SAMBUTAN NISHFU SYA'BAN BUKAN DARI SUNNAH? Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus =======================================================
Apabila memperkatakan tentang bulan Sya'ban, maka tentu sekali tarikh 15 Sya'ban atau juga lebih di kenali sebagai Nishfu Sya'ban akan bermain-main di fikiran masing-masing. Pada tarikh ini atau lebih spesifik pada waktu malamnya di anggapmemiliki kemuliaan khusus sehinggakan rata-rata umat Islam di Malaysia mengkhususkan amalan-amalan tertentu seperti melakukan solat malam yang khusus, berpuasa pada siang harinya, membaca surah Yassin sebanyak 3 kali dan diselang-selikan dengan doa-doa yang khusus di antaranya. Ada juga yang beranggapan pada malam inilah diangkat segala amalan kita dan ditentukan segala perkara berhubungan dengan kehidupan makhluk seperti hidup, mati, rezeki, untung baik, untung jahat dan lain-lain atau dikenali sebagai al-Qadr. Di dalam risalah yang ringkas ini penulis akan cuba mengutarakan beberapa perkara yang sering diperdebatkan tentang Nishfu Sya'ban seperti: 1) Status Hadis Tentang Nishfu Sya'ban 2) Amalan-Amalan Khusus Sempena Nishfu Sya'ban 3) Benarkah al-Qadr Itu Jatuhnya Pada Malam Nishfu Sya'ban Status Hadis Tentang Nishfu Sya'ban =================================== Hadis-hadis yang membicarakan tentang Nishfu Sya'ban kesemuanya berstatus dha'if (lemah) dan mawdhu' (palsu) kecuali terdapat sebuah hadis menurut Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah adalah sah daripada Nabi shallahu 'alaihi wasallam iaitu riwayat yang diterima daripada Mu'adz bin Jabal radhiallahu 'anh. Lafaz hadis tersebut adalah: Daripada Mu'adz bin Jabal daripada Nabi shallahu 'alaihi wasallam, baginda bersabda: Allah memerhatikan kepada makhluknya pada malam Nishfu Sya'ban lalu Dia memberi keampunan kepada semua makhluknya kecuali orang musyrik dan pendengki. Hadis riwayat Ibnu Abu `Ashim dalam kitab al-Sunnah, Ibnu Hibban di dalam Shahihnya, dan al-Hafidz al-Haithami di dalam Majmu' al-Zawaid Oleh itu sekiranya kita ingin termasuk di kalangan orang diberi keampunan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala pada malam Nishfu Sya'ban, maka hendaklah kita termasuk di kalangan orang yang tidak melakukan perbuatan syirik serta menghindari sifat pendengki. Namun begitu seharusnya kita sedari bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala juga turun ke langit dunia setiap hari pada sepertiga akhir malam dan Dia akan mengampunkan dosa-dosa bagi mereka yang memohon keampunan dari-Nya. Sabda Rasulullah shallahu 'alaihi wasallam: Rabb kita Tabaraka wa Ta'ala turun pada setiap malam ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam yang akhir. Allah berfirman: "Siapa yang berdoa kepadaKu, nescaya Aku akan mengabulkannya; siapa yang meminta kepadaKu, nescaya Aku akan memberinya; siapa yang memohon ampun kepadaKu, nescaya Aku akan mengampunnya." - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam kitab Shahih al-Bukhari, hadis no: 1145. Oleh itu sewajarnya kita mempertingkatkan amal ibadah yang sah daripada Nabi shallahu 'alaihi wasallam sepanjang masa dan tidak hanya menunggu hari-hari yang tertentu atau malam-malam tertentu seperti malam Israk Mikraj dan Nishfu Sya'ban melainkan terdapat dalil yang sahih menunjukkan pada malam tersebut sememangnya memiliki fadhilat-fadhilat tertentu seperti pada bulan Ramadan dan malam Lailatul Qadar. Amalan-Amalan Khusus Sempena Nishfu Sya'ban ============================================= Sekiranya kita perhatikan hadis yang sahih tentang Nishfu Sya'ban yang telah penulis ketengahkan di atas maka kita dapati ianya tidak menganjurkan upacara-upacara tertentu mahupun ibadah-ibadah yang khusus sempena Nishfu Sya'ban. Oleh itu amalan-amalan khas pada hari Nishfu Sya'ban seperti berpuasa, solat pada malamnya, membaca surah yasin sebanyak 3 kali, doa-doa yang khas dan lain-lain bukanlah amalan yang dianjurkan oleh Nabi shallahu 'alaihi wasallam mahupun para sahabat radhiallahu 'anhum. Sekiranya amalan-amalan khusus pada malam tersebut memiliki keutamaan yang tinggi serta memberi manfaat yang besar kepada umat Islam pasti baginda serta para sahabat akan mendahului kita dalam mengamalnya. Menurut Dr. Yusuf al- Qaradawi: Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi shallahu 'alaihi wasallam dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nishfu Sya'ban, membaca doa tertentu dan mendirikan solat tertentu seperti yang kita lihat di sebahagian negeri umat Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam itu selepas Maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yassin dan mendirikan solat 2 rakaat dengan niat panjang umur, 2 rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia. Kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik daripada golongan salaf (iaitu para sahabat, tabi'in dan tabi'ut tabi'in). Ia satu doa yang panjang, menyanggahi nas (al-Qur'an dan al-Sunnah) juga bercanggahan dan bertentangan makna Perhimpunan (malam Nishfu Sya'ban) seperti yang kita lihat dan dengar berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid'ah dan direka-reka. Sepatutnya kita melakukan ibadah sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan ialah dengan mengikuti perbuatan salaf, segala keburukan itu adalah bid'ah (rekaan) golongan selepas mereka (khalaf). Setiap yang diada- adakan itu bid'ah dan setiap bid'ah itu membawa kepada kesesatan serta setiap yang sesat itu menuju ke neraka. Dr. Yusuf al- Qaradawi, Fatwa Mu'asarah, jilid 1, ms. 382-383. Di nukil dari buku Membela Islam Tanggungjawab & Disiplin karya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, Karya Bestari, Shah Alam, 2006, ms. 95. Syaikh Muhammad Abdussalam rahimahullah pula berkata: Solat 6 rakaat, pada malam Nishfu Sya'ban dengan niat untuk menolak bala, panjang umur dan untuk kekayaan, dan juga membaca surah Yasin beserta doanya merupakan hal yang baru dalam agama (bid'ah) dan bertentangan dengan sunnah Rasul. Muhammad Abdussalam Khadr al- Syaqiry, As-Sunan wa al-Mubtada'at (edisi terjemahan bertajuk Bid'ah- Bid'ah Yang Dianggap Sunnah, Qisthi Press, Jakarta 2004) ms. 155. Imam al-Nawawi rahimahullah di dalam Majmu' Syarah Muhazzab pula berpendapat: Solat yang dikenal dengan solat al-Raghaib iaitu 12 rakaat yang dilakukan di antara Maghrib dan Isyak pada malam Jumaat pertama dari bulan Rejab dan solat Nishfu Sya'ban sebanyak 100 rakaat; kedua-dua solat tersebut adalah bid'ah yang mungkar. Janganlah hendaknya orang terperdaya kerana kedua-duanya disebutkan dalam kitab Qutub al-Qulub dan Ihya' Ulumiddin, dan jangan terperdaya dengan hadis yang disebutkan dalam kedua kitab itu kerana semuanya adalah batil belaka. Dinukil dari buku Amalan Bid'ah Pada Bulan Muharram, Rejab, Sya'ban & Ramadhan karya Dr. Abdul Ghani Azmi bin Hj. Idris, Al-Hidayah Publisher, Kuala Lumpur 1995, ms. 106. Setelah menyebut sejumlah ayat dan hadis serta pendapat para ulamak tentang malam Nishfu Sya'ban, Syaikh Abdul Aziz Abdullah bin Bazz rahimahullah berkata: Berdasarkan ayat-ayat, hadis-hadis dan pendapat para ahli ilmu di atas jelaslah bagi orang yang mencari kebenaran bahawa memperingati malam Nishfu Sya'ban dengan solat dan sebagainya serta mengkhususukan siangnya untuk berpuasa adalah bid'ah mungkar menurut kebanyakkan ahli ilmu dan tidak ada dasarnya dalam syari'at yang murni, tetapi peringatan malam Nishfu Sya'ban ini terjadi dalam Islam setelah masa sahabat. Cukuplah bagi para pencari kebenaran mengenai masalah ini dan masalah lain melihat firman Allah: Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. al-Maaidah (5) : 3 Kemudian dijelaskan dalam sabda Rasulullah yang semakna dengan ayat di atas: Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia. - Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, hadis no: 1718. Juga dari hadis-hadis lain yang semakna dengannya yang diriwayatkan dalam Shahih Muslim: Jangan mengkhususkan malam Jumaat untuk Solat Malam (Qiyam al-Lail) di antara lain-lain malam, dan jangan mengkhususkan hari Jumaat dengan puasa di antara lain-lain hari, kecuali puasa wajib. - Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, hadis no: 1144. Seandainya mengkhususkan malam-malam tertentu dengan ibadah itu boleh tentu malam Jumaat lebih utama untuk dikhususkan dari malam- malam selainnya, kerana malam Jumaat adalah hari terbaik yang dijelaskan dalam hadis sahih daripada Rasulullah. Rasulullah shallahu 'alaihi wasallam bersabda: Sebaik-baik hari yang terbit di dalamnya matahari adalah hari Jumaat Hadis riwayat Imam Ahmad. Ketika Nabi shallahu 'alaihi wasallam melarang untuk mengkhususkannya di antara malam-malam lainnya, hal ini menunjukkan bahawa malam-malam lainnya walaupun dianggap mulia, juga tidak boleh dikhususkan untuk beribadah kecuali ada dalil sahih yang menunjukkan pengkhususannya. Dinukil dari kitab Syaikh Abdullah bin Abdul Azizi al-Tuwaijiry bertajuk al-Bida' al-Hauliyyah, (edisi terjemahan bertajuk: Ritual Bid'ah Dalam Setahun, Darul Falah, Jakarta 2003) ms. 319-320. Oleh itu tidak ada amal ibadah yang perlu dikhususkan sempena Nishfu Sya'ban kerana tidak ada hadis yang sahih daripada Nabi shallahu 'alaihi wasallam menganjurkannya. Hadis-hadis yang dijadikan dalil oleh mereka yang menyatakan terdapat amalan-amalan tertentu berkaitan Nishfu Sya'ban kesemuanya lemah dan palsu sehingga tidak boleh dijadikan hujah. Tentang penggunaan hadis-hadis yang tidak sabit daripada Rasulullah shallahu 'alaihi wasallam Imam al-Thahawi rahimahullah di dalam kitabnya Musykilul Athar (jilid 1, ms. 176) telah berpesan: Barangsiapa yang menceritakan (hadis) daripada rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam atas dasar zhan / persangkaan, bererti dia telah menceritakan (hadis) daripada baginda shallallahu 'alaihi wasallam dengan tanpa haq (dengan tidak benar). Dan orang yang menceritakan (hadis) daripada baginda shallallahu 'alaihi wasallam dengan tanpa haq, bererti dia telah menceritakan (hadis) daripada baginda shallallahu 'alaihi wasallam dengan cara yang batil. Dan orang yang telah menceritakan (hadis) daripada baginda shallallahu 'alaihi wasallam dengan cara yang batil, nescaya dia menjadi salah seorang pendusta yang masuk ke dalam sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam: Barangsiapa yang sengaja berdusta atas namaku, maka hendaklah dia mengambil tempat tinggalnya di neraka. (Hadis riwayat Imam al- Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 107) - Dinukil daripada kitab al-Masaa-il tulisan Ustaz Abdul Hakim bin Amir Abdat, jilid 1, ms. 41) Benarkah al-Qadr Itu Jatuhnya Pada Malam Nishfu Sya'ban ======================================================= Al-Qadr bermaksud penetapan. Oleh itu bagi mereka yang beranggapan al-Qadr itu berlaku pada malam Nishfu Sya'ban mereka mengandaikan segala urusan yang bakal berlaku pada tahun berikutnya akan ditentukan pada malam tersebut. Mereka menduga pada malam inilah diangkat segala amalan kita dan ditentukan segala perkara berhubungan dengan kehidupan makhluk seperti hidup, mati, rezeki, untung baik, untung jahat dan lain-lain. Mereka berhujah dengan Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab). (Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar). al-Dukhaan (44) : 3-4 Menurut tafsiran Ikrimah malam yang diberkati itu dan ditetapkan segala urusan manusia adalah malam Nishfu Sya'ban. Namun begitu pendapat ini tertolak kerana nas-nas yang sahih telah menjelaskan bahawa al-Qur'an diturunkan pada bulan Ramadan dan malam yang diberkati itu adalah malam Lailatul Qadar iaitu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! - al-Qadr (97) : 1-5 Al-Hafidz Ibnu Kathir rahimahullah ketika menafsirkan surah al- Dukhaan ayat ke 3 dan 4 telah menyatakan: Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman menjelaskan tentang al-Qur'an al- Adzim, bahawa al-Qur'an diturunkan pada malam yang penuh berkat, iaitu malam Lailatul Qadar, seperti yang telah difirmankan oleh Allah dalam surah al-Qadr: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar - al-Qadr (97) : 1 Hal itu terjadi pada bulan Ramadan, seperti yang difirmankan oleh Allah: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. al-Baqarah (2) 185 Intinya barangsiapa yang mengatakan bahawa malam yang dimaksudkan (dalam surah al-Dukhaan itu) adalah malam Nishfu Sya'ban sepeti yang diriwayatkan daripada Ikrimah, berti dia telah menjauhkan diri dari pengertian aslinya, kerana nas al-Qur'an menegaskan bahawa yang dimaksud dengan malam yang penuh berkah itu (iaitu Lailatul Qadar) ada pada bulan Ramadhan. Al-Hafidz Ibnu Kathir, Tafseer al-Qur'an al-`Adzim, jilid 4, ms. 137. Syaikh Muhammad Abdussalam rahimahullah pula berkata: Keyakinan bahawa malam Nishfu Sya'ban adalah malam Lalitul Qadar adalah keyakinan yang salah. Demikian kesepakatan para ahlil hadis sebagaimana dijelaskan oleh Ibnu Kathir dalam tafsirnya. Ketika menjelaskan Sunan al-Tirmidzi, Ibnul Arabi ,mengatakan bahawa firman Allah "Sesungguhnya kami menurunkan al-Qur'an " (al-Dukhaan (44) : 3) menunjukkan ianya malam Nishfu Sya'ban adalah tidak benar kerana Allah tidak pernah menurunkan al-Qur'an pada bulan Sya'ban. Tetapi ayat itu harus difahami secara lengkapnya "Sesungguhnya kami menurunkan al-Qur'an pada malam Lailatul Qadar" di mana Lalilatul Qadar itu ada pada bulan Ramadan. Hal ini juga ditegaskan lagi oleh Allah: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran (al-Baqarah (2) : 185). Keyakinan tersebut (iaitu al-Qadr berlaku pada malam Nishfu Sya'ban) sangat bertentangan dengan Kitabullah dan sangat mengabaikan isinya. Perlu kami ingatkan bahawa Allah menegaskan tentang malam itu "(Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar)." (al-Dukhaan (44) : 3), pada malam Lailatul Qadarlah dijelaskan segala hal kepada malaikat, bukan pada malam Nishfu Sya'ban. - Muhammad Abdussalam Khadr al-Syaqiry, As-Sunan wa al- Mubtada'at, ms. 156. Kesimpulan ============ Dari sini dapat kita simpulkan bahawa Rasulullah shallahu 'alaihi wasallam tidak pernah menetap amalan-amalan tertentu khusus untuk Nishfu Sya'ban dan penetapan segala urusan manusia (al-Qadr) juda tidak berlaku pada malam Nishfu Sya'ban. Hanya sahaja pada malam Nishfu Sy'aban Allah Subhanahu wa Ta'ala akan mengampun dosa- dosa mereka yang benar-benar mentauhidkan-Nya dan tidak memiliki sifat pendengki. Oleh itu handaklah kita menanamkan dalam diri masing-masing ke dua sifat tersebut demi untuk mendapatkan fadhilat malam Nishfu Sya'ban iaitu diampunkan dosa-dosanya oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Program-program sempena Nishfu Sya'ban juga seharusnya menekankan isu-isu berkaitan perkara-perkata yang mencemari tauhid yang sedang berleluasa diamalkan di dalam masyarakat seperti berjumpa bomoh, memakai tangkal, berdoa dengan perantaraan kubur-kubur yang dianggap keramat, menganggap tokoh- tokoh agama seakan-akan maksum sehingga pendapatnya wajib dikuti walaupun bercanggah dengan nas, mempercayai ahli nujum, meyakini ramalan horoscope dan banyak lagi. Hendaklah kita memperbanyakan ceramah-ceramah agama yang dapat membersihkan jiwa kita dari sifat- sifat yang jelek seperti dengki, iri hati, khianat, busuk hati, sombong, gemar bergaduh dan lain-lain agar dapat kita membentuk sebuah masyarakat yang bersatu-padu dan harmonis. Walaupun saban tahun kita kita menyambut kedatangan Nishfu Sya'ban namun pencemaran tauhid tetap berleluasa dalam masyarakat kita dan perasaan saling dengki-berdengki tetap menjadi sifat yang sinonim dengan bangsa Melayu. ///// JIMedia: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat ////////////////////////////////// Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian. Berminat menjadi ahli JIM? Sila isi borang keahlian "online" di: http://www.jim.org.my/, dari seksyen "BORANG Online". Langganan : Hantar E-mail kosong ke [EMAIL PROTECTED] Unsub : Hantar E-mail kosong ke [EMAIL PROTECTED] Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/islah-net/ <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/

