Forum tajdid garap formula untuk perkasakan Islam
Oleh SITI AINIZA KAMSARI
www.utusan.com.my

SESUNGGUHNYA Allah akan mengutuskan kepada umat pada awal setiap 
satu kurun (seratus tahun), orang yang mentajdidkan bagi umat itu 
agamanya. (Riwayat Abu Daud)

Ini merupakan maksud sebuah hadis Rasulullah yang antara lain 
membawakan pengajaran bahawa tajdid pada agama boleh menjadi satu 
formula kepada umat Islam untuk kembali perkasa.

Berdasarkan hadis itu, usaha Muslim Professionals Forum Berhad 
(MPF), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, menganjurkan 
forum mengenai tajdid wajar diberi pujian. 

Forum bertajuk Gerakan Tajdid: Sejarah Perkembangan dan Cabaran di 
Era Globalisasi itu dibarisi pakar bedah jantung dan paru-paru, 
Profesor Madya Dr. Farouk Musa; juruterbang Penerbangan Malaysia 
(MAS), Kapten Hafiz Firdaus Abdullah; pensyarah Universiti Islam 
Antarabangsa Malaysia (UIAM), Maszlee Malik; dan pensyarah 
Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

Bagi memahami istilah tajdid itu, Maszlee berkata, ulama terkenal 
Dr. Yusof Al-Qaradawi mendefinisikan tajdid sebagai mengembalikan 
sesuatu kepada bentuk asalnya sehingga ia menjadi baru kembali 
walaupun ia sebenarnya sesuatu yang telah lama. 

Maszlee berkata, tajdid bukannya menggantikan Islam dengan ajaran 
yang baru atau kita tertipu dengan pemahaman Barat yang menganggap 
reformasi dan tajdid mempunyai erti yang sama. 

"Ini kerana reformasi lebih membawa unsur untuk membuang segala yang 
lama dan menggantikan dengan yang baru.

"Malangnya, pemahaman seperti inilah yang melanda segelintir umat 
Islam. Lalu mereka bertindak untuk merubah, membuang dan merosakkan 
ajaran Islam atas nama tajdid," katanya.

Menurutnya, tajdid juga disebut dalam al-Quran sebagai islah 
(pembaikan) dan taghyir (perubahan) yang mestilah difahami sebagai 
proses perubahan berlandaskan akidah atau iman dalam usaha 
mengembalikan kefahaman dan amalan Islam yang sebenar dalam kalangan 
umat.

Pembaharuan ini lazimnya dilakukan dalam dua bentuk iaitu Tajdid 
Kulliy (Tajdid makro) dan Tajdid Juziy (Tajdid Mikro). Tajdid Kulliy 
melibatkan perubahan secara menyeluruh dalam segenap kehidupan umat 
Islam dengan agama menjadi paksi utama kepada berlakunya perubahan 
tersebut. 

"Ia berjaya dilakukan oleh beberapa tokoh terkemuka Islam dalam 
sejarah. Antaranya Khalifah Umar Abdul Aziz dan Salahuddin Al Ayubi 
yang bukan sahaja mengembalikan sistem pemerintahan Mesir tetapi 
kejayaan membebaskan Masjid Al-Aqsa daripada tentera Salib," kata 
Maszlee.

Tajdid secara mikro pula adalah seperti yang dilakukan oleh Imam As-
Shafie yang mewujudkan kaedah memahami hukum yang dikenali sebagai 
Usul Fiqh.

"Begitu juga Imam Al-Bukhari yang menjadikan hadis Rasulullah 
sebagai satu cabang ilmu (Mustalah Hadis) dan Imam Al-Ghazali yang 
memerangi falsafah sesat dan mengembalikan umat Islam kepada 
pemurnian akidah Islam," kata Maszlee. 

Hafiz pula berkata, tajdid amat perlu dilaksanakan terutama oleh 
umat Islam di negara ini yang diancam gerakan-gerakan globalisasi 
yang hebat. 

"Sehinggakan globalisasi membuka tafsiran baru mengenai agama dengan 
menjadikan agama itu `hamba' kepada peradaban kini. Inilah antara 
yang boleh difahami tentang gerakan liberal yang dilihat semakin 
cuba melebarkan sayap mereka. 

"Mereka beranggapan azab kubur, turunnya Nabi Isa dan wanita yang 
menutup aurat sebagai punca kemunduran umat Islam, lalu ia perlu 
ditolak daripada pegangan umat Islam.

"Golongan ini juga menambahkan amalan dalam ibadat tertentu dan 
mengurangkan ibadat lain," katanya.

Globalisasi, menurut Hafiz, juga menyebabkan tersebarnya pemikiran 
pluralisme yang antara lain bermaksud semua agama adalah baik, sama 
dan benar. 

"Turut diperjuangkan oleh golongan pluralisme ini ialah soal hak 
asasi manusia bahawa setiap individu berhak melakukan apa sahaja 
yang dikehendaki.

"Sehinggalah mereka menyokong pemikiran feminisme yang menyuruh 
wanita menjadi seumpama lelaki tetapi pada waktu yang sama bersaing 
dan membenci lelaki," katanya. 

Sementara itu, Mohd. Asri berkata, dalam sejarah Islam golongan 
agama adalah tonggak kepada kebangkitan umat. 

"Kesyumulan Islam membentuk pemikiran para ulama agar kritis, maju 
dan membangun," katanya. 

Beliau menegaskan, untuk melakukan tajdid dengan kembali kepada 
sumber akidah, hukum dan panduan kehidupan Islam iaitu al-Quran dan 
sunah, seseorang itu mesti menepati disiplin keilmuan yang dituntut.

"Ia tidak boleh dibayangi kepercayaan khurafat, mengambil hadis-
hadis yang ditolak, cerita-cerita Israiliyyat yang menyanggahi nas-
nas, mempercayai mimpi, kisah ahli agama dan cerita kewalian yang 
tiada sandaran. Ini kerana hanya Rasulullah seorang yang maksum," 
tegas Asri.

Beliau turut menekankan keperluan tajdid pada pegangan akidah atau 
ketauhidan terhadap Allah.

"Sedikit sebanyak beriman secara taklid dan jumud menyebabkan 
berlakunya pelbagai fenomena yang merosakkan keutuhan iman dan 
akidah umat Islam sejak akhir-akhir ini.

"Ini kerana Islam tidak difahami daripada persoalan akidah, pada hal 
ia adalah teras dan asas. Ini menyebabkan syirik serta khurafat 
begitu berleluasa dalam pemikiran umat," katanya.

Tajdid juga, kata Asri, perlu dalam cara berfikir untuk membangun, 
membaiki dan menyusun kembali umat yang perlu selaras mengikut 
ajaran al-Quran dan sunah.






///// JIMedia: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat
//////////////////////////////////

Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.

Berminat menjadi ahli JIM? Sila isi borang keahlian "online" di: 
http://www.jim.org.my/, dari seksyen "BORANG Online".

Langganan : Hantar E-mail kosong ke  
            [EMAIL PROTECTED]
Unsub     : Hantar E-mail kosong ke  
            [EMAIL PROTECTED] 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke