Masa Berkualiti Dalam Keluarga: Alasan Atau Alternatif?
Oleh Siti Fatimah Binti Abdul Rahman


"Kita perlu mengamalkan konsep masa berkualiti dengan ahli keluarga
kita". Demikianlah saranan yang sering kita dengar hampir setiap hari.
Ramai yang bersetuju dengan saranan ini. Dalam kesibukan kita mengejar
masa dengan urusan seharian, kita tidak lagi mampu untuk meluangkan
banyak masa dengan ahli keluarga yang lain. Untuk itu, masa berkualiti
adalah alternatifnya. "Apa guna meluangkan masa berjam-jam dengan anak
jika ianya tidak diisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat?", itu
rasionalnya.

Setelah sekian lama kita disarankan dengan konsep masa berkualiti ini,
fahamkah kita akan maksudnya yang sebenar? Apa yang dimaksudkan dengan
masa berkualiti dengan keluarga? Apakah ia bermaksud "ke-ber-ada-an"
kita dengan mereka? Apakah dengan ber-adanya kita dengan mereka itu
dapat ditakrifkan sebagai meluangkan masa secara berkualiti? Ataukah
ada aspek lain yang lebih penting dari semata-mata berada dalam lokasi
yang sama pada sesuatu masa?

Jika kita ingin mengatakan bahawa kita meluangkan masa yang berkualiti
dengan anak-anak, apakah corak kegiatan yang kita lakukan? Apakah
kekerapan kita melakukan kegiatan tersebut? Dengan segala kegiatan dan
kekerapan ini, apakah unsur lain bagi mengesahkan yang masa tersebut
telah diisi secara berkualiti?

Memang sukar untuk mendefinisikan maksud masa berkualiti. Walau
bagaimanapun, saya ingin cuba untuk memberi definisi yang pada saya
dapat menggambarkan maksud masa berkualiti ini.

Masa berkualiti merujuk kepada satu masa di mana sekumpulan orang
meluangkan masa secara bersama dengan melakukan sesuatu yang bersifat
interaktif dan memberi makna kepada semua yang terlibat.

Jangkamasa bersama itu tidak penting tetapi ia mestilah memadai untuk
menyelesaikan sesuatu aktiviti. Aktiviti yang bersifat interaktif
memerlukan kedua-dua belah pihak berinteraksi sesama sendiri ketika
melakukan perbuatan tersebut. Di masa yang sama, aktiviti dan
interaksi yang berlaku mampu memberi makna kepada semua pihak yang
terlibat. Ini bererti interaksi tersebut berhasil untuk mendatangkan
manfaat kepada semua yang terlibat baik dari segi mengeratkan
hubungan, mengenali di antara satu sama lain dan sebagainya.

Jadi, dalam konteks keluarga, makan malam bersama di mana semua ahli
keluarga makan bersama sambil bercerita tentang apa yang berlaku
kepada mereka sepanjang hari boleh dianggap sebagai satu masa yang
diluangkan secara berkualiti. Begitu juga dengan keluarga yang bermain
board games bersama. Ia nampaknya bermain tetapi melalui interaksi
tersebut berbagai makna yang tersurat dan tersirat dapat dirasai oleh
semua yang terlibat. Begitu juga dengan bersukan, menolong anak
membuat kerja sekolah, mengajar anak mengaji dan seumpamanya.

Sebaliknya, sebuah keluarga yang menonton televisyen bersama tetapi
masing-masing asyik dengan cerita yang ditonton tanpa bercakap
sepatahpun, melainkan "Minta kuaci tu sikit!", bukanlah meluangkan
masa mereka secara berkualiti. Sebaliknya, mereka hanya menonton
bersama. Begitu juga ibubapa yang meminta anak-anak membantunya
mencuci kereta. Sekiranya aktiviti tersebut tidak disetujui oleh
anak-anak dan tiada interaksi semasa melakukannya, sebaliknya hanya
ingin menyelesaikan tugas tersebut, maka ia bukanlah satu luangan masa
berkualiti. Jadi, bolehlah dikatakan bahawa aspek penting dalam masa
berkualiti ini ialah interaksi yang bermakna.

Dengan definisi ini, saya boleh mengatakan bahawa kita masih boleh
meluangkan masa berkualiti dengan sesiapa sahaja tanpa berada di satu
lokasi dengan mereka. Sebagai contoh, ibubapa masih boleh meluangkan
masa berkualiti dengan anak mereka yang menuntut di luar negara
melalui telefon, misalnya atau surat, atau e-mail.

Walaupun ada jurang antara masa ibubapa menulis surat dengan masa anak
membacanya, masa ini boleh dianggap sebagai masa berkualiti kerana
apabila anak membaca surat tersebut, ia merasa hampir kepada
ibubapanya, disayangi dan dirindui. Pastinya, ini hanya berlaku jika
kandungan surat tersebut mengandungi luahan rasa serta nasihat yang
bermakna kepada anak-anak dan bukannya satu notis penghantaran wang
saku semata-mata.

Sebagaimana yang kita tahu, konsep masa berkualiti ini adalah satu
konsep yang secara relatifnya baru. Kalau tidak silap, ianya mula
disarankan dalam tahun 1980an. Jika demikian, apakah konsep masa
berkualiti ini hanya timbul dalam zaman ini sahaja? Apakah di zaman
lampau atau 30 tahun yang lalu, ahli masyarakat mempunyai begitu
banyak masa sehingga mereka tidak perlu kepada penggunaan masa
berkualiti? Apakah 50 tahun yang lalu, seorang bapa mampu meluangkan 4
jam sehari untuk anak-anaknya dan seterusnya generasi yang lebih awal
dari itu meluangkan masa 6 jam sehari bersama anak-anaknya? Bagaimana
pula keadaan generasi yang terdahulu? Bagaimana dengan Junjungan kita,
Nabi Muhammad s.a.w?

Rasulullah s.a.w, sepertimana yang kita tahu, merupakan seorang
manusia biasa. Ini bermakna seperti manusia yang lain, Baginda
memainkan banyak peranan dalam hidupnya. Baginda merupakan seorang
hamba Allah, seorang individu yang ada keperluan sendiri, seorang
suami, seorang ayah, seorang datuk, seorang Rasul dengan segala
tanggungjawab dakwah dan tidak terkecuali, Baginda merupakan seorang
negarawan. Namun, dengan segala kesibukan ini, Baginda tidak sesekali
mengabaikan keluarganya.

Baginda Rasulullah s.a.w. sentiasa memastikan bahawa Baginda
meluangkan masa dengan ahli keluarganya, baik dengan isteri-isteri
Baginda, anak-anak, juga cucu-cucunya. Kita juga tahu, pada suatu
ketika, Baginda yang pada saat itu memiliki sembilan orang isteri,
memastikan bahawa Baginda melawat kesemuanya pada setiap hari. Kini
terbukti bahawa lawatan-lawatan tersebut bukan semata-mata untuk makan
dan tidur, tetapi lebih dari itu. Hasilnya, isteri-isteri Baginda
semuanya terkenal sebagai pendakwah yang terkemuka, menjadi tempat
rujukan masyarakat Islam pada ketika itu dan ada di antaranya yang
menjadi perawi hadis yang berwibawa. Ini menunjukkan wujudnya
penggunaan konsep masa berkualiti dalam kehidupan Baginda serta
kejayaannya. Tidakkah kita merasa terpanggil untuk mengetahui
bagaimana Baginda melakukannya agar kita juga dapat manfaatnya?

Jika kita membaca sirah Rasulullah, kita dapati bahawa walaupun
interaksi Rasulullah dengan para isteri baginda berlaku dalam jangka
waktu yang singkat, tetapi berbagai ilmu yang telah diturunkan kepada
isteri-isteri Baginda. Ini terbukti bila isteri-isteri Baginda
meriwayatkan sesuatu hadis yang diperolehi semasa mereka bersama
Rasulullah. Bukan dengan isteri-isteri Baginda sahaja, anak baginda,
Fatimah Az-Zahrah juga tidak kurang pengetahuannya hasil dari didikan
ayahnya itu. Kita juga sering terbaca kisah Rasulullah bermain-main
dengan cucunda Baginda, Hasan dan Husin.

Ternyata pemakaian konsep masa berkualiti bukanlah sesuatu yang baru
dalam masyarakat. 50 tahun dahulu misalnya, bila mana keluarga Melayu
bergantung kepada pertanian sebagai punca pendapatan, ibubapa juga
sibuk mencari rezeki. Pastinya, mereka juga cuba mendekati anak-anak
mereka dan mengajar anak-anak tentang apa yang perlu mereka tahu. Ada
di antara mereka meluangkan masa bersama anak sambil mengajar mereka
membuat pedang, gasing, memesin getah dan sebagainya. Ini juga boleh
dianggap sebagai peluangan masa secara berkualiti.

Pembangunan teknologi maklumat kini pastinya meninggalkan kesan kepada
penggunaan konsep masa berkualiti dalam kehidupan seharian kita.
Alat-alat canggih dalam era teknologi maklumat ini, seperti alat
teknologi lain, boleh digunakan untuk kebaikan keluarga, mahupun
sebaliknya. Ada yang melihatnya sebagai peluang untuk meningkatkan
kualiti hubungan keluarga, namun tidak kurang yang melihatnya sebagai
penghalang kepada hubungan kekeluargaan itu sendiri. Ini semua
bergantung kepada kebijaksanaan kita menggunakannya.

Laporan Lexmark tentang "Computing and the American Family" (Berita
Harian, 18 Disember 1996) menemui bahawa dari segi komunikasi, ramai
mengakui bahawa komputer telah memberi lebih masa berkualiti kepada
keluarga. Penggunaan komputer dalam keluarga telah menjurus kepada
komunikasi yang lebih antara ahli keluarga, saling berhubung dan
berinteraksi. 74% responden melaporkan mereka menggunakan e-mail untuk
saling berhubung dengan rakan dan ahli keluarga. Manakala 63% yang
menggunakan internet mengakui internet telah membolehkan jalinan
perhubungan dipelihara. Komputer telah digunakan untuk jalinan
perhubungan peribadi dengan rakan-rakan (77%) dan keluarga (71%).

Itu dari segi penggunaan e-mail. Selain e-mail, terdapat berbagai
laman web yang berasaskan keluarga yang boleh dilawati bersama oleh
sesebuah keluarga dan diambil manfaat darinya. Selain laman web
bersifat keluarga, banyak laman web lain yang boleh memberikan manfaat
kepada ahli keluarga secara bersama. Misalnya, ibu dan anak perempuan
yang menggemari fesyen terkini, mereka boleh melawat mana-mana laman
web tentang fesyen secara bersama. Begitu juga dengan bapa dan anak
lelaki, mereka boleh melawat laman web permainan sukan tertentu secara
bersama. Ini tentunya akan memberi kesan positif terhadap ikatan
(bonding) antara anak-beranak.

Begitu juga dengan telecommuting. Bekerja di rumah dapat mengeratkan
hubungan kekeluargaan kerana ia memberikan ahli keluarga peluang yang
lebih untuk berkongsi masa berkualiti (New Straits Times, 20 Februari
1999). Ini lebih bermakna bagi golongan ibu tunggal di mana mereka
tidak perlu risau untuk memikirkan hal penjagaan anak jika ingin
keluar bekerja.

Ada orang yang tidak percaya bahawasanya konsep masa berkualiti ini
boleh berjaya. Bagi mereka, masa berkualiti hanyalah satu alasan
ibubapa untuk meluangkan sedikit masa untuk anak-anak tanpa merasa
bersalah (http://www.ozemail.com.au/~chriskaz/attachparent/. Bagi
golongan ini mereka berpendapat bahawa kita perlu meluangkan masa yang
banyak untuk anak kita sekiranya kita mahu mereka membesar dengan
sempurna. Dalam kata lain, mereka percaya kepada konsep masa
berkuantiti. Satu golongan yang lain pula atas sebab-sebab tertentu
hanya bersama anak-anak bila ada kesempatan. Namun, bagi saya, antara
kedua-dua ekstrim ini, konsep masa berkualiti walaupun tidak sempurna
merupakan alternatif terbaik untuk keluarga zaman kini, terutamanya
yang kedua suami-isterinya bekerja.

Sumber : http://www.ikim.gov.my/




Ikhlas:



Pn. Asni Selamat

T: 016-3116 707

E: [email protected]

FB: D'Rayyan Haus

Website: www.drayyanhaus.blogspot.com



Dapatkan Lampin bayi Moden yang boleh dibasuh dan dipakai semula di:

www.drayyanhaus.blogspot.com

-          Boleh dibasuh dan dipakai semula

-          Saiz boleh diubah-ubah

-          Boleh dipakai oleh new born baby hingga umur 3 tahun



Drayyan Haus juga ada:

Pakaian bayi & kanak-kanak dengan fesyen terkini dengan harga yang menarik

Rakan niaga yang berminat untuk menjadi pengedar koleksi kami juga dialu-alukan



www.drayyanhaus.blogspot.com

Koleksi Pakaian dan Lampin bayi moden



      

Kirim email ke