Mutiara RIADHUS SHALIHIN
 
Mutiara 11
Mujahadah (Bersungguh-sungguh)
 
 
 
(Bab 11 : Mujahadah, Hadits RS95-RS111)
 
 
Allah Taala berfirman:
 
“Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh untuk (mencari keredaan) Kami, 
benar-benar akan Kami tunjukkan Kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan 
sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik.” 
(Al-‘Ankabuut, 29:69)
 
“Sebutlah nama Tuhanmu, dan beribadahlah kepada-Nya dengan penuh ketekunan.” 
(Al-Muzzammil, 73:8)
 
Ayat-ayat lain : Al-Hijr, 15:99; Az-Zalzalah, 99:7; Al-Muzzammil, 73:20; 
Al-Baqarah, 2:215. 
 
Mentaati Allah s.w.t., mengerjakan suruhan dan meninggalkan laranganNya, 
memerlukan mujahadah, kesungguhan. Allah menjanjikan petunjukNya kepada 
orang-orang yang bersungguh-sungguh untuk mencapai keredaanNya.
 
Amalan yang perlu diutamakan ialah mengerjakan kewajipan yang telah ditetapkan 
oleh Allah. Amalan sunat tidak bernilai sekiranya amalan fardhu ditinggalkan. 
Dengan mengerjakan amalan wajib dan nawafil, kehidupan seseorang diberkati. Ia 
hanya mahu mendengar dan melihat perkara-perkara yang diredai Allah. Ia juga 
hanya mahu menggunakan tangan dan kakinya untuk melakukan amalan yang membawa 
keredaanNya.
 
M28. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:
 
"Sesungguhnya Allah Taala berfirman: Sesiapa memusuhi waliKu, Aku 
mengisytiharkan perang terhadapnya. Tidaklah hambaKu mendekatiKu dengan sesuatu 
yang lebih Aku sukai daripada melakukan apa-apa yang difardhukan ke atasnya. 
Tidaklah seorang hambaKu mendekatiKu dengan melakukan nawafil (amalan sunat) 
melainkan Aku akan mencintainya. Apabila Aku mencintainya, Aku-lah pendengaran 
yang ia mendengar dengannya, Akulah pengelihatan yang ia melihat dengannya, 
tangan yang ia pergunakan dan kaki yang ia berjalan dengannya. Sekiranya ia 
memohon sesuatu daripadaKu, pasti Kuberi dan sekiranya ia memohon 
perlindunganKu, pasti Kulindungi." (RS95; Bukhari)(Arbain Nawawi, Hadits 38)
 
Kesungguhan seseorang untuk mendekati Allah, akan disambut dengan ganjaran yang 
melebihi kesungguhannya itu. Semakin tinggi kesungguhannya, semakin tinggi 
ganjaran yang diperolehi. 
 
M29. Dari Anas r.a. dari Nabi s.a.w. dalam sesuatu yang diriwayatkan dari 
Tuhannya Azzawajalla, firmanNya:
 
"Jika seorang hamba mendekat kepadaKu sejengkal, Aku mendekat kepadanya 
sehasta. Jika ia mendekat kepadaKu sehasta, Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika 
ia mendatangiKu dengan berjalan, Aku mendatanginya dengan berlari." (RS96; 
Bukhari)
 
M30. Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:
 
"Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah dari orang mukmin 
yang lemah. Namun pada setiapnya ada kebaikan masing-masing. Bersungguhlah 
untuk mengerjakan apa  yang bermanfaat  kepadamu, mohonlah pertolongan kepada 
Allah dan jangan merasa lemah. Jika kamu terkena musibah, janganlah berkata: 
‘Kalaulah saya mengerjakan begini, tentu akan menjadi begini dan begitu.’ 
Tetapi katakanlah: ‘Ini adalah takdir Allah, Dia melaksanakan apa yang 
dikehendakiNya.’ Sesungguhnya kata-kata ‘kalaulah’ itu membuka pintu amalan 
syaitan."  (RS100; Muslim)
 
M31. Dan darinya (Abu Hurairah r.a.) juga bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
 
"Neraka tertutup dengan syahwat hawa nafsu sementara syurga tertutup dengan 
sesuatu yang tidak disenangi." (RS101, Bukhari, Muslim)
 
 
http://riadhusshalihin.blogspot.com/


      

Kirim email ke