Tahniah kepada abang Zamri pemilik Mentaus Craft dari Jelebu yang mengharumkan 
nama Negeri Sembilan. Bukan senang nak cari tukang parang yang mahir membuat 
parang dari A sampai Z, pula tu ada Blog beliau sendiri di 
http://zamri-tukangparang.blogspot.com . TV3 dan jemput Mentaus Craft, Kosmo 
pun dah siarkan rencana di bawah ini. TV1 bila lagi nak promo kemahiran anak 
Melayu dari Jelebu ini.

Artikel saya sebelum ini Ijazah Kedoktoran Parang Melayu di 
http://waghih.blogspot.com/2010/11/ijazah-kedoktoran-parang-melayu.html 

Rahsia parang Zamri tajam
Kosmo 27 Mac 2011 

Cicit Mat Tukang, seorang pandai besi di Negeri Sembilan, menggunakan paku 
landasan kereta api untuk membuat parang.

"KALAU nak uji ketajaman parang, jangan rasa dengan jari. Itu pantang kerana 
mata parang akan cepat tumpul dan berkarat.

"Seelok-eloknya lelas mata parang pada kuku, jika rasa kesat dan ada kesan 
takik, maknanya mata parang sudah tajam," ujar Ahmad Basri Mukmin, 54.

Dia yang juga seorang penyembelih lembu adakalanya memperuntukkan masa hampir 
sejam untuk mengasah parang terutama ketika musim Hari Raya Korban dan cuti 
sekolah.

"Penyembelihan binatang korban memerlukan mata parang yang benar-benar tajam. 
Saya sendiri menggunakan empat jenis batu asah berlainan gred dalam proses 
mengasah.

"Selain memastikan ketajaman, teknik mengasah yang betul juga dapat menjamin 
mata parang agar sentiasa berkilat dan tidak mudah tumpul," katanya yang sudah 
lebih 10 tahun diberi tanggungjawab menyembelih binatang korban di kawasan 
kejiranannya di Kuala Langat, Selangor.

Ahmad Basri memberitahu, bukan sembarangan parang boleh digunakan untuk 
menyembelih binatang.

"Besi yang digunakan untuk dijadikan mata parang juga perlu dipilih daripada 
jenis yang sesuai.

"Bagi tujuan sembelihan, saya hanya akan memilih mata parang yang ditempa 
daripada besi paku landasan kereta api kerana sifatnya yang tahan lasak dan 
tidak mudah patah atau sompek," ujarnya yang menempah parang khusus untuk 
kerja-kerja penyembelihan, melapah dan memotong tulang daripada tukang besi 
dari Jelebu, Negeri Sembilan.

Menjejaki pembuat parang yang dimaksudkannya, Jurnal pergi ke Jelebu untuk 
melihat sendiri proses pembikinan pelbagai jenis senjata besi, terutama parang.

Kunjungan ke Kampung Mentaus yang terletak dalam mukim Sungai Durian, Jelebu, 
menemukan kami dengan seorang tukang besi dan tukang sarung parang yang cukup 
terkenal iaitu Zamri Wahid, 42.

Dianggap sebagai tukang besi tersohor di Negeri Sembilan, kepakaran Zamri 
menghasilkan mata parang yang licin dan halus serta kreativitinya membuat 
sarung parang lengkap dengan ukiran daripada tema flora seakan sudah menjadi 
tanda dagangan perniagaannya yang sudah mencecah usia 16 tahun itu.

Cicit Mat Tukang

ATAS: Pembakaran sempurna besi hingga terbit warna kemerah-merahan penting 
dalam menghasilkan mata parang yang bermutu tinggi.

"Mungkin darah tukang parang yang mengalir di tubuh saya masih kuat. Sebab itu 
orang di sekitar kampung ini tidak hairan jika saya pulang ke kampung dan 
menyambung legasi keturunan Mat Tukang," ujarnya ketika ditemui di bengkel 
parangnya baru-baru ini.

Menyingkap susur galur anak kelahiran Temerloh, Pahang ini, Zamri merupakan 
cicit kepada Mat Tukang yang merupakan tukang sarung parang dan keris yang 
disegani bukan sahaja di sekitar Jelebu, bahkan seluruh Negeri Sembilan.

"Menurut cerita orang tua-tua, banyak hasil kerja moyang saya dibeli oleh 
Yamtuan Besar Negeri Sembilan dan Undang Luak Jelebu.

"Saya tidak sempat berjumpa dengannya, tetapi masih dapat melihat hasil 
kerjanya yang saya anggap begitu halus dan berseni.

"Datuk saudara saya, anak Mat Tukang juga seorang tukang sarung parang tetapi 
tidak begitu aktif, namanya Tok Empat Adnan.

"Selepas Tok Empat, bapa saudara saya, iaitu cucu Mat Tukang, juga dikenali 
ramai dengan kepandaiannya membuat sarung parang, namanya Yusof tetapi lebih 
dikenali sebagai Hashim.

"Dia aktif membuat parang sekitar tahun 1980-an hingga 1990-an. Orangnya masih 
hidup tetapi sudah tidak aktif membuat sarung parang.

"Kini, saya, generasi keempat Mat Tukang yang masih meneruskan warisan tukang 
besi dan pembuat sarung parang.

"Bakat turun-temurun ini nampaknya akan terus disambung oleh anak sulung saya 
yang juga ciut Mat Tukang iaitu Muhammad Abqari, 17," ceritanya.

Sungguhpun mewarisi darah tukang parang, Zamri tidak pernah belajar menempa 
besi atau mengukir sarung parang daripada generasi terdahulu.

Sebaliknya dia mempelajarinya daripada tukang parang dari Jawa dan Kelantan.

Zamri turut belajar teknik menghasilkan besi berkualiti tinggi daripada seorang 
penyelia warganegara Jepun ketika bekerja di kilang besi di Seremban dahulu.

TEKNIK mengasah mata parang sehingga permukaannya licin, halus dan berkilat 
adalah kelebihan di bengkel Zamri.

Kini Zamri menggaji lima pekerja di bawah jenama Mentaus Craft. Bermula secara 
kecil-kecilan, kini perniagaan parang Zamri dianggap antara yang paling 
berkembang di negara ini.

Selain kehalusan mata parang, keunikan hulu serta sarung parang, perusahaan 
yang dimulakan di belakang rumah kini sudah bertaraf komersial apabila berupaya 
mengeluarkan hampir 200 bilah parang sebulan.

Menjelang cuti sekolah atau Hari Raya Korban, tempahan yang diterima pula mampu 
mencecah dua kali ganda.

"Walaupun pengeluaran kita besar, Mentaus Craft tidak berkompromi dalam soal 
kualiti. Malah setiap senjata besi, tidak kira pisau, parang atau kerambit, 
mesti sampai ke tangan saya dahulu untuk diberi sentuhan akhir.

"Dalam proses menyepuh besi misalnya, hanya saya yang boleh melakukannya. 
Begitu juga dengan ukiran pada hulu dan sarung.

"Bukan tidak percaya dengan keupayaan pekerja, tetapi untuk proses paling 
penting ini, saya masih mahu mengekalkan sentuhan peribadi supaya pelanggan 
tidak keliru dengan kualiti Mentaus Craft," ujarnya yang sering dipilih untuk 
mewakili Negeri Sembilan dalam pameran kraf senjata di peringkat kebangsaan.

Turut berkongsi pelbagai tip penjagaan parang dalam blognya, Zamri percaya ilmu 
yang kerap diamalkan akan membongkar lebih banyak rahsia dan kelebihan.

"Memang penting tahu dan pandai mengasah parang, sebab satu alat yang masih 
dalam bentuknya, digunakan dari zaman kuno sampai sekarang ialah jenis keluarga 
parang," katanya.

Jelas Zamri lagi, tidak kira apa gelarannya, lembing, lading, parang, kelewang, 
badik, belati, pisau, kerambit, lawi ayam ataupun tumbuk lada, kegunaan besi 
tajam dianggap terpenting bagi orang Islam untuk menyembelih haiwan dan tidak 
boleh ditukar ganti.

"Bertitik-tolak daripada itu saya melihat parang mempunyai potensi untuk 
dijadikan produk perniagaan," jelasnya yang menjual pisau dari harga RM60 
hingga RM120 manakala parang di antara RM100 ke RM500 sebilah.

Rahsia

MAN Misai adalah tukang asah parang berpengalaman di Mentaus Craft.

Melihat ketekunan Muhammad Abqari menempa mata besi di bengkel milik bapanya, 
nyata minat anak muda ini terhadap pembuatan parang bukan sedikit.

"Saya rasa puas bila besi yang bengkok dapat diluruskan, yang tebal dinipiskan 
dan yang karat dapat dilicinkan.

"Lebih menyeronokkan apabila besi yang berkarat dan tumpul dapat ditajamkan 
sehingga mampu memotong tulang mahupun paku tebal," katanya.

Gemarkan kerja di bahagian mata parang, Abqari bersama Abdul Rahman Samsudin 
atau Man Misai, 54, merupakan orang yang bertanggungjawab terhadap pengeluaran 
mata parang, daripada proses membakar, mengetuk hingga mengasah.

"Proses membuat parang bermula dengan membakar besi hingga warnanya merah 
menyala. Bagi tujuan membuat parang beberapa jenis besi boleh digunakan 
antaranya besi bearing, papan chain saw, paku rel kereta api. Lain jenis besi, 
lain pula jenis kemerahannya.

"Sesudah itu, besi dikeluarkan dari dapur bara sebelum ditempa atau diketuk 
dengan tukul bagi mendapatkan bentuk parang yang diinginkan sebelum 
permukaannya diratakan menggunakan mesin pengasah pisau atau grinder.

"Selepas diketuk, mata parang akan melalui proses sepuh bertujuan 
mengeraskannya. Mata besi yang panas akan dimasukkan ke dalam air tanah liat," 
ujar Abqari.

Sambungnya lagi, untuk menghasilkan sarung dan hulu parang pula, bapanya akan 
menggunakan kayu yang berkualiti yang diambil di sekitar kampung.

"Ada juga pelanggan inginkan kayu tertentu. Jika sukar diperolehi, kita akan 
beli.

"Kayu-kayu tersebut kemudian dikorek di bahagian dalamnya mengikut saiz mata 
parang dan kemudian dua lapisan kayu tersebut akan dicantum menggunakan gam 
bagi membentuk sarung.

"Selepas itu, bahagian luarnya akan diukir mengikut motif atau idea tertentu 
sebelum digosok dengan kertas pasir dan disapu dengan bahan pengilat.

"Setelah sarungnya siap, besi parang akan dimasukkan ke dalam kayu yang telah 
dibentuk sebagai hulu dan akhir sekali mata parang itu akan diasah menggunakan 
batu asah sehingga ia tajam," jelas Abqari.

Tidak hanya dijual untuk kegunaan harian, parang keluaran Mentaus Craft juga 
dijual sebagai cenderahati.

"Jangan terkejut kerana ramai juga yang menempah parang untuk dijadikan 
hantaran perkahwinan," ujar Zamri. 

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0327&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm
 


------------------------------------

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

JIMedia: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.

Sila ke "JIM E-Bazaar" untuk membeli belah, membayar yuran program dan 
menyumbang untuk dakwah, di http://www.jim.org.my/e-bazaar/

Untuk melanggan Islah-Net, hantar e-mail ke [email protected]
Untuk menghentikan langganan, hantar e-mail ke 
[email protected]! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    [email protected] 
    [email protected]

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [email protected]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/

Kirim email ke