Selepas baca artikel di bawah ini, khusus untuk mahasiswa, bacalah artikel 
berikut PADAN MUKA AKU. MAHASISWA, TOLONG RENUNGKAN DAN SEBARKAN 
http://amkns.blogspot.com/2010/12/padan-muka-aku-mahasiswa-tolong.html 

MASIH RAMAI LULUSAN UNIVERSITI BERGAJI KECIL
Bersama Rejal Arbee

Berita Harian 6 Jan 2011 

AKHIR-AKHIR ini kita begitu ghairah hendak melonjakkan negara dari kedudukannya 
sekarang sebagai negara berpendapatan sederhana kepada negara berpendapatan 
tinggi menjelang 2020. Maka pelbagai usaha dijalankan kerajaan untuk mencapai 
matlamat ini. 

Dalam pada itu apakah realitinya kalau dilihat daripada keadaan yang wujud 
sekarang? Benar kerajaan berazam melaksanakan Model Baru Ekonomi (MBE) untuk 
mengubah nasib golongan berpendapatan rendah, iaitu kurang daripada RM1,500 
sebulan yang dikatakan mewakili lebih 46 peratus daripada tenaga kerja negara 
untuk menerima pendapatan tinggi menjelang 2020. 

Antara mereka yang berpendapatan rendah ini termasuk juga lulusan universiti. 
Mungkin mereka yang bernasib baik akan mendapat pekerjaan dengan syarikat 
besar, syarikat berkaitan kerajaan atau dengan kerajaan. Mereka akan menerima 
ganjaran setimpal dengan kelulusan. 

Tetapi dengan pendapatan melebihi RM2,000 sebulan pun mereka akan hanya dapat 
menampung kehidupan seharian dengan membayar sewa bilik, belanja pengangkutan 
untuk pergi balik bekerja dan belanja makanan. Apa pun tidak juga ada maknanya 
berpendapatan tinggi tetapi masih tidak mampu memiliki rumah sendiri. Kalau 
hendak membeli kereta pun terpaksa berhutang hingga tujuh tahun untuk 
melangsaikannya. 

Untuk menampung keadaan sekarang pinjaman kepada pembeli rumah dilonggarkan 
dengan tempoh bayaran balik melebihi 30 tahun, iaitu kalau sudah bersara pun 
rumah masih tergadai dengan bank hinggakan bank sudah pun mengadakan peraturan 
bayaran balik pinjaman rumah boleh diambil alih oleh anak. 

Inilah keadaan yang dihadapi rakyat. Apa yang perlu ialah menentukan rakyat 
biasa mampu membeli rumah mereka sendiri tanpa perlu berhutang hingga sudah 
bersara masih belum dapat melangsaikan piutang dengan bank. 

Maka itu apakah seorang lulusan universiti yang sudah bekerja lima tahun 
misalnya sudah mampu untuk membeli rumahnya sendiri? Kalau dilihat keadaan 
sekarang, ini tidak mungkin. Harga rumah berterusan melambung tanpa ada hadnya. 
Rumah teres di sesetengah tempat pun kini sudah ada yang mencecah jutaan 
ringgit. 

Kerajaan wajar memastikan rakyat dapat memenuhi tiga keperluan utama dalam 
kehidupan mereka, iaitu mampu menyara diri sendiri dan anak isteri, mampu 
memiliki rumah sendiri dan mampu pula berulang alik ke tempat kerja dengan 
mudah atau pun mampu memiliki kereta sendiri. 

Maknanya kerajaan harus menentukan adanya pelbagai skim menyediakan rumah mampu 
dibeli pekerja demikian ini. 

Inilah keperluan minimum setiap pekerja. Apakah menjelang 2020 nanti kita akan 
dapat menjamin bahawa majoriti pekerja kita boleh memenuhi kehendak ini? 

Kalau dilihat keadaan yang wujud sekarang kita sememangnya menghadapi suatu 
keadaan yang sungguh mencabar untuk mencapai impian ini walaupun dengan adanya 
pelbagai inisiatif strategik untuk menjayakan MBE yang diumumkan kerajaan 
hampir setahun lalu. 

Buat masa ini seorang lulusan universiti pun menghadapi pelbagai cabaran 
mendapatkan pekerjaan hinggakan ada di antara mereka berterusan dieksploitasi 
oleh banyak majikan syarikat kecil yang mengambil mereka bekerja tanpa 
diberikan surat pelantikan. 

Syarikat seperti agensi pengiklanan, syarikat pembikinan filem atau syarikat 
yang menguruskan acara peristiwa banyak mengambil lulusan universiti hanya 
secara lisan. Mereka tahu bahawa lulusan itu akan menerima saja pekerjaan 
walaupun secara lisan asalkan dapat menerima gaji yang boleh menyara kehidupan 
mereka di kota. 

Maka dengan itu pekerja ini tidak akan tersenarai sebagai pekerja dan tidak 
mempunyai apa-apa pun hak sebagai pekerja. Jadi mereka bekerja mengikut suka 
hati pemilik syarikat itu tanpa mempunyai caruman Kumpulan Wang Simpanan 
Pekerja (KWSP), tidak berhak mendapat perbelanjaan rawatan kiranya jatuh sakit, 
tidak mempunyai sebarang cuti sakit dan kalau tidak bekerja pada hari-hari 
sakit gaji bulanan akan dipotong mengikut jumlah hari yang dia tidak datang 
bekerja. 

Demikian pula waktu bekerja juga panjang hingga ada yang perlu bekerja hingga 
larut malam jika dikehendaki menyiapkan sesuatu projek yang diterima majikan 
tanpa diberikan bayaran lebih masa. 

Mereka juga boleh diberhentikan dengan mudah hanya dengan lisan tanpa sebarang 
alasan munasabah. 

Inilah yang dialami seorang gadis muda lulusan bidang penyiaran dari UiTM 
baru-baru ini yang dipecat majikan sebuah syarikat pembikinan filem. Walaupun 
dia telah mewakili syarikatnya naik ke pentas menerima hadiah pada majlis 
Anugerah Skrin TV3 baru-baru ini tetapi dia sebenarnya tidak mempunyai sebarang 
bukti bahawa dia adalah pekerja syarikat produksi berkenaan. 

Kisahnya dimuatkan dalam blog ‘Sifu.Net’ yang kebetulan dikendalikan rakan 
majikan gadis malang itu. Blog itu menyatakan pemilik syarikat itu mewakilkan 
gadis berkenaan naik ke pentas menerima hadiah kerana majikannya tidak dapat 
hadir. Gadis itu disuruh mengenakan pakaian yang cantik. 

Ditakdirkan drama syarikat itu menang, lalu gadis berpakaian cantik dan seksi 
itu pun naik ke pentas untuk menerima trofi seperti juga beberapa penerima lain 
berpakaian seksi sehingga mereka ditegur Menteri Penerangan, Komunikasi dan 
Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, kerana berpakaian sedemikian. 

Blog itu menambah: “Ternyata pakaian yang dipakainya tidak sesuai untuk 
menghadiri majlis anugerah berprestij seperti Anugerah Skrin yang disiarkan 
secara langsung dan turut dihadiri orang kenamaan. 

“Difahamkan, dia dipecat selepas insiden itu kerana majikannya malu mempunyai 
pekerja sepertinya sebab dia hadir ke majlis itu mewakili syarikat.” 
Gadis ini menjadi mangsa dipecat serta-merta secara lisan tanpa diberi notis 
atau surat, malah tidak pun dinyatakan sebab dipecat. 

Kiranya soal pokok mengenai hak sah seseorang pekerja pun kita tidak dapat 
memantau dan menentukan majikan tidak akan mengeksploit mereka bagaimana kita 
hendak melonjakkan negara ke tahap yang diidamkan itu? 

Apakah Kementerian Sumber Manusia tidak boleh menyiasat wujudnya syarikat yang 
mengeksploitasi rakyat sedemikian? 

Penulis adalah Felo Kanan UKM

http://www.bharian.com.my/articles/Masihramailulusanuniversitibergajikecil/Article/
 




      


------------------------------------

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

JIMedia: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.

Sila ke "JIM E-Bazaar" untuk membeli belah, membayar yuran program dan 
menyumbang untuk dakwah, di http://www.jim.org.my/e-bazaar/

Untuk melanggan Islah-Net, hantar e-mail ke [email protected]
Untuk menghentikan langganan, hantar e-mail ke 
[email protected]! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    [email protected] 
    [email protected]

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [email protected]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/

Kirim email ke