KUALA LUMPUR 9 Mei 2011 : Akibat kegagalan Felda mengurus tadbir dengan baik, 
sekitar 80,000 peneroka seluruh negara menanggung bebanan hutang sehingga  
mencecah RM150,000 setiap peneroka, kata Pengerusi Persatuan Anak Peneroka 
Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman. 
Menurutnya, antara sebab bebanan hutang  terpaksa ditanggung peneroka berikutan 
kelambatan proses tanam semula yang gagal diselenggara dengan baik oleh Felda.

“Penyelenggaraan oleh Felda gagal diuruskan dan tidak berjalan dengan sempurna 
kerana di sesetengah tempat proses penanaman semula tergendala sehingga dua 
tahun.

“Peneroka yang terlibat dengan kerja tanam semula akan menanggung hutang 
dipanggil  pinjaman sara hidup yang akan diberikan oleh Felda setiap bulan 
sehingga tanam semula membuahkan hasil, kalau tanaman kelapa sawit akan memakan 
masa lebih kurang tiga tahun.

“Felda akan berikan pakej antara RM1000 hingga RM1500 setiap bulan yang boleh 
dipilih oleh peneroka. Ada yang ambil RM1000, RM1200 dan maksimum RM1500.

“Jika tanam semula lambat, mereka akan ditanggung dengan hutang yang bertambah 
besar,” katanya ketika sidang media menyerahkan memorandum aduan di Suruhanjaya 
Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) di sini hari ini.

Kata beliau, bebanan hutang yang semakin menimbun terhadap peneroka ditambah 
pula dengan kadar faedah sehingga mencetuskan kebimbangan kerana rata-rata 
peneroka tersebut yang sudah berumur.

“Setiap hutang dikenakan terhadap peneroka mempunyai kadar faedah yang tinggi 
iaitu 6.25% setiap tahun yang tidak pernah berubah.

“Saya difahamkan kenyataan Tun Ghaffar Baba pada 1984 menjelaskan bahawa kadar 
faedah yang dikenakan itu kerana Felda mempunyai hutang dengan bank dunia. 
Tetapi hutang sudah selesai pada 1996, namun faedahnya tidak berubah sehingga 
ke hari ini,” kata beliau.

Dalam pada itu, beliau turut meluahkan kekesalannya terhadap ‘peraturan baru’ 
Felda di bawah Pengerusi barunya, Tan Sri Isa Samad yang tidak membenarkan sesi 
soal jawab dan dialog diadakan ketika mengadakan lawatan di tanah-tanah 
rancangan Felda.

“Daripada dulu lagi Felda mengikat peneroka dengan perjanjian, peneroka boleh 
persoalkan terhadap Felda, tetapi apa yang dicakap pastinya ditentang dan 
mengakui hanya Felda sahaja yang betul.

“Paling buruk adalah zaman Isa kerana tidak benarkan sesi dialog peneroka 
dengan pihak Felda. Dua tiga hari lepas, Isa ada datang melawat beberapa 
kawasan Felda, tetapi peneroka tidak dibenarkan bertanya atau sesi dialog. 
Mereka hanya boleh mendengar sahaja, dan ini membuatkan penderitaan peneroka 
semakin teruk kerana tiada tempat untuk mengadu,” ujarnya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Suhakam, Muhamad Sha’ani Abdullah memberi jaminan 
akan memanjangkan memorandum aduan tersebut kepada Felda supaya bebanan 
peneroka dapat diselesaikan.

“Segala masalah yang ada aspek hak asasi manusia boleh diadukan kepada Suhakam. 
Dalam hal ini melibatkan pencarian nafkah dihalang, kelemahan tanaman semula 
oleh agensi yang bertanggungjawab.

“Pengurusan yang lemah diuruskan oleh Felda, kerja lewat tanam semula bukan 
salah peneroka tetapi agensi yang menguruskan peneroka. Kami akan adakan 
lawatan ke Felda dan kawasan tersebut supaya penjawat awam tidak mengambil 
tindakan sambil lewa tentang tugasan mereka.

“Kami akan panjangkan usul ini supaya dapat menyelesaikan masalah peneroka yang 
semakin dihimpit hutang,” kata beliau.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=13015 

Adu kepada Suhakam, akibat tidak tahan tanggung hutang
Jamilah Kamarudin | May 9, 2011 

Memorandum aduan itu mendedahkan punca sebenar bebanan hutang yang mencecah 
ratusan ribu ringgit dihadapi peneroka akibat kegagalan anak syarikat Felda, 
Felda Technoplant.

KUALA LUMPUR: Tidak tahan dengan bebanan hutang Skim Tanam Semula yang mencecah 
sehingga ratusan ribu ringgit, sekumpulan peneroka Felda hari ini menyerahkan 
memorandum aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Memorandum aduan itu mendedahkan punca sebenar bebanan hutang yang dihadapi 
mereka adalah daripada kegagalan anak syarikat Felda, Felda Technoplant yang 
lewat menguruskan proses tanam semula kelapa sawit dan getah sehingga bertahun 
lamanya.

Wakil kumpulan itu Mazlan Aliman berkata, kerja tanam semula yang sepatutnya 
diselenggara Felda Technoplant terhadap setiap 10 ekar tanah peneroka tidak 
dilaksanakan dengan baik dan dilanda pelbagai masalah.

Selain kelewatan kerja membersihkan tapak, Felda juga didakwa tidak menanam dan 
menyemai anak benih dengan betul, mengabaikan penjagaan tapak sehingga diserang 
haiwan liar, selain diragui tahap kualiti baja serta anak benih yang dibekalkan.

“Dalam perjanjian Felda memperuntukkan proses tanam semula adalah selama 36 
bulan (tempoh kelapa sawit membuahkan hasil) sehingga 72 bulan (bagi tanaman 
getah) dan dalam tempoh tersebut Felda mengenakan hutang berjumlah RM18,000 
setahun.

“Disebabkan kelewatan dan pengabaian daripada Felda sendiri sehingga melebihi 
tempoh yang dijadualkan, peneroka yang terpaksa menanggung beban akibat jumlah 
hutang terkumpul yang tinggi dari sepatutnya,” katanya dalam sidang media di 
ibu pejabat Suhakam disini hari ini.

Dalam pertemuan tersebut, kira-kira 20 wakil peneroka daripada Felda Tenggaroh, 
Nitar, Sungai Mas, serta beberapa lagi daripada Felda sekitar Johor hadir 
manakala Suhakam diwakili Pesuruhjaya Shaani Abdullah dan Pegawai Helmi Fendy 
Mohammad Idris.

Mazlan yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Peneroka PAS Pusat berkata, 
pihaknya mempunyai bukti dari kalangan kira-kira 80,000 peneroka yang menyertai 
skim ini, ada antara mereka yang mempunyai rekod hutang sehingga ratusan ribu 
ringgit.

Berhutang sepanjang hayat 

“Seorang peneroka Felda Jengka 16, Pahang yang berumur lingkungan 70-an 
mempunyai jumlah hutang sebanyak RM91,119. Ada juga yang berhutang sehingga 
mencecah RM12,000. Mereka ini terpaksa berhutang sepanjang hayat,” katanya.

Selain dibebani hutang kira-kira RM1,500 setiap bulan, Mazlan berkata pihaknya 
juga tidak berpuas hati apabila Felda turut mengenakan ‘bunga’ sebanyak 6.25 
peratus setiap bulan (tidak termasuk hutang persendirian) yang dianggap terlalu 
tinggi serta tidak munasabah.

“Semasa (Allahyarham) Tun Ghafar Baba menjadi Menteri Luar Bandar pada tahun 
1994, beliau memberikan alasan tujuan kadar faedah dikenakan kerana Felda ada 
hutang dengan Bank Dunia.

“Tetapi hutang itu dah selesai pada tahun 1996, jadi kenapa masih lagi kekalkan 
kadar faedah tersebut,” soal beliau.

Sementara itu, seorang peneroka daripada Felda Nitar 2 di Mersing, Johor dalam 
pertemuan tersebut mengadu pihaknya telah mengemukakan masalah ini kepada 
Presiden Majlis Belia Felda Malaysia Datuk Ramli Ismail, pengurus Felda, ketua 
kampung serta Pengerusi Biro Ladang pada Oktober tahun lalu, namun jalan 
penyelesaian masih buntu.

“Menurut perbincangan serta bukti-bukti yang telah dihantar kepada pihak peguam 
yang dilantik, pihak kami telah membuat keputusan untuk menuntut ganti rugi 
kepada Felda.

“Ini adalah disebabkan kegagalan pengurus, kakitangan, ketua kampung dan Biro 
Ladang Felda Nitar 2 yang tidak menjalankan tugas serta tanggungjawab yang 
dimanahkan,” keluhnya yang sebelum ini mengaku takut untuk bersuara kerana 
khuatir akan dianggap sebagai peneroka ‘pengkhianat’ dan ‘tidak tahu bersyukur’.

Gagal bela nasib peneroka 

Sementara itu, Shaani berkata pihaknya kesal dengan sistem pengurusan Felda 
yang bukan sahaja gagal membela nasib peneroka, malah mengabaikan tanggunjawab 
mereka sebagai penjawat awam.

Pihaknya juga memberi jaminan akan memberi keutamaan terhadap kes in serta akan 
berusaha untuk mengadakan pertemuan antara peneroka dengan pihak Felda.

“Dalam hal ini usaha peneroka Felda untuk mencari nafkah dihalang kerana 
kelemahan sistem pelaksanaan tanam semula oleh agensi yang bertanggungjawab.

“Peneroka terpaksa tanggung hutang sebabkan kos tambahan yang tinggi. Kalau 
peneroka tak tanggung, kesannya kerajaan (dengan menggunakan duit rakyat) yang 
akan tanggung.

“Jadi pekerja awam jangan ambil rendah tanggungjawab ini,” katanya yang khuatir 
peneroka Felda akan menjadi golongan petani yang tidak berwawasan akibat 
dibebani pelbagai masalah dan hutang.

http://www.freemalaysiatoday.com/2011/05/09/adu-kepada-suhakam-akibat-tidak-tahan-tanggung-hutang/
 



------------------------------------

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

JIMedia: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.

Sila ke "JIM E-Bazaar" untuk membeli belah, membayar yuran program dan 
menyumbang untuk dakwah, di http://www.jim.org.my/e-bazaar/

Untuk melanggan Islah-Net, hantar e-mail ke [email protected]
Untuk menghentikan langganan, hantar e-mail ke 
[email protected]! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    [email protected] 
    [email protected]

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [email protected]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/

Kirim email ke