Islam, Pekerja dan Revolusihttp://fikrah-dakwah.blogspot.com







          Author: Fikrah dan Dakwah
| Posted at: 1:21 AM |

 
          Filed Under: 
Risalah Mursyid


















Risalah daripada Prof. Dr. Mohammed Badi’ – Mursyidul Am Ikhwan Muslimin 
12/5/2011

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah saw dan 
orang-orang yang mengikutinya. Adapun selepasnya..

Islam dan pekerja:

Islam menggesa untuk
 bekerja, dan menetapkan kebebasan bekerja untuk mencari rezeki, dan 
menjadikan setiap Muslim bertanggungjawab secara langsung melakukan 
pekerjaan yang bermanfaat bagi dirinya sendiri dan masyarakat, bebas 
memilih pekerjaan yang dijalankan sesuai dengan minat,  bakat dan 
kebolehan masing-masing. Kebebasan memilih pekerjaan tidak dibataskan 
berdasarkan kelas atau status sosial, tetapi melihat kepada  kompetensi 
dan kemampuan yang menjadi kriteria kelayakan individu. Dengan demikian 
Islam memastikan tercapai prinsip peluang yang sama bagi semua orang, 
dan larangan hak istimewa kepada mana-mana pihak atau golongan yang 
berkuasa.

Sesungguhnya 
Muhammad bin Abdullah (saw)  telah mengumumkan dengan teriakan yang 
keras ke puncak langit di hadapan orang-orang yang mendakwa memiliki 
kedudukan dan keturunan yang mulia. Baginda bersabda (maksudnya): 

"Awaslah kalian 
jangan biarkan manusia datang dengan amalan sedang kalian datang dengan 
bebanan dosa yang kalian pikul di atas bahu kalian".

Allah swt berfirman (maksudnya): 

“Siapakah yang lebih
 baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan
 amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya Aku termasuk orang-orang 
yang menyerah diri?" (Fussilat: 33).

Islam yang telah 
menetapkan peluang yang sama dalam mendapatkan pekerjaan, tidak bererti 
Islam menghendaki mesti sama dalam menikmati hasil dari pekerjaan ini. 
Ini kerana Islam mengakui perbezaan semulajadi yang wujud antara 
individu dari segi bakat, kebolehan dan usaha, dan kemudian yang 
terdapat di dalam Islam hanyalah derjat (tingkatan di sisi Allah), 
tetapi bukan kasta-kasta.  Allah swt berfirman: 

“Apakah mereka yang 
membagi-bagi rahmat Tuhanmu? kami Telah menentukan antara mereka 
penghidupan mereka dalam kehidupan dunia, dan kami Telah meninggikan 
sebahagian mereka atas sebagian yang lain beberapa derajat, agar 
sebagian mereka dapat mempergunakan sebagian yang lain. dan rahmat 
Tuhanmu lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan”. (Az-Zukhruf: 32)







Konsep kemajuan bagi pekerja dalam Islam:

Seperti yang 
diketahui tentang ‘pekerja’  adalah orang yang menjalankan pekerjaan 
menggunakan tangan atau secara manual yakni ‘buruh’, sehinggalah  Islam 
datang, telah menggunakan perkataan  pekerja (‘amil) dalam artinya yang 
betul, dan dibebaskan dari kejumudan pemikiran. Kita lihat bagaimana 
perkataan pekerja telah digunakan di zaman Rasulullah saw kepada 
gabenor. Oleh sebab itu khulafa’ ar-Rasyidin memanggil para gabenor 
sebagai pekerja (‘amil). Mereka mengatakan: “Umar bekerja (mentadbir) ke
 atas Mesir”, “Uthman bekerja (mentadbir) ke atas sekian..”.  Justeru, 
setiap gabenor yang mentadbir daerah mereka disebut pekerja (‘amil).

Kemudian kita telah 
membaca dan mendengar tentang “ ‘amil (pemungut) zakat dalam Islam” dan “
 ‘amil (pemungut) cukai” dan lain-lain, tetapi orang-orang Islam selepas
 itu terjerumus ke dalam jurang konflik pemikiran. Musuh-musuh Islam 
telah campur tangan, berusaha  mencampur-adukkan maksud sebenar sesuatu 
perkataan sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam dengan falsafah Greek 
 untuk beberapa ketika lamanya. Dengan kehendak Allah, selepas itu kita 
mendengar lagi bahawa “Setiap orang yang bekerja adalah pekerja 
(‘amil)”.  Begitu juga kita seringkali menamakan seperti “panduan 
pekerja” “undang-undang pekerja” tanpa diskriminasi antara ketua dan 
orang bawahan, dengan alasan bahawa Allah swt menjadikan  bekerja itu 
suatu kewajipan yang dituntut ke atas setiap orang yang berkemampuan, 
dan Allah swt meletakkan peluang yang sama ke atas hambaNya sebagai asas
 untuk bekerja di dunia ini dan perhitungan di akhirat.

Islam melarang pengangguran:

Firman Allah swt bermaksud: 

“Dialah yang 
menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, Maka berjalanlah di segala 
penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezki-Nya. dan Hanya 
kepada-Nya-lah kamu (kembali setelah) dibangkitkan”. (Al-Mulk: 15)

Allah telah mencipta
 manusia memakmur dan membangunkan muka bumi ini; kerana Allah telah 
menentukan sunnah-Nya demikian,  dan Allah telah menciptakan manusia 
untuk menjadi khalifah di muka bumi, supaya dapat bekerja di dalamnya. 
Firman Allah swt bermaksud: 

“dia Telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya”. 
(Huud: 61)

Ayat-ayat tersebut 
menjadi dalil terhadap kewajipan membangunkan tanah dan mengusahakan 
pertanian. Jelas Islam tidak sekadar menyatakan bahawa membangunkan 
tanah sebagai sunat atau anjuran agama, malah ianya salah satu dari 
ritual yang wajib  kerana diberi ganjaran untuk orang yang melakukannya 
dan dihukum dosa untuk orang yang meninggalkannya, bersesuaian tugas 
manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi. Oleh sebab itu ia harus 
melaksanakan dengan sempurna tugas khalifah, iaitu dengan bekerja dan 
berusaha keras di permukaan bumi dan dan di dasar bumi; supaya dapat 
mengeluarkan rezeki yang terdapat di dalamnya, dan dapat menyumbang 
melalui pekerjaan dalam membina masyarakatnya. Firman Allah swt 
(bermaksud): 

“Kemudian kami 
jadikan kamu pengganti-pengganti (mereka) di muka bumi sesudah mereka, 
supaya kami memperhatikan bagaimana kamu berbuat”. (Yunus: 14)

Justeru, Islam telah
  mengisytiharkan ‘perang’ tanpa henti terhadap pengangguran, iaitu 
dengan menentang, memberi amaran dan mengancam. Bagaimana boleh ada 
pengangguran sedangkan Allah telah memudahkan muka bumi untuk kita dan 
membentangkannya untuk kita berjalan di atasnya, di samping menyenangkan
 jalan untuk mendapatkan manfaat darinya, maka tidak ada alasan untuk 
berlaku pengangguran setelah Allah jadikan muka bumi ini mudah untuk 
manusia. Oleh itu, orang yang enggan atau berhenti bekerja sedangkan 
mempunyai kemampuan untuk itu, maka ia telah melanggar sunnah Allah di 
alam semesta, kerana ia hidup menjadi beban bagi saudara-saudara dan 
rakan-rakannya dalam menjalankan tugas khalifah.

Hak para penganggur untuk bekerja:

Imam Bukhari 
meriwayatkan bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi saw memintanya 
untuk membantu urusan hidupnya yang tiada pekerjaan, dan tidak ada  
makanan untuk menguatkan dirinya dan anak-anaknya; Apakah yang dilakukan
 Rasulullah saw untuk mengajar orang yang sedang mencari dan 
mengharapkan pekerjaan? Rasulullah telah memanggil lelaki itu datang. 
Lalu Rasulullah membawakan  sebatang kayu  yang dibuat dengan tangannya 
sendiri, dan meletakkan kayu itu pada cangkul, dan kemudian 
memberikannya kepada orang itu,  serta menentukan tempat kerjanya, dan 
menyuruhnya membuat kerja tersebut. Rasulullah saw meminta orang itu 
untuk kembali beberapa hari kemudian menceritakan keadaan tersebut, Lalu
 lelaki itu kembali mengucapkan terima kasih kepada Rasulullah dengan 
apa yang diajarkannya, dan menyebutkan bahawa keadaan dirinya yang kini 
telah mulai senang.

Justeru, di antara 
hak para penganggur jika ia ingin bekerja ialah pergi menemui pihak 
berkuasa, untuk memberikan pekerjaan kepadanya. Di antara tugas Negara 
ialah mengiktiraf hak-hak penganggur dan menguruskan pekerjaan bagi 
mereka, dan juga mengambil tindakan lanjut tentang keadaan mereka. Kita 
telah melihat bahawa Rasulullah saw bukan hanya mencarikan pekerjaan 
bagi penganggur, tapi memintanya supaya melaporkan keadaan pekerjaaannya
 agar dia tenang dan puas hati dengan perkembangannya.  Inilah keunikan 
prinsip undang-undang Islam. Begitu juga antara hak pekerja ke atas 
negara ialah menyediakan alat-alat bekerja, sepertimana Rasulullah telah
 membawakan cangkul, meletakkan tangannya, dan berikan kepadanya.  
Inilah alat bekerja.

Pandangan Islam tentang hak-hak dan kewajipan pekerja:

Islam telah memberi 
pekerja hak-hak pekerja seperti upah yang adil dan munasabah, dan 
dibayar pada masa yang dijanjikan atau ditentukan, tanpa lewat atau 
tangguh, sebagaimana sabda nabi saw bermaksud:

“Berikan pekerja upahnya sebelum kering keringatnya "(HR. Ibnu Majah),

dan Islam juga 
memutuskan untuk tidak terlalu membebani pekerja atau ditugaskan bekerja
 melebihi kemampuannya.  Firman Allah swt (bermaksud): 

“seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya (-Baqarah: 
ayat 233),

dan melalui lisan nabi Syuaib kepada nabi Musa a.s ketika beliau mahu Musa 
bekerja untuknya, ia berkata bermaksud: 

“Maka Aku tidak hendak memberati kamu”. (Al-Qashash: 27),

Sungguhpun begitu 
pekerja juga mempunyai kewajipan yang mesti ditunaikan, iaitu antaranya:
 Melaksanakan pekerjaan dengan jujur, ikhlas dan berkualiti, dan 
mengelakkan penipuan, kelalaian dan pengabaian. Rasulullah saw bersabda 
bermaksud: 

"Sesungguhnya Allah 
mengasihi ketika salah seorang dari kalian yang melakukan sesuatu 
pekerjaan maka ia melakukannya dengan baik," 

Sabda nabi saw yang lain bermaksud:

"Sesiapa yang menipu maka ia bukan dari golongan kami" (HR. Muslim) .

Selain itu, pekerja 
mesti menjauhkan diri dari pengkhianatan semasa bekerja dalam apa jua 
bentuk dan keadaannya; seperti membuang masa adalah pengkhianatan, 
menerima rasuah adalah pengkhianatan, dan mengenepikan kepentingan awam 
adalah pengkhianatan.

Firman Allah swt bermaksud: 

“Hai orang-orang 
yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan
 (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan 
kepadamu, sedang kamu Mengetahui”. (Al-Anfal: 27).

Islam dan pengagihan kekayaan:

Allah swt telah 
mengagihkan kekayaan dengan adil di serata pelosok bumi, supaya manusia 
dapat saling bertukar-tukar manfaat dan kepentingan mereka.  Allah swt 
berfirman (bermaksud): 

“Katakanlah: 
"Sesungguhnya patutkah kamu kafir kepada yang menciptakan bumi dalam dua
 masa dan kamu adakan sekutu-sekutu bagiNya? (yang bersifat) demikian 
itu adalah Rabb semesta alam". (Fussilat: 9)

dan Firman Allah swt (bermaksud):

“Dan dia menciptakan
 di bumi itu gunung-gunung yang kokoh di atasnya. dia memberkahinya dan 
dia menentukan padanya kadar makanan-makanan (penghuni)nya dalam empat 
masa. (Penjelasan itu sebagai jawaban) bagi orang-orang yang bertanya”. 
(Fussilat: 10)

Iaitu kadar setiap 
penghidupan, rezeki dan kekayaan memakan masa yang lebih lama daripada 
penciptaan langit supaya manfaatnya sempurna bagi semua orang.

Allah swt telah 
menurunkan jalan pertengahan untuk pengagihan kekayaan di antara 
manusia, kerana manhaj Allah ini adalah manhaj yang terbaik.  Sebaliknya
 dalam sistem Kapitalisme memperuntukkan segalanya untuk kepentingan 
golongan pengusaha atau pemodal yang merompak kekayaan, dan sistem 
sosialisme memiskinkan semua orang. Namun Islam datang dengan dasar 
pertengahan yang adil antara dua golongan tanpa menindas satu sama yang 
lain.

Pekerja dan Revolusi:

Para pekerja telah 
memainkan peranan yang mulia sebelum revolusi, sekarang dan selepasnya. 
Tidak ada yang dapat menafikan, sejak tahun 2004 dan bahkan 2010 tidak 
berhenti protes para pekerja; membela hak-hak pekerja dan tuntutan 
mereka, dan mengambil langkah memberi penjelasan di dalam  masyarakat di
 mana terdapat undang-undang yang memihak kepada pengusaha dengan 
mengorbankan hak-hak pekerja, di bawah organisasi kesatuan pekerja yang 
korup dan sistem politik yang menindas, tanpa ragu-ragu untuk 
menggunakan kekerasan terhadap para pekerja dan para pemimpin mereka 
yang ditangkap di bawah undang-undang darurat.

Revolusi 25 Januari 
sebenarnya tidak terpisah dari apa yang berlaku sebelum itu, iaitu 
asas-asas gerakan rakyat yang telah membuka jalan untuk revolusi ini. 
Realiti dari keadaan tersebut menegaskan bahawa para pekerja Mesir masih
 melanjutkan perjuangan mereka untuk menuntut hak-hak mereka. 

Pada tahun 2010 
mereka telah mengadakan sekitar 530 protes pekerja, iaitu merangkumi 209
 piket, 135 mogok, 80 demonstrasi, 83 protes dan 23 perhimpunan. 
Kerugian pekerja tergambar dari pemberhentian dan pemindahan  40,735 
pekerja, dan kematian 118 pekerja, dan mencederakan 6,544 yang lain, 
akibat dari keadaan kerja yang buruk, dan tiada ciri keselamatan 
industry dan kesihatan kerja. Namun tragedi sebenar ialah kes bunuh diri
 52 pekerja, selepas gagal menyediakan keperluan sehari-hari keluarga 
mereka dalam keadaan upah yang rendah dan harga barangan yang meningkat.

Jika  seorang 
pekerja/buruh Tunisia "Bouazizi"   dianggap sebagai percikan pertama 
yang memulakan revolusi Tunisia, maka Revolusi Mesir pula telah 
melahirkan ramai syuhada’ dari para pekerja, di antara mereka ialah 
seorang pekerja anggota Ikhwan, syahid "Nur Ali Nur," salah seorang 
pimpinan kesatuan pekerja minyak di Alexandria, yang dibunuh oleh polis 
semasa Revolusi.

Jelaslah bahawa 
gerakan pekerja telah bangkit untuk melakukan reformasi, yang sebahagian
 besarnya merupakan anggota Ikhwan Muslimin, dan telah mengadakan tunjuk
 perasaan untuk menuntut pembubaran Jabatan Pentadbiran pertubuhan bukan
 kerajaan dan Jabatan pentadbiran kesatuan pekerja pekerja awam 
miliknya, serta dewan jawatankuasa kesatuan pekerja, yang telah 
melakukan semua pemalsuan dan pelanggaran undang-undang dan membatalkan 
keputusan penghakiman, lebih-lebih lagi peranan Kesatuan yang sentiasa 
membayangi Parti demokratik kebangsaan dalam semua dasar, dan menyokong 
semua keputusan penswastaan dan pembubaran sektor awam, kawalan negara 
terhadap dana insurans social. Jabatan pentadbiran kesatuan masih  
berkhidmat sebagai pemegang amanah pekerja bagi parti Demokratik 
Kebangsaan. 

Kami meminta kepada 
semua kesatuan dan gerakan pekerja berdiri di belakang revolusi, tidak 
tertinggal di belakang, dan tetap berada di ‘jantung’ perjuangan dan 
proses peralihan kepimpinan negara, untuk memastikan mereka tetap di 
atas jalan yang sama, menuju arah yang sama sehingga sampai kepada 
objektif yang lengkap.

Salam penghormatan 
untuk para pekerja yang meraikan hari pekerja dengan penuh kegembiraan 
yang berbeza pada hari ini, setelah Mesir kembali ke pangkuan bangsa 
Arab, untuk memainkan peranan kebangsaan di nusantara ini, dan 
memberikan para pekerja harapan untuk masa depan yang lebih baik, 
membawa mereka kepada kebebasan, keadilan dan kemuliaan manusia.

Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah.

http://www.ikhwanonline.com/new/Article.aspx?SecID=213&ArtID=84151

Kirim email ke