SEBAGAI anak peneroka Felda, saya ingin mengetengahkan masalah penduduk yang 
menetap di Gugusan Felda Palong 4, 5 & 6, juga masyarakat Felda Palong 1, 2 & 3 
untuk mendapatkan rawatan yang terbaik di satu-satunya klinik kesihatan 
kerajaan yang ada di Pusat Bandar Palong 4, 5 & 6 dalam Daerah Jempol.
 
Jika terpaksa menunggu giliran yang terlalu lama itu adalah lumrah apabila kita 
berurusan bukan sahaja di klinik kesihatan kerajaan, malah di Klinik Desa, 
Klinik 1Malaysia dan hospital kerajaan begitulah resamnya.
 
Tetapi saya kecewa dengan kualiti perkhidmatan yang disediakan di Klinik 
Kesihatan Palong. Ada golongan warga emas, ibu mengandung, kanak-kanak kecil 
dan pelajar sekolah terpaksa sama-sama menunggu terlalu lama di Unit 
Pendaftaran dan Pesakit Luar sedangkan mereka berada di klinik sejak pukul 7.30 
pagi lagi. 
 
Ada pesakit yang tertidur di kerusi menunggu. Mereka datang bukan untuk bersuka 
ria tetapi mereka sakit.
 
Ada ibu bapa terpaksa balik kerana tidak tahan menunggu terlalu lama. Saya juga 
percaya ada pesakit balik akan pergi mendapatkan rawatan di klinik swasta di 
kawasan berhampiran antaranya Pekan Gemas, Pekan Rompin dan Pekan Bahau. 
 
Masalah menunggu terlalu lama adalah lumrah tetapi kenapa tiada pelan tindakan 
atau langkah yang wajar diambil? Perkara ini sudah lama berlaku.
 
Contohnya di kaunter pendaftaran, pegawai itulah mencari kad pesakit, beliau 
jugalah yang memanggil pesakit dan beliau jugalah yang mendaftarkan pesakit. 
 
Sesekali beliau turut menjadi operator telefon. Kesudahannya nombor giliran 
tidak juga dipanggil. Kalau dipanggil sekalipun mengambil masa terlalu lama. 
 
Diharap Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan dan Pegawai Kesihatan Daerah Jempol 
lebih kerap datang melawat di klinik kesihatan dalam Negeri Sembilan ini.
 
 
ANAK FELDA - Kecewa khidmat Klinik Felda Palong
PALONG 4,
Negeri Sembilan
 
Utusan Malaysia 26 Okt 2011 
 
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1026&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_05.htm
 

Kirim email ke