Penyokong Demokrasi tidak sepatutnya takut kepada Ikhwan Muslimun- Abdel Moneim 
Abou el-Fotouh






          Author: Fikrah dan Dakwah
| Posted at: 6:25 PM |



















Khamis, Februari 10, 2011oleh Abdel Moneim Abou el-Fotouh Washington Post 

Seperti juga rakyat 
Mesir dari segenap lapisan masyarakat, kami dalam Ikhwan Muslimun 
mengambil bahagian dalam kebangkitan popular untuk menggulingkan seorang
 diktator yang represif. Hampir keseluruhan rakyat Mesir menuntut 
pengusiran Hosni Mubarak dan rejimnya.

Setelah tuntutan 
asas ini dipenuhi, kami berusaha untuk berkongsi dalam perdebatan yang 
melanda negara dan menjadi sebahagian daripada penyelesaian, yang kami 
harap akan mencapai puncaknya dalam bentuk sebuah kerajaan yang 
demokratik. Mesir menginginkan kebebasan dari kezaliman, juga proses 
demokrasi dan dialog yang serba inklusif dalam menentukan hala tuju 
nasional kami dan masa depan kami, bebas dari campur tangan asing.

Kami sedar meskipun 
kami sebuah gerakan Islam yang tidak mengamalkan kekerasan kami telah 
dihadapkan dengan penindasan selama enam dekad. Pembohongan 
terang-terangan, kempen menakut-nakutkan dan propaganda telah dicipta 
dan diadun terhadap kami di istana Mubarak sepanjang 30 tahun 
kebelakangan dan oleh sebahagian dalangnya di Washington. 

Agar kepentingan 
partisan di Amerika Syarikat tidak berhasil dalam menggagalkan revolusi 
popular Mesir ini, kami terdorong untuk menyangkal dengan tegas sebarang
 usaha untuk merampas keinginan rakyat. Kami juga tidak bercadang untuk 
mendominasi pemerintahan pasca-Mubarak secara senyap-senyap. IM telahpun
 memutuskan untuk tidak mengemukakan mana-mana ahlinya sebagai calon 
presiden dalam pilihan raya akan datang. Kami ingin menyampaikan 
maklumat yang betul supaya setiap keputusan polisi Timur Tengah yang 
dibuat di Washington adalah didasarkan kepada fakta dan bukannya agenda 
Islamophobes yang rasis dan memalukan.

Bertentangan dengan 
laporan yang bertujuan untuk menakut-nakutkan, Barat dan Ikhwan Muslimun
 bukanlah musuh. Ini adalah dikotomi palsu untuk menampakkan, seperti 
yang disarankan oleh sebahagian alarmist, bahawa pilihan Mesir ialah 
samada status quo rejim Mubarak atau pengambilalihan oleh "pelampau 
Islam." Pertama, kita perlu membezakan antara perbezaan ideologi dan 
politik yang mungkin dipegang oleh IM berbanding Amerika Syarikat. 

Bagi umat Islam, 
mereka telah diajar bahawa perbezaan ideologi dengan pihak lain bukan 
penyebab atau alasan kepada kekerasan dan pertumpahan darah kerana 
kebebasan seorang manusia untuk memutuskan bagaimana untuk menjalani 
kehidupan peribadinya merupakan hak yang tak boleh diganggu gugat dalam 
ajaran asas Islam, serta tradisi Barat. Perbezaan politik, bagaimanapun,
 boleh menjadi masalah ancaman eksistensial dan kepentingan, dan kita 
telah menyaksikannya baru-baru ini, contohnya, bagaimana rejim Mubarak 
telah menggunakan kekerasan untuk menghadapi demonstrasi damai.

Kami amat memahami 
bahawa Amerika Syarikat mempunyai kepentingan politik di Mesir. Tetapi 
apakah Amerika Syarikat memahami bahawa negara berdaulat Mesir, dengan 
80 juta penduduk, mempunyai kepentingan sendiri? Apapun kepentingan 
Amerika Syarikat di Mesir, mereka tidak dapat menghapuskan kehendak 
rakyat Mesir atau menumbangkan keinginan rakyat tanpa sebarang 
tentangan. Egoisme seperti itu adalah resepi untuk bencana. Dengan 
sedikit altruisme, Amerika Syarikat tidak perlu ragu untuk menilai 
kembali kepentingannya di wilayah ini, terutama jika ia benar-benar 
menjuarai demokrasi dan ikhlas dalam mencapai keamanan di Timur Tengah.

Melihat ke hadapan, 
IM adalah salah satu kelompok di antara puak dan trend politik yang 
berkembang di Mesir, yang akan bersaing dengan sihat dan saling 
menghormati dalam pilihan raya yang adil dan bebas. Kami telah mengambil
 bahagian dalam "proses politik" seperti itu sewaktu berada di bawah 
kediktatoran Mubarak. Dalam dekad-dekad pemerintahannya, kami telah 
merangkul kepelbagaian dan nilai-nilai demokrasi. Sesuai dengan 
masyarakat pluralistik Mesir, kami telah mempamerkan kesederhanaan dalam
 agenda kami dan telah melaksanakan tugas kami secara bertanggung jawab 
baik di kalangan penyokong politik kami mahupun rakyat Mesir pada 
umumnya.

Rekod kami di 
lapangan yang ditatang dengan penuh tanggung jawab dan sederhana 
merupakan ciri khas identiti politik kami, dan kami akan membina di 
atasnya. Sebagai contoh, menjadi pegangan kami bahawa kerajaan yang 
mungkin kami sertai di masa depan hendaklah menghormati semua perjanjian
 yang dimetrai sesuai dengan kepentingan rakyat Mesir.

Kerana kami gerakan 
Islam dan memandangkan sebahagian besar Mesir adalah Muslim, tentu ada 
yang akan membangkitkan isu undang-undang syariah. Walaupun ia bukan 
agenda terdekat sesiapa pun, adalah berguna untuk diketahui bahawa dalam
 aliran Sunni, konsep pemerintahan berdasarkan syariah bukan teokrasi 
kerana kita tidak mengiktiraf ahli agama (clergy) berpusat dalam Islam. 
Bagi kami, Islam adalah cara hidup yang dianut oleh seperlima penduduk 
dunia. Syariah merupakan sarana dimana keadilan dilaksanakan, hidup 
dipelihara, kebajikan umum disediakan, dan kebebasan dan harta dijaga. 
Apapun, sebarang peralihan ke sistem berasaskan syariah harus 
mendapatkan konsensus dalam masyarakat Mesir.

Rakyat Mesir akan 
memutuskan wakil mereka, bentuk kerajaan demokratik mereka dan peranan 
Islam dalam kehidupan mereka. Buat masa ini, sambil kita berada di 
ambang pembebasan nasional daripada kezaliman, rakyat Mesir di Dataran 
“Pembebasan” Tahrir dan di seluruh negara berharap Amerika akan berdiri 
di samping mereka pada saat genting ini.

Abdel Moneim Abou el-Fotouh, penulis "A Witness to the History 
of Egypt's Islamic Movement," (Seorang Saksi Sejarah Gerakan Islam 
Mesir) ialah setiausaha agung Kesatuan Perubatan Arab dan ahli Ikhwan 
Muslimun. Beliau berkhidmat di Maktab Irsyad gerakan itu selama 25 
tahun.

http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=27998



 
____________________________________________________________________________________
It's here! Your new message!  
Get new email alerts with the free Yahoo! Toolbar.
http://tools.search.yahoo.com/toolbar/features/mail/

Kirim email ke