30 Okt 2011 - KAUNTER tidak dibuka manakala mesin tiket rosak adalah antara masalah yang sering berlaku di beberapa stesen komuter di sekitar Lembah Klang. Rozita Mohd. Noh, 42, kelihatan tergesa-gesa menuju ke stesen komuter Batu Caves bagi menaiki komuter untuk ke tempat kerja. Dia perlu bergerak cepat kerana pada waktu pagi, perkhidmatan tren itu memang penuh. Sebaik tiba di platform menghala ke Pelabuhan Klang, dia terus menuju ke mesin tiket tetapi mesin itu tidak berfungsi. Dia berpaling ke arah kaunter tiket, kaunter itu tidak dibuka. Mahu tidak mahu dia terpaksa ke platform arah Batu Caves untuk membeli tiket walaupun terpaksa memanjat tangga dan berjalan jauh sebelum kemudian kembali ke platform Pelabuhan Klang. Itulah masalah yang sering dihadapi oleh pengguna perkhidmatan komuter di beberapa stesen komuter di Lembah Klang. Walaupun terdapat kaunter dan mesin menjual tiket di setiap stesen tetapi pada setiap masa, banyak mesin yang rosak, manakala kaunter tidak dibuka. Tinjauan Utusan Malaysia ke beberapa stesen komuter di laluan Pelabuhan Klang mendapati rungutan tersebut memang berasas kerana beberapa mesin tiket rosak dan kaunter tidak beroperasi. Rozita yang merupakan seorang pekerja swasta berkata, dia sudah beberapa kali berhadapan dengan keadaan tersebut dan tidak nampak ada usaha serius dibuat untuk mengatasinya. "Jarak untuk membeli tiket di platform sebelah agak jauh dan semua itu membuang masa serta menyakitkan hati," katanya. Suri rumah, Saodah Delan, 50, berkata, dia hairan kerana kaunter menjual tiket di stesen Pantai Dalam tidak beroperasi walau terdapat penjaga di situ. "Mesin jual tiket pula kadang-kadang rosak. Saya pernah terlepas komuter gara-gara terpaksa membeli tiket di platform sebelah kerana kaunter tutup dan mesin rosak," katanya. Pekerja swasta, Syanira Mohd. Sharif, 35, mengakui kaunter tiket di stesen komuter tidak dibuka manakala mesin tiket pula selalu rosak menyebabkan pengguna sering menghadapi masalah untuk membeli tiket. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1031&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kota&pg=wk_01.htm

