
perjuangan PLO dan
sosialis. Di bawah payung PLO jugalah mereka telah
dilatih dan dilibatkan
untuk menentang penjajahan Zionis di selatan Lubnan.
Setelah kemunculan
Hizbullah, kebanyakan para komando dan pejuang Syiah
ini telah menyertai
Hizbullah. Kebanyakan mereka menyertai Hizbullah
kerana PLO telah dihalau
keluar daripada Lubnan pasca perjanjian Philip Habib
dengan para pemimpin
Lubnan pada tahun 1982. Di atas dasar inilah,
Hizbullah dan perjuangan
rakyat Palestin mempunyai hubungan yang sentimental.
Mereka tidak akan
melupakan rakyat Palestin yang telah memperkenalkan
mereka kepada perjuangan
dan jihad.
Hizbullah pula, sememangnya telah berjanji dengan
HAMAS untuk sama-sama
saling membantu di dalam menentang rejim Zionis.

Kemunculan HAMAS yang membawa ideologi Islam juga
telah mencorakkan warna
yang baru kepada perhubungan Hizbullah-Palestin. HAMAS
yang mewakili
perjuangan Islam Ahli Sunnah menentang Zionis telah
bersetuju dengan
Hizbullah yang mewakili perjuangan Islam Syiah di
dalam jihad mereka. Musuh
mereka yang satu perlu ditentang bersama. Bak kata
pepatah Sudan "dua tangan
akan melontar lebih jauh daripada satu tangan sahaja".
Kewujudan HAMAS di
Lubnan sekarang ini pun mempunyai kaitannya dengan
Hizbullah. Keselamatan
wakil HAMAS di Lubnan, seperti Usamah Hamdan, Muhammad
Nazal dan lain-lain
juga berhubung rapat dengan kekuatan Hizbullah. Tanpa
kekuatan Hizbullah di
Lubnan, kemungkinan besar mereka telah diusir atau
telah lama dibunuh oleh
golongan Zionis. Hal ini telah diketahui oleh dunia,
malah oleh rejim Zionis
sendiri. Namun, ini tidak menjadikan pula para anggota
HAMAS bersimpati
dengan aqidah Syiah dan menjadi Syiah. Di dalam
literas-literasi aqidah
Ikhwan, tetap menyenaraikan Syiah sebagai golongan
yang rosak aqidahnya.
Sikap seperti inilah yang sepatutnya kita ambil.

Hanya Syiah boleh mengusir Israel

"Hanya Syiah sahaja yang mampu untuk mengusir
Israel!", Slogan inilah yang
selalu dicanangkan oleh sesetengah pihak yang
mempromosikan ideologi Syiah.
Keupayaan Hizbullah menghalau tentera Zionis dari
selatan Lubnan pada Mei
2000 telah dijadikan dalil yang paling sahih di dalam
membela Syiah. Bagi
para pendengar yang mengikut sahaja tanpa berfikir dan
mengkaji, fakta ini
akan diterimanya bulat-bulat. Akhirnya terdetik di
dalam hati, Syiah
sahajalah yang betul dan paling layak untuk
mengalahkan musuh Islam. Adakah
ini benar?

Ya, memang Hizbullah telah berjaya mengusir tentera
rejim Zionis dari
selatan Lubnan, tetapi mereka bukanlah satu-satunya
kuasa yang dapat
mengalahkan Zionis. Cukuplah Salahuddin al-Ayubi
sebagai bukti. Beliau
bukanlah seorang Syiah, tetapi ahli Sunnah. Malah,
sebelum beliau
melancarkan kempen perang ke atas tentera Salib,
beliau terlebih dahulu
membersihkan bumi Mesir daripada golongan Syiah
Fatimiyin. Syiah Fatimiyah
telah bertindak menikam umat Islam daripada belakang
ketika mereka sedang
bertempur dengan tentera Salib. Di atas dasar itulah,
Salahudin terlebih
dahulu menumpukan usaha menghapuskan Syiah Fatimiyah
sebelum berjihad
menentang tentera Salib. Kesimpulannya, Ahli Sunnah
mampu untuk
mempertahankan Palestin dan Masjid al-Aqsa.

Adakah kita terlupakan peperangan Arab-Zionis pada
tahun-tahun 1947-1948.
Lupakah kita terhadap kemenangan tentera-tentera
sukarelawan Mesir dan Syria
dari kalangan anggota gerakan Ikhwan al-Muslimin?
Mereka hampir sahaja
berjaya menghapuskan terus kekuatan penganas-penganas
Zionis. Jika tidak
kerana campurtangan British dan pemimpin-pemimpin Arab
yang korup dan
pengkhianat, sudah tentu Israel tidak akan wujud.
Kesimpulannya, ahli Sunnah
juga pernah mengalahkan Zionis.

Lupakah juga kita kepada peperangan 1973?, kehebatan
tentera Mesir
mengalahkan rejim Zionis sehingga memaksa Zionis
menggunakan pengaruh mereka
terhadap Anwar Sadat, presiden Mesir pada waktu
tersebut. Sadat telah
mengkhianati rakyat Mesir melalui Camp David 1978.
Walaupun Mesir telah
mendapatkan semula Sinai, tetapi mereka terpaksa
melupakan isu Palestin.
Kesimpulannya, Ahli Sunnah juga pernah mengalahkan
tentera Zionis.

Lupakah juga kita kepada peperangan Karamah 1968 di
Jordan? Tentera Zionis
telah dikalahkan dengan teruk di dalam peperangan di
antara mereka dengan
tentera Jordan. Sehingga kini, kereta kebal Zionis
yang telah berjaya
ditawan oleh Jordan lewat peeprangan tersebut masih
terdapat di kawasan
al-Gahur, Jordan. Sehingga hari ini, pada setiap 21
Ogos setiap tahun,
Jordan akan merayakan hari kemenangan tersebut. Sekali
lagi, kesimpulannya,
Ahli Sunnah juga pernah mengalahkan tentera Zionis.

Akhir sekali yang paling hampir dengan kita adalah
pengunduran tentera
Zionis beserta penduduk Yahudi dari Gaza secara
keseluruhannya pada Ogos
2005. Bukankah itu merupakan satu kemenangan. "
Indihar al-Suhyuniah"
(Pengunduran Zionis) itu merupakan antara buah
kejayaan gerakan Intifadah
rakyat Palestin. HAMAS, Jihad Islami, briged Syuhada
al-Aqsa milik Fatah dan
juga lain-lain fraksi perjuangan berhak menerima
kredit untuk tujuan
tersebut. Bukankah mereka ahli sunnah?, sekali lagi,
ahli sunnah juga mampu
untuk mengalahkan Zionis. Bukan sekali, malah banyak
kali, jauh lebih banyak
daripada golongan Syiah!

Jika itu senario di Palestin, di tempat lain di serata
dunia banyak lagi
contoh yang boleh dibanggakan oleh Ahli Sunnah. Perang
di Afghanistan
sebagai contoh. Bukankah para mujahidin telah berjaya
mengalahkan Rusia.
Mereka bukannya puak Syiah. Syiah hanya datang selepas
kemenangan untuk
meluaskan pengaruh mereka di sana dan telah
menyebabkan perang saudara
meletus. Di Bosnia, para mujahidin " Salafi Jihadi"
telah berjaya
mengalahkan tentera Serbia. Mereka bukan Syiah. Di
Checnya, para mujahidin
"Salafi Jihadi" di sana juga bukan Syiah. Di Iraq
juga, para mujahidin
adalah dari kalangan ahli sunnah. Syiah pula telah
melakukan pelbagai cara
dan makar untuk menguasai Iraq, sehingga sanggup
bekerjasama dengan AS.

Kesimpulannya, perjuangan jihad dan juga kemenangan
tidak terletak pada
Syiah atau tidaknya sesuatu kumpulan. Maka, adalah
silap bagi mereka yang
mempromosikan Syiah lewat isu Hizbullah ini!
Seharusnya kita berusaha meramaikan rakan di dalam kem
menentang Zionis dan
berusaha megurangkan musuh.

Pendirian yang sepatutnya

Sebagai kesimpulan, bolehlah kita katakan, isu yang
wujud sekarang ini wajib
disikapi oleh umat Islam dengan bijaksana. Isu ini
bukanlah hujah bagi
promoter Syiah untuk mempromosikan aqidah dan ideologi
mereka. Waktu ini
juga bukanlah waktu untuk berbicara mengenai kesesatan
aqidah Syiah. Kita
berada di dalam suasana peperangan. Pendirian Dr Yusuf
al-Qaradawi dan
Majlis Ulama Islam Sedunia ( International Union for
Muslim Scholars) wajar
dicontohi, walaupun beliau menyeru umat Islam di
Lubnan untuk membantu
Hizbullah menentang Zionis, tetapi beliau tetap
memberikan amaran kepada
Syiah di Iraq agar memberhentikan serangan ke atas
Ahli Sunnah. Pendirian
Jammat Islamiyyah di Lubnan pimpinan Ibrahim al-Masri,
juga wajar dicontohi.
Jamaat yang merupakan cawangan Ikhwan di Lubnan telah
bersetuju mengerahkan
kader-kader mereka untuk mengangkat senjata bersama
Hizbullah menentang
Zionis, tetapi di dalam literasi-literasi tarbiyah
mereka tetap
menyenaraikan aqidah Syiah sebagai aqidah yang batil
dan sesat.

Akhir sekali, perbincangan yang tidak membuahkan amal
bukanlah sesuatu yang
menguntungkan. Di waktu kita sibuk di dalam
mempromosikan Syiah, ataupun
menghentam Syiah, ratusan kanak-kanak dan wanita terus
menjadi mangsa
kegilaan rejim Zionis. Tidak kiralah, anda
pro-Hizbullah ataupun pro-HAMAS,
yang penting apakah sumbangan anda di dalam isu ini?

Bukan hanya di Lubnan, malah di Gaza, di Tebing Barat,
dan di Baitul
Maqdis... kesemuanya memerlukan sokongan anda. Rakyat
Palestin terus
dilupakan walaupun sekatan ekonomi masih lagi
dikenakan ke atas mereka.
Rakyat Palestin di Gaza terus bergelapan,
sekolah-sekolah telah hancur,
kerajaan di bawah pimpinan HAMAS tetap ditekan, rakyat
masih kelaparan.
Sehingga kini, lima menteri kabinet Palestin masih
lagi ditahan, 25 ahli
parlimen masih lagi dikurung oleh Zionis, dan lebih
10,000 tahanan Palestin
masih lagi terseksa di dalam tahanan Zionis. Masjid
al-Aqsa masih lagi
diancam. Sehingga kini, sudah sebulan umat Islam tidak
dapat menunaikan
solat Jumaat di Masjid al-Aqsa kerana dikepong oleh
pegawai polis Zionis.
Pada 3 Ogos 2006, sekumpulan ekstrimis Zionis telah
dibenarkan oleh Mahkamah
Tinggi Zionis untuk memasuki kawasan Masjid al-Aqsa
untuk melakukan upacara
perayaan mereka.

Lakukan sesuatu. Hulurkan sumbangan anda. Bangunlah
pada sepertiga malam
terakhir untuk bermunajat kepada Allah agar memberikan
kemenangan kepada
umat Islam. Lakukanlah juga Qunut Nazilah menurut
Sunnah Rasulullah SAW,
boikot barangan Zionis, dan bantulah mereka sekadar
yang anda mampu.

Jika anda masih lagi hendak membicarakan persoalan
Sunnah-Syiah di dalam
keadaan seperti ini, di manakah Fiqh Awlawiyat anda?

Note: **Penulis merupakan ahli al-Quds Institute yang
berpusat di Beirut,
dan baru pulang dari Beirut seminggu sebelum
bermulanya perang di Lubnan." 

__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam?  Yahoo! Mail has the best spam protection around 
http://mail.yahoo.com 


///// JIMedia: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat
//////////////////////////////////

Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.

Berminat menjadi ahli JIM? Sila isi borang keahlian "online" di: 
http://www.jim.org.my/, dari seksyen "BORANG Online".

Langganan : Hantar E-mail kosong ke  
            [EMAIL PROTECTED]
Unsub     : Hantar E-mail kosong ke  
            [EMAIL PROTECTED] 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke