MELAKA 15 Nov. 2011  – Monorel pelancongan Sungai Melaka yang perkhidmatannya 
digantung sejak 10 hari lepas telah tergendala sebanyak 21 kali sejak mula 
beroperasi pada 20 Oktober 2010 hingga 30 September 2011.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Wira 
Latiff Tamby Chik berkata, pada masa sama, pihak pengendali iaitu Melaka Taming 
Sari Sdn Bhd (MTSB) terpaksa menampung kerugian operasi sebanyak RM74,188.75.
 
"Perbelanjaan operasi yang dikenakan sepanjang tempoh itu ialah sebanyak 
RM205,573.25 berbanding kutipan sebanyak RM131,384.50,” katanya ketika menjawab 
soalan Betty Chew Gek Cheng (DAP-Kota Laksamana) pada persidangan Dewan 
Undangan Negeri hari ini.
 
Beliau berkata, seramai 16,011 pengunjung menaiki monorel itu sejak dirasmikan 
hingga 30 September 2011.
 
"Monorel ini akan terus beroperasi kerana ia merupakan salah satu produk 
pelancongan Melaka yang menjadi tarikan pengunjung dan dapat memberi pulangan 
yang lumayan kepada kerajaan negeri dalam jangka masa panjang,” katanya.
 
Monorel pelancongan berharga RM15.5 juta yang menghubungkan Stesen Hang Jebat 
di Taman Rempah dan Stesen Hang Tuah di Jalan Bunga Raya itu dilancar pada 20 
Oktober tahun lepas sempena perisytiharan Melaka sebagai Negeri Maju 2010. 
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_21.htm
 
 
Pelancong Britain terperangkap dalam monorel
 
2 Nov 2011 - Hasrat dua pelancongan Britain menikmati keindahan bandaraya 
Melaka dengan menaiki monorel terbantut apabila mereka terperangkap selama 20 
minit di dalam gerabak gara-gara perkhidmatan terhenti secara tiba-tiba.
 
Perkhidmatan monorel berkenaan berhenti hanya setelah 20 meter meninggalkan 
Stesen Hang Jebat di Melaka dalam kejadian kira-kira jam 1.09 tengahari semalam.
 
Akibatnya, bekas anggota polis, James Craft, 57 dan isterinya, Anne Craft, 
terpaksa menghabiskan kira-kira 20 minit di dalam gerabak monorel berkenaan 
sebelum diselamatkan anggota bomba dan penyelamat.
 
Menggunakan tangga kecemasan untuk sampai ke gerabak monorel berkenaan, anggota 
penyelamat kemudiannya membantu mereka turun.
 
Sambil menyifatkan kejadian itu sebagai suatu yang tidak akan dilupakannya, 
James berkata, beliau dan isteri membuat keputusan menggunakan monorel 
berkenaan untuk melihat keindahan panorama Melaka.
 
Menurutnya, gerabak monorel berkenaan berhenti secara tiba-tiba sejurus selepas 
meninggalkan stesen.
http://malaysiakini.com/news/180249 

Kirim email ke