Anak sulung berhenti sekolah akibat kemiskinan. CAMERON HIGHLANDS 31 Okt 2011 : Akibat kesempitan hidup, seorang pekerja kebun sayur di Kampung Melayu, Brinchang, di sini, terpaksa memberhentikan persekolahan anak sulungnya setakat tahun enam. Rosli Shariff, 35, berkata, dia terpaksa berbuat demikian terhadap Intan Nursyahirah, 13, bagi mengurangkan beban sekali gus memberikan peluang kepada tiga lagi anak lain meneruskan persekolahan. Menurutnya, dia yang bekerja dengan mengangkat kotak dan bakul sayuran untuk dipunggah ke atas lori dan cuma menerima upah harian antara RM25 hingga RM30 menyebabkannya sukar untuk menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak. Katanya, bagi membantu menyara keluarga, isterinya, Fadilah Pelek, 36, pula bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah menengah di Tanah Rata. Namun, upah yang diterimanya rendah dan sekadar cukup untuk membeli makanan. “Pendapatan kami berdua tidak mampu menampung kehidupan seharian sekeluarga serta perbelanjaan persekolahan tiga anak yang masih belajar dalam tahun lima, tahun dua dan tadika di Pekan Brinchang. “Jika masalah kesempitan kewangan ini masih berterusan, kemungkinan tiga anak saya bakal mengalami nasib yang sama seperi kakaknya apabila hanya belajar setakat tahun enam,” katanya. Sementara itu, Intan Nursyahirah berkata, dia berharap dapat bersekolah semula bersama dengan rakan sebayanya. “Tidak ada apa yang kurang pada diri saya kerana saya boleh membaca, menulis dan mengira. Tetapi, disebabkan kemiskinan keluarga membantutkan hasrat saya untuk meneruskan persekolahan dan mencapai cita-cita menjadi seorang guru. “Saya merayu kepada pihak berkenaan yang sudi membantu dengan menampung perbelanjaan sekolah supaya saya dapat meneruskan pembelajaran sehingga peringkat tertinggi,” katanya. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Anaksulungberhentisekolahakibatkemiskinan/Article/index_html

