Hadis Kaab bin Malik
r.a:
Bahawa pada masa Rasulullah s.a.w, ayahnya pernah menagih
hutang kepada Ibnu Abi
Hadrad di masjid
dengan suara mereka yang tinggi sehingga Rasulullah s.a.w yang berada di rumah
mendengarnya. Maka baginda keluar menuju ke arah mereka dan menyingkapkan tirai
bilik lalu memanggil Kaab bin Malik: Wahai Kaab! Kaab menjawab: Saya, wahai Rasulullah! Kemudian baginda
mengisyaratkan supaya Kaab memaafkan sebahagian dari hutangnya. Kaab berkata: Baiklah, wahai Rasulullah! Baginda
bersabda kepada Ibnu Abu Hadrad: Bangunlah dan bayarlah
Nombor
Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 2912
Hadis Abu Hurairah
r.a:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah
bersabda: Suatu ketika dahulu ada seorang lelaki yang pernah memberi hutang
kepada orang ramai. Beliau berkata kepada pembantunya: Apabila kamu menagih
hutang daripada orang yang dalam kesulitan, berilah kelonggaran kepadanya,
semoga Allah memberi kemudahan pula kepada kita. Kemudian beliau menemui Allah,
maka Allah memberi kemudahan kepadanya
Nombor
Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 2922
Hadis Abi Mas'ud r.a
katanya:
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Ada
seorang lelaki dari umat sebelum kamu, diperhitungkan amalannya, maka tidak ada
satu pun kebaikan melainkan beliau banyak memberi hutang kepada orang ramai
kerana beliau adalah seorang yang kaya. Beliau menyuruh para pembantunya agar
memberi kemudahan terhadap orang yang dalam kesukaran. Maka Allah s.w.t
berfirman: Kami lebih berhak berbuat begitu daripada beliau. Berilah kemudahan
kepada beliau
Nombor
Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 2921
Hadis Abu Hurairah
r.a katanya:
Ada
seorang lelaki yang mempunyai hak pada Rasulullah s.a.w bercakap kasar dengan
baginda, sehingga para sahabat Nabi s.a.w merasa
susah hati. Maka Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya pemilik hak itu boleh berkata
apa saja. Baginda bersabda: Belikanlah seekor unta lalu berikanlah kepadanya.
Lalu mereka berkata: Kami tidak mendapatkan apa-apa kecuali unta yang lebih baik
dari pada untanya. Baginda bersabda lagi: Belilah dan berikanlah kepadanya
kerana sesungguhnya orang yang paling baik di antara kamu atau orang yang
terbaik di antara kamu adalah orang yang paling baik ketika membayar hutang
Nombor
Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3003
Dari Abu Hurairah ra :
Rasululullah SAW bertanya :
Tahukah kamu siapakah orang yang bangkrap
itu?
Para sahabat ra menjawab :
Orang yang tidak mempunyai wang dan
harta.
Rasululullah SAW bersabda :
Orang yang bangkrap dikalangan umatku, adalah orang yang datang pada hari
kiamat dengan solat, puasa dan zakat, tetapi dia telah memcaci si anu, mencela
si anu, memakan harta si anu, membunuh si anu, menyakiti si anu. Dengan itu,
kebaikannya dibahagikan kepada setiap orang yang pernah disakitinya. Kerana
orang yang disakitinya itu ramai, maka amal soleh nya habis. Setelah itu,
kejahatan dan dosa orang yang disakitinya pun ditimpakan kepadanya untuk
membayar kejahatan yang pernah dilakukannya. Dia dilemparkan ke dalam neraka
jahannam, kerana banyak dosa.
Agama Islam membenar malah mengharuskan seseorang itu berhutang
ketika berdepan dengan kesusahan dan kesempitan hidup yang melibatkan masalah
kewangan. Dalam masa yang sama, Islam memberi galakkan kepada umatnya agar
memberi bantuan dan pertolongan kepada mereka yang memerlukan dalam pelbagai
bentuk seperti pinjaman secara hutang bagi meringankan beban yang ditanggung
oleh mereka lebih-lebih lagi dalam hal keperluan asasi.
Firman Allah
S.W.T :
Maksudnya :
"Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah
dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman
kepada Allah (semata-mata untuk mendapatkan pahala) dengan pinjaman yang baik
(ikhlas) akan digandakan balasannya dan mereka pula akan beroleh pahala yang
mulia" (Al-Hadid : 18)
Firman Allah S.W.T :
Maksudnya :
" Dan
bertolong-tolonglah kamu pada jalan kebaikan dan ketaqwaan dan janganlah
bertolong-tolong pada perkara dosa dan permusuhan" (Al-Maidah : 2)
Namun
demikian, Islam begitu teliti dan amat memandang berat dalam soal memberi,
menerima dan membayar semula hutang tersebut kerana ia melibatkan hubungan
sesama manusia ketika hidup di dunia ini sehinggalah ke akhirat
kelak.
Mengapakah Anda Berhutang?
Ada banyak faktor yang
menyebabkan seseorang itu terjebak dalam hutang antaranya ialah :-
1)
Ingin memenuhi kehendak dan tuntutan hawa nafsu untuk memiliki sesuatu yang
tidak mampu ditunaikan kecuali dengan berhutang.
2) Pengaruh daripada
sahabat handai atau jiran tetangga yang sering memberi galakan untuk berhutang,
lantaran itu ia berbuat demikian, walaupun pada hakikat dirinya itu tidak
memerlukan, tetapi hanyalah untuk berbangga dengan apa yang
dimilikinya.
3) Sikap tidak merasa puas dan cukup dengan apa yang telah
dimiliki dan sanggup berhutang demi memenuhi kehendak dan hajatnya tanpa
memikirkan akibat yang mendatang.
4) Kemudahan pinjaman yang disediakan
oleh beberapa pihak tertentu seperti institusi kewangan dan perbankan bagi
menggalakkan lagi amalan berhutang.
5) Berkehendakkan sesuatu benda yang
melibatkan metarial dan kebendaan dengan cepat dan pantas walaupun pada
hakikatnya ia tidak mampu berbuat demikian.
Dalam hal ini jika perkara
yang hendak dimiliki itu merupakan keperluan asasi (dharuriat) seperti makanan,
minuman, tempat tinggal, pakaian, pelajaran dan seumpamanya, maka Islam
membenarkan berhutang sebagaimana dalam sebuah hadis iaitu :-
Maksudnya
:
"Daripada Abu Hurairah R.A., berkata seseorang ; Ya Rasulullah, pekerjaan
apakah yang paling baik ?, Baginda bersabda 'Memasukkan kepada saudara kamu
kegembiraan atau melunaskan hutangnya atau memberi roti (makanan) kepadanya. "
Tetapi jika perkara yang ingin dimiliki itu bukan merupakan perkara
asasi atau penting dalam kehidupan seseorang itu, maka tidak perlulah ia
berhutang, kerana hanya akan menambahkan bebanan lebih-lebih lagi jika
melibatkan institusi kewangan dan perbankan yang mengamalkan sistem
riba'.
Implikasi Amalan Berhutang
1) Penyakit berhutang ini jika
diamalkan akan menjadi satu budaya dalam kehidupan manusiayang boleh
mendatangkan kesan negatif kepada pemiutang seperti muflis disebabkan bebanan
hutang yang tinggi serta gagal melunaskan hutangnya.
2) Jiwa orang yang
berhutang tidak akan tenteram dan aman, hidupnya dalam kancah resah gelisah
dihantui oleh bebanan dan tuntutan hutang yang tinggi.
3) Seseorang yang
terbeban dengan hutang itu akan memungkinkan ia melakukan pelbagai perkara yang
dilarang oleh Syarak seperti mencuri dan menjual maruah diri semata-mata untuk
melunaskan hutangnya.
4) Orang yang berhutang akan terikat hidupnya di
dunia dan akan tergantung amalan dan rohnya setelah meniggal dunia sehinggalah
dilunaskan segala hutang piutangnya semasa hidup. Sabda Rasulullah S.A.W
:-
Maksudnya :
"Jiwa orang mukmin akan tergantung dengan hutangnya
(iaitu tidak dihukum selamat atau celaka) sehinggalah dia menjelaskan hutangnya
".
Rasulullah S.A.W pernah berwasiat kepada para sahabat Baginda agar
mengurangkan hutang seperti sabdanya :-
Maksudnya :
'Kurangkanlah
dirimu daripada melakukan dosa, maka akan mudahlah bagimu ketika hendak mati.
Kurangkanlah daripada berhutang nescaya kamu akan hidup bebas'
5) Amalan
berhutang ini bukan sahaja melibatkan kehidupan dunia semata-mata, bahkan ia
berpanjangan hingga ke hari akhirat. Sabda Rasulullah S.A.W :-
Maksudnya
:
" Sesungguhnya sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seseorang hamba itu
berjumpa dengan Allah nanti selepas dosa besar lain yang ditegah ialah seseorang
lelaki yang berjumpa dengan Allah di hari Hisab dengan mempunyai hutang yang
belum dijelaskan lagi "
6) Mereka yang berhutang walau sebanyak manapun
amalan kebaikan yang dilakukan, ia tidak akan selamat di dunia dan di akhirat
sekalipun dia mati syahid. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :-
"Semua
dosa-dosa orang yang mati syahid diampuni kecuali hutangnya. " (Riwayat Bukhari,
Tarmizi, An-Nasai' dan Ibn. Majah)
Rasulullah S.A.W sendiri tidak akan
menyembahyangkan jenazah orang yang masih mempunyai hutang. Dalam satu hadis
yang diriwayatkan oleh Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah, bahawa bila
didatangkan kepada Rasulullah S.A.W satu jenazah, Rasulullah S.A.W tidak akan
bertanya tentang amalan si mati, tetapi bertanya apakah si mati mempunyai hutang
atau tidak. Jika si mati mempunyai hutang, baginda menyuruh sahabatnya
menyembahyangkan jenazah tersebut atau baginda meminta sesiapa yang sanggup
menaggung hutang si mati. Jika tiada, maka hutang tersebut akan diserah atau
ditanggung oleh pihak Baitulmal.
Contoh - contoh Dalam Situasi
Berhutang
Pelbagai contoh dan situasi behubung dengan hutang yang boleh
kita teladani dan insafi antaranya ialah :-
1. Seseorang peniaga membuka
sesuatu perniagaan dan memberi kemudahan berhutang kepada pelanggan-pelanggan,
setelah tiba tempoh pembayaran hutang tersebut, mereka gagal berbuat demikian,
perkara ini sudah tentu akan mendatangkan kerumitan kepada peniaga tersebut
untuk meneruskan perniagaan sehingga boleh menyebabkan perniagaan itu
ditutup.
2. Seseorang yang diterima untuk melanjutkan pengajian dengan
mendapat pinjaman biasiswa. Setelah membuat perjanjian untuk membayar balik
pinjaman tersebut dan setelah sampai tempohnya , dia mengabaikan perjanjian itu.
Perkara ini akan menimbulkan kesukaran kepada pihak yang memberi pinjaman untuk
meneruskan perkhidmatan seperti itu kepada generasi yang akan datang.
3.
Bayangkanlah jika seseorang itu berhutang dengan institusi kewangan yang
berkaitan dengan orang ramai umpamanya pinjaman kewangan kerajaan atau koperasi
sudah pasti ia akan menjadi lebih rumit untuk diselesaikan apabila tiba hari
pengadilan di hadapan Allah S.W.T kerana melibatkan ramai pihak. Oleh itu kita
perlu berhati-hati dalam hal berhutang supaya tidak tergolong dalam
golongan-golongan yang tersebut di atas.
Implikasi Melewat-lewatkan
Bayaran Hutang
Apabila seseorang itu berhutang, maka ia wajib membayarnya
semula dengan kadar segera setelah berkemampuan berbuat demikian.
Islam
menganjurkan antara perkara-perkara yang wajib disegerakan di atas dunia ini
ialah membayar segala hutang piutang selain daripada menyegerakan pengkebumian
jenazah dan mengkahwinkan anak perempuan.
Seseorang yang suka
melewat-lewatkan bayaran hutang setelah berkemampuan untuk membayarnya, boleh
mendatangkan kesan yang buruk dalam kehidupannya bukan sahaja didunia bahkan di
akhirat antaranya:-
1) Mereka akan ditimpa kehinaan dan hilang
maruahnya
2) Hidup mereka tidak akan mendapat keredhaan dan keberkatan Allah
S.W.T
3) Perbuatan mereka itu digolongkan dalam perbuatan zalim
4) Amalan
kebajikan mereka tidak akan diterima.
Sabda Rasululah
S.A.W:
Maksudya:-
" Penangguhan hutang oleh orang yang berkuasa
membayarnya adalah satu kezaliman, halal maruahnya dan hukuman ke atasnya (iaitu
pemberi hutang boleh mengambil tindakan ke atas diri dan
maruahnya)."
Seseorang yang berhutang itu, telah berjanji untuk membayar
hutang mengikut sesuatu tempoh, tetapi dia tidak menepatinya, maka dia tergolong
dalam golongan orang yang munafik sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang
bermaksud:-
" Tanda-tanda orang munafik itu ada empat iaitu;
1)
Apabila bercakap dia mendustainya
2) Apabila berjanji dia memungkirinya
3)
Apabila diberi amanah dia mengkhianatinya
4) Apabila bergaduh dia
berlebih-lebihan. "
Dalam konteks masyarakat kita pada hari ini terdapat
segelintir masyarakat yang berhutang, tetapi tidak menjelaskan hutang tersebut.
Seringkali kita dengar dan lihat melalui laporan media cetak dan elektronik
menerangkan tentang situasi mereka yang terpaksa berdepan dengan pelbagai bahaya
bukan sahaja kepada dirinya malah turut melibatakan ahli keluarga yang menjadi
mangsa seperti diugut, dipukul, disamun, dibunuh dan sebagainya.
Dalam
masa yang sama, pinjaman hutang yang terlalu tinggi ditambah pula dengan
bunga-bunganya menyebabkan si pemiutang tidak mampu untuk membayarnya.
Disebabkan tidak tahan melalui semua itu, mereka mengambil jalan pintas dengan
membunuh diri dan ada juga dikalangan mereka yang dibunuh dengan
kejam.
Syor Dan Saranan
Setiap orang diharuskan berhutang tetapi
harus diingat janganlah nilai hutang itu terlalu tinggi sehingga membebankan
diri sendiri apabila hendak membayarnya.
Setiap hutang akan melibatkan
pemberi dan pemiutang. Bagi menjamin hubungan mesra sesama manusia, adalah
menjadi kewajipan dan tanggungjawab si pemiutang untuk membayar semula apabila
sampai tempoh perjanjiannya. Allah S.W.T berfirman :-
Maksudnya :
"
Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah serta sempurnakanlah perjanjian"
(Al-Ma'idah : 1 )
Pihak yang memberi hutang perlu mewujudkan satu
perjanjian atau kontrak semasa berlakunya 'akad. Ini bagi mengelakkan sebarang
bentuk penipuan berlaku seperti tidak langsung membayar semula hutang tersebut.
Allah berfirman:-
Maksudnya :
" Wahai orang yang beriman apabila kamu
menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke
suatu masa tertentu makan hendaklan kamu menulis (perjanjian hutang dan bayaran)
dan hendaklah ditulis oleh seorang yang adil dan janganlah sesorang penulis
enggan menulis sebagaimana Allah mengajarkan. Hendaklah ia menulis dan orang
yang berhutang merencana dengan jelas dan hendaklah bertakwa kepada Allah dan
janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutangnya itu" (Al-Baqarah :
282)
Orang yang berhutang hendaklah mempunyai sikap bertanggungjawab di
atas hutangnya. Jangan sekali-kali menangguhkan pembayaran hutang tersebut
apabila mempunyai peluang untuk membayar hutang kerana perbuatan tersebut
digolongkan dalam perbuatan zalim dan dia berhak mendapat hukuman di atas
perbuatannya itu.
Orang yang berhutang hendaklah tidak terpengaruh
dengan anasir-anasir buruk yang boleh membawa kepada bebanan hutang. Ia perlu
mengamalkan sikap sabar dan cukup dengan apa yang dimiliki.
Seseorang
yang ingin berhutang hendaklah berniat serta bercita-cita untuk melunaskan
hutangnya, semoga Allah akan memudahkan kepadanya untuk menjelaskan
hutang.
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:-
" Dan barangsiapa yang
berhutang, kemudian ia berniat tidak akan membayar hutangnya, lalu ia mati, maka
Allah akan bertanya dihari Kiamat: Apakah kamu mengira bahawa aku tidak akan
menuntut hak hambaku?, maka diambillah amal kebaikkan orang itu, dan diberikan
kepada orang yang memberi hutang, dan jika tidak mempunyai amal kabaikkan, maka
dosa-dosa orang yang memberi hutang itu akan diberikan kepada orang yang
berhutang"
Rasulullah S.A.W. mengajar kita supaya sentiasa berdoa
kepada Allah agar dijauh dan dibebaskan dari belenggu hutang dengan doanya yang
masyhur:-
Maksudnya :
" Ya Allah, sesungguhnya aku mohon
perlindunganMu dari bebanan hutang dan paksaan dari orang yang
memaksa"
Marilah kita bersama-sama menunaikan amanah ini dengan yang
dipertanggungjawabkan itu dengan penuh rasa kejujuran dan komited agar dengannya
kita bebas daripada tanggungan hutang serta mendapatkan keredhaan Allah S.W.T.
di akhirat kelak insyaAllah.
Kesimpulan
Islam sangat mengambil
berat dalam soal pembayaran hutang, dalam erti kata lain pembayaran hutang
merupakan suatu syarat untuk mendapatkan keredhaan Allah S.W.T.
Seseorang yang berhutang hendaklah berniat dalam hatinya untuk menunaikan hutang
tersebut mengikut tempoh masanya kerana Allah S.W.T akan memudahkan baginya
untuk membayar hutangnya.
Seseorang yang berhutang janganlah
menangguhkan bayaran jika mempunyai peluang untuk membayarnya kerana perbuatan
tersebut adalah tergolong dalam perbuatan orang yang zalim.
Kita mesti
mempunyai sifat syukur kepada Allah S.W.T. dengan apa yang telah kita miliki dan
melaksanakan sifat amanah serta tanggungjawab agar kita dilindungi daripada
bahaya dunia dan akhirat.
Keutamaan umat melunaskan hutang
Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
CADANGAN pemotongan Akaun II Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik
peminjam bagi mengatasi masalah RM298 juta pinjaman pelajaran Mara yang
tertunggak mencetuskan polemik pertikaian dalam masyarakat. Bukanlah hasrat
penulis untuk menghangatkan lagi perdebatan mengenai isu ini.
Apa yang lebih mencemaskan ialah angka tunggakan yang begitu besar
jumlahnya seakan tiada penyelesaiannya. Ini tidak termasuk tunggakan pinjaman
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berjumlah RM258 juta
sebagaimana yang diumumkan Menteri Pengajian Tinggi tahun lalu.
Jika dijumlahkan kedua-dua pinjaman pelajaran ini bermakna negara sedang
mengalami krisis hutang amat parah kerana jumlah RM556 juta bukanlah satu jumlah
yang kecil. Lebih mendukacitakan apabila rata-rata peminjam terdiri daripada
kalangan graduan terpelajar yang pernah menduduki puncak tertinggi menara
gading.
Persoalannya mengapakah begitu besar sekali jumlah tunggakan pinjaman
pelajaran yang belum dilunaskan? Apakah sudah terhakis rasa amanah di kalangan
golongan terpelajar Malaysia? Atau apakah sudah terkubur rasa tanggungjawab
sosial untuk membantu orang lain lantaran sudah bergelar graduan menara
gading?
Dalam konteks ini masyarakat harus disedarkan kembali tanggungjawab dan
kewajiban mereka dalam melunaskan hutang yang begitu dititikberatkan oleh Islam.
Hutang menurut perspektif Islam merupakan amanah besar yang wajib ditunaikan. Ia
bagi memenuhi tuntutan dan menjamin hak sesama manusia (huquq al-'ibad)
terutamanya hak-hak berkenaan dengan harta benda.
Sebab itulah al-Quran menggariskan secara terperinci berkenaan urus niaga
berhutang sesama manusia. Malah ayat terpanjang iaitu ayat 282 Surah al-Baqarah
memperhalusi secara khusus mengenai adab-adab dan prinsip-prinsip yang harus
dilakukan oleh setiap individu yang berurus niaga secara hutang.
Semua ini adalah cerminan ketinggian syariat Islam dalam memastikan hak dan
tanggungjawab setiap insan terjamin dan terpelihara. Kegagalan menyempurnakan
amanah bermakna menafikan hak sesama manusia yang pastinya mengundang kemurkaan
besar daripada Allah.
Pernah satu ketika Rasulullah s.a.w. diberitakan duduk semasa jenazah
diletakkan di hadapan Baginda untuk disembahyangkan. Baginda mengangkat
kepalanya ke langit, kemudian menundukkan pandangannya dan meletakkan tanggannya
di atas kening seraya bersabda: Subhanallah..subhanallah, betapa beratnya
yang diturunkan. Seorang sahabat Ibn Jahsh berkata, "Kami memerhatikan keadaan
Rasulullah itu tetapi kami diam, sehinggalah keesokan harinya saya bertanya
kepada Baginda, "Apakah keberatan yang diturunkan itu?"
Rasulullah lalu menjawab, Hutang! Demi Tuhan yang jiwaku berada di
tangan-Nya, jikalau seseorang terbunuh di jalan Allah, kemudian hidup, kemudian
terbunuh, kemudian hidup, kemudian terbunuh, sedangkan ia mempunyai hutang, maka
dia tidak akan masuk syurga sehingga dia menunaikan hutangnya." (Riwayat
An-Nasai).
Begitulah besarnya amanah hutang yang wajib ditunaikan hinggakan menurut
hadis ini, seseorang yang mati syahid di jalan Allah beberapa kali sekalipun
tidak akan mendapat tempat di sisi Allah selagi dia tidak melunaskan hak dan
tanggungjawabnya terhadap orang lain dalam berhutang.
Pudarnya kepekaan umat Islam hari ini terhadap tanggungjawab membayar
hutang amat berkait rapat dengan gejala kecelaruan priority atau urutan
keutamaan dalam pengurusan kewangan. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya
Awlawiyyatu al-Harakatil Islamiyyah turut mengungkapkan kekesalannya terhadap
gejala pengabaian fiqh awlawiyyat atau kefahaman mengenai urutan keutamaan dalam
pengurusan hidup manusiawi.
Natijahnya umat Islam mengalami kekacauan keutamaan. Amal dan tindakan
mereka tidak terarah dengan tepat. Akhirnya yang perlu didahulukan
dikemudiankan, yang sepatutnya dikemudiankan didahulukan. Begitulah juga dalam
perbelanjaan kewangan.
Kealpaan untuk mengutamakan bayaran hutang pelajaran dalam deretan
keutamaan perbelanjaan bulanan seringkali menatijahkan kegagalan membayar balik
pinjaman. Kecenderungan untuk hidup mewah juga selalunya menjerumus seseorang
kepada pengabaian tanggunggjawab membayar hutang.
Apa yang lebih menyedihkan krisis amanah ini bukanlah sangat kerana desakan
hidup untuk memenuhi keperluan asasi tetapi lebih terdorong untuk memenuhi
tuntutan gaya hidup bermewah-mewahan yang pada hakikatnya di luar kemampuan dan
keutamaan.
Kecelaruan memahami keutamaan ini memerlukan penyelesaian yang berupa
pembinaan budaya baru iaitu pengurusan kewangan yang Islamik - berpandukan
prinsip nilai dan akhlak Islam yang sejati. Ini termasuklah memahami kewajiban
melunaskan hutang.
Kegagalan menunaikan amanah ini pasti akan menempah bencana dan balasan
setimpal daripada Allah sebagaimana yang diperingatkan dalam al-Quran: Dan
takutlah kamu pada hari yang kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian
masing-masing akan diberi balasan setimpal dengan apa yang telah dikerjakan,
sedang mereka sedikit pun tidak dianiaya. (Al-Baqarah: 281).
Diskusi agama di http://ummahonline.
com