Aduan Rakyat , 15 Nov 2011 
 
Salam…
 
Saya mempunyai sebuah kenderaan persendirian yang berumur lebih daripada 10 
tahun. Seperti yang diketahui umum, pemeriksaan Puspakom diperlukan sebelum 
saya boleh memperbaharui insurans dan cukai jalan kenderaan tersebut. 
 
Setelah mengambil cuti dan menghabiskan sehari suntuk (antara sebabnya adalah 
perjalanan yang agak jauh ke Puspakom) pada hari ni (14 Nov 2011) untuk tujuan 
tersebut, akhirnya saya menemui jalan buntu dan tidak tahu lagi apa yang patut 
saya buat.
 
Pemeriksaan yang pertama (dengan kos RM50) yang dilakukan pada awal pagi 
mendapat keputusan Gagal. Kegagalan ini berpunca daripada masalah alignment dan 
brek tidak sekata yang tidak mencapai tahap memuaskan Puspakom. 
 
Berbekalkan slip keputusan ini, saya kemudian telah pergi ke sebuah bengkel 
untuk memperbaiki keadaan alignment dan brek kenderaan. Saya sendiri mengawasi 
proses tersebut dan mendapati pihak bengkel telah melakukannya dengan 
memuaskan. Kos keseluruhan servis bernilai hampir RM200 (termasuk alignment, 
balancing, ganti brake pump, flush dan ganti minyak brek, etc.)
 
Dengan hati yang berbunga-bunga, pada lewat tengahari saya pun sampai sekali 
lagi di Puspakom Padang Jawa, Shah Alam untuk pemeriksaan kali kedua (RM50). 
 
Keputusannya: Gagal. Sebab gagal: Alignment dan masalah brek. Kedua-dua sebab 
yang sama seperti pada pemeriksaan kali pertama. Saya menunjukkan resit 
bengkel. Jawapan pihak Puspakom: Cuba cari bengkel lain!
 
Soalan saya: Berapa bengkel yang perlu saya masuk sebelum kenderaan saya boleh 
lulus pemeriksaan Puspakom? Berapa ratus ringgit saya perlu habiskan di 3, 5, 
atau 10 bengkel, dan berapa ratus ringgit pula perlu saya habiskan untuk 
mendapatkan keputusan Gagal berulang-ulang kali daripada Puspakom? Dan adakah 
saya perlu mengambil cuti berhari-hari hanya untuk berulang-alik dari 
bengkel-bengkel di serata Selangor ke Puspakom?
 
Saya tidak menyalahkan sistem komputer pemeriksaan di Puspakom, dan saya juga 
tidak menyalahkan sistem komputer di bengkel-bengkel. Persoalannya sekarang, 
bagaimana saya hendak pastikan keputusan komputer di bengkel-bengkel sama 
dengan keputusan komputer di Puspakom? 
 
Saya hanya boleh mencuba dari bengkel ke bengkel dengan harapan salah satu 
daripadanya akan memberi keputusan yang sama dengan Puspakom. Sekiranya ini 
sahaja penyelesaian yang ada, berkemungkinan saya akan perlu menghabiskan 
beribu-ribu ringgit dan berminggu-minggu masa saya hanya untuk mendapatkan 
keputusan Lulus daripada Puspakom.
 
Kenapa Puspakom tidak terus saja menyediakan perkhidmatan servis di sebelah 
pusat pemeriksaan? Dengan penggunaan mesin dan kakitangan yang sama, sudah 
tentu pengguna tidak perlu lagi bersusah-payah membuat servis trial and error 
di pelbagai bengkel lain. 
 
Sekarang saya tidak tahu apa yang perlu saya buat. Saya bukannya orang senang 
(sekiranya saya orang senang, semestinya saya tidak memakai kereta yang berusia 
lebih dari 10 tahun!) yang boleh menghantar kenderaan ke bengkel berkali-kali 
sehingga dapat memuaskan pihak Puspakom.
 
Seorang sahabat kepada kakak saya memberitahu bahawa saya perlu mendapatkan 
khidmat seorang runner atau ‘orang dalam’ untuk mendapatkan keputusan Lulus 
(beliau juga merupakan seorang runner), tapi saya rasa berbelah bahagi. 
 
Setahu saya, menggunakan runner biasanya melibatkan rasuah. Pada tiang-tiang di 
Puspakom tertera poster-poster yang melarang rasuah, tetapi nampaknya seperti 
hanya rasuah yang dapat menyelesaikan masalah saya ini. 
 
Saya amat benci dengan rasuah tetapi nampaknya undang-undang yang diperkenalkan 
oleh kerajaan memaksa saya untuk memberi rasuah. Perlukah saya mengorbankan 
iman saya hanya untuk mendapatkan cukai jalan bagi sebuah kenderaan yang sudah 
lebih 10 tahun tidak pernah menyusahkan saya atau pengguna-pengguna jalan raya 
yang lain?
 
By: Firus
 
Sumber : 
http://www.aduanrakyat.com.my/pemeriksaan-puspakom-untuk-kenderaan-10-tahun-ke-atas-perlu-rasuah
 

Kirim email ke