Aduan Rakyat 11 Nov 2011 - Merujuk perkara di atas, saya merupakan salah 
seorang penerima bantuan rumah PPRT kawasan Kemabong, Tenom bagi Tahun 2011. 
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syukur dan berbanyak terima kasih kepada 
Kerajaan Barisan Nasional khususnya Barisan Nasional kawasan N.36 Kemabong, 
Tenom kerana telah meluluskan permohonan bantuan rumah PPRT saya. 
 
Terasa sangat gembira kerana saya dan keluarga saya bakal mempunyai rumah 
sendiri.
 
Namun tujuan saya menulis surat aduan ini adalah untuk menyatakan rasa tidak 
puas hati saya dan keluarga tentang keadaan rumah bantuan PPRT yang telah siap 
dibina tetapi tidak mematuhi kualiti spesifikasi yang ditetapkan. 
 
Rasa tidak puas hati juga dilemparkan terhadap kontraktor yang telah diluluskan 
kerana membuat kerja sambil lewa. Disebabkan tarikh siap yang ditetapkan telah 
tamat, pihak kontraktor telah mengarahkan pekerja-pekerjanya bekerja lebih masa 
hingga lewat malam sehingga rumah PPRT yang dibina sangat tidak teratur atau 
‘Cincai’. 
 
Kekukuhan rumah yang dibina juga sangat diragui dan kualitinya amat rendah.
 
Saya difahamkan pihak kontraktor mendapat kontrak 3 buah rumah PPRT untuk 
disiapkan iaitu 2 buah rumah di Kampung Masanoi dan sebuah lagi saya sendiri 
(Kampung Mailo). 
 
Pada mulanya, barang-barang bagi menyiapkan rumah saya telah dihantar ke tempat 
saya tetapi pihak kontraktor mengambil balik barang-barang yang ada untuk 
dibawa ke tempat lain pula. Apabila dikembalikan barang tersebut, barang itu 
telah ditukar. 
 
Contohnya seperti mangkuk tandas yang mulanya mangkuk tandas duduk telah 
ditukarkan kepada mangkuk tandas mencangkung. Saya juga ada beberapa kali 
melaporkan kepada juruteknik daerah yang bertanggungjawab memeriksa spesifikasi 
dan kualiti rumah PPRT yang dibina. 
 
Mereka (Juruteknik) ada datang memantau rumah saya dan mengesahkan ukuran rumah 
yang sepatutnya untuk PPRT adalah tidak tepat. Mereka (Juruteknik) telah 
membuat pemantauan sebanyak 5 kali. 
 
Pihak kontraktor telah dimaklumkan oleh juruteknik berkenaan spesifikasi yang 
tidak tepat tetapi pihak kontraktor ‘Seperti mencurah air didaun keladi’. Tidak 
mendengar nasihat yang diberikan oleh pihak juruteknik. Bersama ini saya 
lampirkan gambar-gambar sebelum dan selepas rumah bantuan PPRT saya siap dibina.
 
Saya juga memohon agar pihak bertanggungjawab seperti Kementerian Pembangunan 
Luar Bandar Sabah, Pegawai Kemajuan Negeri Sabah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 
Malaysia (SPRM) dan Pegawai Daerah Tenom turun padang bagi melihat sendiri 
keadaan rumah bantuan PPRT saya yang dibina dan menyiasat lesen kontraktor 
serta kontraktor yang terlibat kerana saya khuatiri berlakunya penyelewengan 
untuk mengaut keuntungan yang banyak sehinggakan golongan malang seperti saya 
mendapat padahnya.
 
Bagi mengelakkan perkara sama berlaku kepada penerima bantuan rumah PPRT yang 
lain, saya mohon agar penyiasatan segera dilakukan dalam masa terdekat ini. 
 
Rumah bantuan PPRT yang saya terima bukanlah untuk tempat tinggal sementara 
tetapi untuk selama-lamanya bersama keluarga. 
 
Namun sekiranya kualiti dan kekukuhan rumah tidak terjamin, saya bimbang akan 
keselamatan ahli keluarga saya sekiranya berlaku bencana alam seperti angin 
kencang dan hujan lebat. 
 
Pihak SPRM juga perlu terlibat sama dalam membanteras kontraktor yang hanya 
mahu mengaut keuntungan lebih berbanding membina rumah mengikut spesifikasi 
yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Rasuah mungkin ada kaitannya dengan 
kontraktor yang terlibat. Harap disiasat oleh pihak SPRM.
 
Segala kerjasama daripada semua pihak yang terlibat amatlah diharapkan.
 
Sekian, terima kasih.
 
“BERSAMA MEMBANTERAS RASUAH”
 
By: RICHARD - Aduan Tentang Bantuan Rumah PPRT 2011 
 
http://www.aduanrakyat.com.my/aduan-tentang-bantuan-rumah-pprt-2011 

Kirim email ke