http://drmaza.com/home/?p=1617#more-1617

Disiarkan pada Sep 22, 2011 dalam kategori Akidah, Uncategorized

KELANTAN DAN TANGGUNGJAWAB HUDUD
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)



Apabila sebut hudud di Malaysia, ramai yang akan 
mengingati hasrat Kelantan untuk melaksanakan 
undang-undang tersebut. Ada yang menyatakan 
hasrat tersebut sekadar mainan politik, padahal 
tuduhan itulah mainan politik. Saya bukan anak 
Kelantan, tidak juga aktivis parti di Kelantan. 
Saya orang luar Kelantan yang sering diberikan 
peluang oleh Kerajaan Kelantan untuk melihat pentadbiran dari dekat.

Saya yakin bahawa dalam isu hudud hasrat Kelantan 
bukan main-main. Ia adalah hasrat yang terbit 
dari perasaan tanggungjawab perintah muslim 
terhadap ayat-ayat Allah dalam al-Quran dan 
nas-nas Rasulullah s.a.w dalam sunnah baginda. 
Saya sendiri mendengar perkataan YAB Menteri 
Besar Kelantan ketika ditanya tentang hudud, 
beliau menjawab: “Jika Allah tanya saya di 
akhirat, saya akan beritahu Kerajaan Pusat menghalang saya melaksanakannya”.

Saya lihat wajahnya, saya rasai kejujuran dan 
kebimbangan beliau yang diamanahkan pemerintahan 
mengenai hukum Allah berkenaan. Apa tidaknya, 
Allah menegaskan dalam al-Quran: (maksudnya)

“Ini ialah satu “surah” yang Kami turunkan, dan 
Kami wajibkan hukum-hukumnya, serta Kami turunkan 
padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya 
kamu beringat. Perempuan Yang berzina dan lelaki 
yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap 
seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan 
janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas 
kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum 
ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah 
dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan 
hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu 
oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman” (Surah an-Nur: 1).

Dalam al-Quran ada disebutkan beberapa jenis 
hukuman terhadap jenayah-jenayah tertentu; 
jenayah curi (Surah al-Maidah: 38), jenayah 
hirabah (Surah al-Maidah: 33), jenayah zina 
(Surah an-Nur: 3), dan qazf (Surah an-Nur: 4). 
Dalam hadis pula disebutkan hukuman sebat bagi 
peminum arak, buang daerah bagi penzina dan rejam 
bagi penzina muhsan, juga bunuh bagi yang murtad. 
Hukuman ini secara umumnya dikategorikan sebagai 
hudud. Walaupun begitu, ada perbincangan dalam 
kalangan sarjana mengenai kedudukan hukuman 
murtad, buang daerah dan rejam; adakah itu hudud 
atau ta’zir (discretionary punishment). Jika ia 
hudud bererti ia tidak boleh dipinda atau ditukar 
ganti. Jika ia ta’zir bererti ia terdedah kepada 
perubahan dan penilaian semula pihak pemerintah. 
Saya akan bincangkan nanti dalam artikel yang lain.

Niat Buruk

Usaha menggambarkan negara Islam atau design 
negara yang mendaulat Islam sebagai negara hudud 
adalah gambaran yang tidak tepat. Pihak musuh 
berniat buruk. Hudud bukan asas kenegaraan dalam 
Islam. Hudud adalah hukum Islam yang menjadi 
makanisme dalam mencegah jenayah. Asas kenegaraan 
dalam Islam menegakkan keadilan dan maslahatan 
negara berasas prinsip-prinsip al-Quran dan 
as-Sunnah. Keadilan dan kemaslahatan rakyat itu 
luas maksudnya, dan luas juga cara mencapainya. 
Tugas kepimpinan negara melaksanakan yang makruf 
iaitu segala unsur kebaikan dan kemaslahatan 
untuk rakyat. Dalam masa yang sama mencegah yang 
mungkar iaitu segala unsur yang membawa 
kemudaratan dan kemerbahayaan kepada rakyat. Firman Allah: (maksudnya):

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan 
mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya 
mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan 
mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang 
dari melakukan kemungkaran. Dan (ingatlah) bagi 
Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Hajj: 41).

Penafsiran perkataan ‘makruf’ dan ‘munkar’ 
hendaklah diluaskan dalam konteks kehidupan 
muslim secara umum, dan kenegaraan secara 
khususnya. Maka dalam negara Islam; keadilan 
ditegakkan merentasi batasan keturunan, pangkat 
dan kaum. Tiada beza antara hukuman terhadap 
sultan atau raja dengan rakyat biasa. Tiada beza 
antara orang besar dan orang bawah. Kemakmuran 
negara juga dibahagi secara adil dalam kalangan 
rakyat. Tiada rasuah, tiada salah guna kuasa. 
Kepentingan setiap individu dalam negara 
dipelihara, kemaslahatan mereka dijaga. Kebajikan 
negara meliputi setiap lapisan rakyat.

Hukum Allah

Tiada seorang yang beriman pun yang akan berani 
membantah nas-nas qat’i (definitive texts) sama 
daripada al-Quran ataupun as-Sunnah. 
Mempersendakan teks al-Quran ataupun as-Sunnah 
seperti sendaan sesetengah pihak apabila Kelantan 
ingin melaksanakan hudud dengan menyatakan 
‘sesiapa yang ingin makan sup tangan sila ke 
Kelantan’ adalah melampaui batasan agama. Bahkan, 
jika pengucap sedar dan bermaksud menghina nas 
al-Quran dan as-Sunnah, maka dia terkeluar dari Islam.

Nas-nas yang qat’i (definitive texts) itu, 
sekalipun diyakini tanpa syak daripada Allah, 
namun para sarjana Islam sering berbeza pendapat 
dalam menafsirkan maksudnya, atau berbeza 
pendapat dalam memperincikannya. Ini disebut 
sebagai dalil yang zanni (speculative meaning).

Umpamanya, dalam hukuman memotong tangan pencuri, 
tiada siapa yang syak tentang kewajiban 
melaksanakan nas ini. Namun, para sarjana berbeza 
pendapat dalam menentukan syarat yang melayakkan 
seseorang dijatuhkan hukuman tersebut. Demikian 
juga dibincang suasana yang membolehkan hukuman 
itu dilaksanakan. Ini kerana terdapat nas-nas 
yang lain yang boleh menafsirkan hukuman ini. 
Membahaskan, ataupun meletakkan syarat-syarat 
yang layak sebelum perlaksanaan sesuatu hukum 
hudud itu, bukanlah bererti menolak hukum itu, 
sebaliknya memastikan perlaksanaan itu memenuhi 
maksud sebenar dari titah perintah Allah dan 
rasulNya yang disebut sebagai Maqasid al-Syariah 
(The Higher Objectives of Islamic Law).

Ini kerana bukan tujuan Islam ingin memastikan 
tangan pencuri itu putus, tetapi yang hendak 
dicapai ialah maksud keadilan, pencegahan dan 
pemeliharaan harta masyarakat di sebalik hukuman 
tersebut. Kaedahnya ditetapkan iaitu potong 
tangan. Maka, pelaksana hukum tersebut hendaklah 
memastikan bahawa apabila hukuman tersebut 
dilaksanakan, maksudnya dapat dicapai. Jika 
dilaksanakan, sedangkan maksud itu tidak dicapai, 
ataupun berlaku sebaliknya, maka itu tidak 
menunai tanggungjawab nas. Sebaliknya, hanya 
menzahirkan ketidakadilan, atau kekejaman atas nama Islam.

Suasana Kondusif

Suasana kondusif ialah suasana di mana apabila 
hukuman hudud itu dilaksanakan akan mencapai 
matlamat hukum itu disyariatkan. Tertegak 
keadilan, pencegahan dan pemeliharaan masyarakat. 
Suasana yang tidak kondusif ialah suasana di mana 
pelaksanaan hukuman tersebut membawa kepada 
natijah yang negatif kepada prinsip keadilan dan masyarakat Islam itu sendiri.

Nabi s.a.w bersabda:

“Jangan dipotong tangan (pencuri) ketika dalam 
peperangan”. (Riwayat al-Tirmizi dan al-Darimi. 
Hadis dinilai sahih oleh al-Albani).

Al-Imam Tirmizi (297H) ketika meriwayat hadis ini menyebut:

“Sebahagian ilmuwan berpegang dengan nas ini, 
antara mereka al-Auza’i, mereka berpendapat tidak 
dilaksanakan hudud ketika peperangan, berhadapan 
dengan musuh kerana dibimbangi individu yang 
dihukum itu akan pergi menyertai musuh…”.

Dalam riwayat Abu Daud: “Jangan dipotong tangan 
ketika pemusafiran” (Riwayat Abu Daud. Dinilai sahih oleh al-Albani).

Hadis di atas menunjukkan bahawa Nabi s.a.w 
mengarahkan agar hukuman tidak dilaksanakan dalam 
keadaan peperangan ataupun musafir kerana bimbang 
kesan yang negatif terhadap perlaksanaan itu 
disebabkan suasana yang tidak kondusif. Dengan 
melihat kepada nas yang seperti ini, maka 
persoalan persekitaran ketika hukuman hudud dilaksanakan perlu diambil kira.

Mewujudkan Suasana

Nabi s.a.w sebelum menegaskan tentang hudud, 
baginda mengujudkan suasana keadilan yang 
menyeluruh dalam masyarakat yang diperintah oleh 
baginda. Pemerintah dan rakyat sama setaraf di 
hadapan undang-undang. Tiada diskriminasi 
keturunan dan latar belakang. Suanana kebajikan; 
bantu membantu, tolong menolong antara masyarakat 
yang kukuh. Jaminan hak rakyat yang diberikan. 
Suasana halal yang mudah; mudah berkahwin, talak, 
fasakh, khuluk dan selainnya. Tiada alasan untuk 
lelaki ataupun wanita berzina. Sementara suasana 
haram yang diketatkan; sukar mendapat dan menebusi perkara haram.

Apabila suasana seperti ini wujud, maka tiada 
alasan rakyat memilih yang haram. Jika ada 
memilih yang haram juga, maka memang layak 
dihukum. Ini kerana pertama; dia telah 
mencemarkan suasana harmoni yang telah 
diwujudkan. Kedua; dia mempunyai penyakit jiwa 
yang berat yang condong memilih buruk sekalipun 
sukar dan menolak yang halal sekalipun mudah.

Perjuangan penting kita pada hari ini, ialah 
mengujudkan suasana yang kondusif ini sebelum 
sesuatu undang-undang ini dilaksanakan. Ini 
kerana, jika undang-undang hudud dilaksanakan; 
dihukum orang bawahan; dilepas orang atasan, 
dihukum penzina; diketatkan perkahwinan serta 
disusahkan talak dan fasakh, dihukum peminum 
arak, digalakkan gambaran arak, dihukum pencuri; 
dihalang hak rakyat serta dibiarkan rasuah dan 
salah guna harta negara dalam kalangan golongan 
atasan, dihukum pemberontak; dibiarkan kezaliman 
penguasa dan seterusnya, sudah pastilah hudud tidak dapat dilihat keindahannya.

Bahkan jika dilaksanakan hudud dalam suasana yang 
seperti itu, hanya membinasakan masyarakat. Rasulullah s.a.w menyebut:

“Wahai manusia! Sesungguhnya binasa orang yang 
terdahulu daripada kamu kerana mereka itu apabila 
seorang bangsawan dalam kalangan mereka mencuri, 
dia dibiarkan. Apabila seorang yang lemah dalam 
kalangan mereka mencuri, dilaksanakan hukum ke 
atasnya. Demi Allah! Jika Fatimah anak Muhammad 
(puteri Rasulullah) itu mencuri, nescaya ku 
potong tangannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Di Kelantan suasana kondusif untuk hudud terikat 
bukan sahaja dengan persekitaran dalam negeri 
tetapi juga dengan pentadbiran pusat. Selagi 
Kelantan tidak mendapat kerjasama Pusat 
sepenuhnya, tidak mungkin suasana kondusif itu 
dapat diwujudkan. Selepas itu banyak lagi 
perkaitan lain yang mesti dilangsaikan sebelum 
dilaksanakan. Maka, bukan menjadi kesalahan 
Kelantan jika beberapa hukuman hudud tidak 
dilaksanakan disebabkan keterbatasannya.

Kelantan telah memainkan peranan mempromosi 
hukuman itu. Walaupun masih terbatas disebabkan 
banyak kekangan, namun apa yang penting hukuman 
itu dibahaskan, dibincangkan dan dipromosikan. 
Ijtihad-ijtihad baru juga perlu dilihat bagi 
mencapai maksud keadilan jika ia dilaksanakan. 
Saya akan bahaskan dalam artikel yang akan datang insyaAllah.



------------------------------------

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

JIMedia: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.

Sila ke "JIM E-Bazaar" untuk membeli belah, membayar yuran program dan 
menyumbang untuk dakwah, di http://www.jim.org.my/e-bazaar/

Untuk melanggan Islah-Net, hantar e-mail ke [email protected]
Untuk menghentikan langganan, hantar e-mail ke 
[email protected]! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    [email protected] 
    [email protected]

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [email protected]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/

Kirim email ke