Nikmat membantu Gaza

Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN





MENYAKSIKAN kezaliman zionis ke atas Palestin amat menghibakan. Sayangnya,
tidak banyak yang boleh kita lakukan. Semuanya gara-gara perpecahan sesama
Islam terutamanya di negara-negara Asia Barat.

Alhamdulillah, usaha berterusan disusuli munajat kepada Allah membolehkan
rombongan perjalanan darat kumpulan ahli-ahli konvoi Aqsa Syarif yang
dikenali sebagai Aqsa2Gaza (A2G) bersama konvoi pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) antarabangsa berjaya memecahkan benteng sekatan Yahudi ke atas Gaza,
pada 21 Oktober lalu.

Pastinya, kejayaan itu amat bermakna bukan sahaja kepada anggota konvoi
tetapi juga kepada umat Islam di Gaza yang hidup mereka semakin terhimpit
akibat pelbagai sekatan yang dikenakan ke atas mereka.

Konvoi tersebut adalah usaha penting, khususnya jika dilihat dari perspektif
peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memperjuangkan hak penduduk
Palestin.

Perjuangan rakyat Palestin yang sudah lebih 62 tahun sering dilihat dan
dinilai sebagai satu isu yang seolah-olah tiada penyelesaian.

Pemimpin silih berganti, persidangan demi persidangan dan perjanjian demi
perjanjian ditandatangani, tetapi nasib rakyat Palestin masih tidak terbela,
malah keadaan lebih buruk berlaku.

Bagaimanapun, rintangan yang dihadapi sebelum berjaya menjejakkan kaki ke
sana bukanlah kepalang. Ini diakui oleh Ketua Konvoi Malaysia, Prof. Madya
Dr. Mohd. Zin Kandar dalam pertemuan dengan Mega, baru-baru ini.

Antara yang paling terkesan adalah birokrasi di Mesir yang menyebabkan
rombongan kira-kira 400 anggota dari 40 negara dalam misi VP-5 itu tersadai
selama 18 hari di Syria. Sekali gus menyebabkan perjalanan yang dijadualkan
selama 31 hari itu berlarutan sehingga 42 hari.

Menurut Dr. Zin, misi kemanusiaan dan hak asasi manusia itu bermula pada 15
September 2010 dengan keahlian seramai tujuh orang.

Konvoi VP-5 disertai oleh sukarelawan pelbagai negara. Malaysia diwakili
oleh lima sukarelawan Viva Palestina Malaysia dan tujuh sukarelawan dari
Aqsa Syarif, memulakan perjalanan dari London, pada 18 September 2010. Pada
awalnya, misi itu dijadualkan tamat pada 10 Oktober 2010. ia meliputi
perjalanan sejauh 6,500 kilometer.

Mereka yang turut serta ialah Norazmi Talib, Mohd. Yusuf Ahmad, Abdul Wahab
Yahya, Azmi Katiman, Rofazlin Jusoh dan Mohd. Taufek Abdul Rahman.

Misi tersebut kemudiannya disertai oleh 400 ahli VP-5 antarabangsa tanpa
mengira agama dan warna kulit.

Ia membawa bersama 147 kenderaan seperti van dan lori untuk dijadikan
ambulans serta pelbagai jenis ubat untuk keperluan rakyat Palestin di Gaza.
Malangnya, Israel hanya membenarkan dua jenis keperluan ini dibawa masuk ke
Palestin.

Menceritakan lebih lanjut kesulitan yang dialami di Mesir, beliau berkata,
penantian daripada sehari ke sehari untuk mendapat kebenaran melalui jalan
darat negara itu ke Gaza memang amat mendukacitakan.

Ini kerana, kerajaan Mesir mengenakan pelbagai syarat yang berbeza setiap
kali mereka memohon memasuki negara itu. Antara yang paling memenatkan
adalah mencatat setiap jenis dan nama ubat yang dibawa oleh anggota konvoi.

"Oleh sebab itu, kami menghabiskan sebahagian besar masa untuk
mendokumentasi ubat-ubatan ini dan meletakkannya di dalam kotak yang
sepatutnya. Sebarang kesilapan kecil akan menyebabkan kami tidak dibenarkan
masuk ke Mesir," katanya yang bertugas sebagai Ketua Jabatan Pengajian
Pasca-Siswazah Universiti Teknologi Malaysia, Skudai di Johor.

Dr. Zin berkata, sepanjang menunggu di Syria pelbagai rundingan menerusi
jalan diplomatik dilakukan. Mesir sebenarnya menerima tekanan hebat daripada
masyarakat antarabangsa ekoran keengganannya membenarkan anggota konvoi
bergerak ke Gaza.

Ini kerana, misi tersebut mendapat liputan meluas daripada media
antarabangsa. Malah, ia turut disertai oleh 13 Ahli Parlimen (MP) Algeria,
Speaker dan MP Jordan serta Indonesia. Pada masa yang sama turut berlangsung
mesyuarat khas Menteri-menteri Luar di Damsyik.

Kata beliau, antara yang paling mengharukan adalah apabila ketua konvoi
antarabangsa ini yang bukan Islam mengeluarkan kenyataan sinis kepada
kerajaan Mesir tentang tindakan mereka cuba melengah-lengahkan misi
kemanusiaan tersebut.

Menurutnya, dalam sidang akhbar yang dihadiri oleh pelbagai media asing di
Syria pada hari ke-17, ketua konvoi itu berkata: "Kami datang mewakili NGO
40 negara yang disertai oleh 400 orang dan 140 kenderaan mengutip duit
sumbangan (sedekah) orang Islam untuk diserahkan kepada saudara seislam kamu
di Gaza.

"Takkan kamu wahai Presiden Mesir menghalang usaha-usaha murni ini hasil
daripada yang dikumpul oleh orang Islam," katanya.

Menurut Dr. Zin, sehari selepas itu, barulah konvoi dibenarkan masuk ke Gaza
menyalurkan bantuan perubatan dan kemanusiaan untuk 1.5 juta rakyat di situ.

"Apabila mengimbas kembali kenangan itu, hati kami pasti tersentuh dan hiba.
Malah boleh menitiskan air mata.

"Lebih-lebih lagi apabila melihat penderitaan mereka menerusi televisyen.
Gaza mencetuskan perasaan syahdu kerana mereka juga sebahagian daripada
kita," katanya.

Dr. Zin bagaimanapun bersyukur kerana masyarakat antarabangsa kini semakin
sedar kepentingan membantu rakyat Palestin yang dizalimi.

"Isu Palestin melangkaui agama kerana ia adalah isu sejagat di mana hak
sebagai rakyat di negara sendiri dinafikan oleh rejim zionis," tegasnya.

Kirim email ke