Bandingkan dua berita di bawah ini. Yang pertama luahan penduduk Pahang yang guna jalan Felda Palong 8 di Negeri Sembilan dan yang kedua berita gembira penduduk di Ladang Kombok di DUN Paroi , juga di N.Sembilan. DUN Palong , wakil rakyatnya Dato Aziz bin Shamsudin (UMNO), DUN Paroi wakil rakyatnya Hj Mohamad Taufek (PAS). Jadi kepada DUN yang dari dulu diwakili UMNO, cubalah buat perubahan atau ujian, tengok apa akan jadi. Pengundi di DUN Paroi dah buat perubahan, sekarang ni sampai dalam ladang pun ada lampu jalan. Dalam pada tu Pengerusi Felda seluruh Malaysia ialah Isa Samad, juga wakil rakyat UMNO dari Negeri Sembilan. *********** Harung jalan tanah merah Sinar Harian 13 Okt 2011 PALONG - Serik! Itulah antara luahan penduduk Kampung Pasal, Pahang apabila terpaksa melalui jalan tanah merah dan berlubang sepanjang jalan kebun Felda Palong Lapan, dekat sini setiap hari. Kedudukannya hanya di sempadan Negeri Sembilan, namun penduduk kampung terbabit mendakwa kerap menggunakan jalan kebun berkenaan berikutan ketiadaan kemudahan jalan raya untuk ke pekan berhampiran. Sinar Harian difahamkan, hampir dua tahun penduduk kampung itu menunggu jawapan daripada pihak berwajib di negeri ini berkaitan permohonan baik pulih jalan dari kampung terbabit sehingga Kilang Getah Felda Palong Lapan. Ahli jawatankuasa kampung, Mat Jais Mat Sahat berkata, pihak pengurusan Felda Palong Lapan sudah bersetuju dan membenarkan jalan berkenaan dibaiki dan diturap. Menurutnya, namun mereka belum mendapat jawapan daripada pihak berwajib. Hanya jalan dalam kampung itu sahaja yang berturap. “Kampung kami ini macam tengah pulau tetapi dikelilingi kebun dan estet. Kalau kami menggunakan jalan kebun sawit di Pahang hampir 5 kilometer untuk sampai ke jalan utama iaitu Jalan Keratong. “Hanya jalan kebun Felda Palong Lapan sahaja yang paling dekat untuk keluar, kira-kira 1.9 kilometer,” katanya. Mat Jais berkata, penduduk lebih selesa untuk keluar masuk menggunakan jalan itu kerana mudah untuk ke pekan. “Jalan itu terlalu teruk dan berlubang. Lubangnya bukannya kecil, tetapi besar. Kalau tayar kereta termasuk dalam itu memang masalah. “Anak-anak semua sekolah dekat Negeri Sembilan, sebab itu yang paling dekat. Risau juga bila ada kecemasan nanti,” katanya. Sementara itu, anaknya, Norazizan Mat Jais, 32, berkata, pekan Bahau dan Gemas adalah pekan yang paling dekat untuk keluar membeli barang keperluan. “Oleh itu, diharap akan ada perubahan di kampung ini sebab pihak Negeri Pahang hanya dapat menurap jalan di sekitar kampung sahaja. “Manakala jalan keluar melalui Felda Palong Lapan mesti mendapat kelulusan daripada pihak berkaitan di Negeri Sembilan,” katanya. http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9630078.asp BN tunaikan janji bina pelbagai kemudahan Sinar Harian 12 Okt 2011 SUNGAI GADUT - Kerajaan Negeri yang diterajui Barisan Nasional (BN) berjaya menunaikan janji kepada pengundi di sekitar kawasan ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hampir semua permintaan orang ramai berhubung penyediaan kemudahan awam dan infrastruktur telah dilaksanakan. “Sebagai contoh, jika dulu kawasan Ladang Kombok di sini gelap pada waktu malam, kini sudah terang benderang setelah lampu jalan dipasang. “Banyak kemudahan awam dan infrastruktur lain turut dinaik taraf untuk keselesaan orang ramai di sini,” katanya pada majlis bersama rakyat di padang Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kombok, di sini, baru-baru ini. Pada majlis sama, Mohamad menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Persatuan Kebajikan India Kombok dan bantuan lain kepada seramai 54 warga emas serta 12 ibu tunggal. Sehubungan itu menurutnya, pengundi seharusnya melahirkan penghargaan mereka dengan mengundi BN pada PRU ke-13 nanti. Kata Mohamad, sokongan padu rakyat akan membantu BN untuk menawan semula kerusi Dun Paroi dan Dun Senawang yang pada masa ini disandang wakil rakyat pembangkang. Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri tidak pernah meminggirkan kaum India terutamanya dalam aspek pendidikan, ekonomi dan sosial. “Banyak peruntukan telah disalurkan untuk memajukan kaum India. Sehubungan itu, kaum India sewajarnya meneruskan sokongan terhadap BN agar kebajikan mereka terus dibela,” katanya. http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9627682.asp

