Kedudukan jeti Kampung Bangau Parit bukanlah jauh sangat dengan bandar 
Temerloh, Jadi apa salahnya kerajaan bantu baik pulih jeti ini? Saya sendiri 
pernah lihat dua warga emas tergelincir semasa menaiki tebing yang tidak 
bertangga, mereka terpaksa meredah lumpur dan selut untuk naik ke tebing. Mohd. 
Sofi berkata, kadang-kadang dia sendiri malu dan tidak tahu untuk memberikan 
jawapan apabila ditanya oleh pelancong asing.
 
Beberapa penderitaan rakyat di Pahang yang dilaporkan sebelum ini di 
http://amkns.blogspot.com/2011/10/alahai-kesian-rakyat-pahang-tak-de.html
 
TEMERLOH 16 Nov. 2011 - Kecanggihan teknologi masa kini banyak mengubah bentuk 
pengangkutan masyarakat yang sebelum ini turut bergantung kepada pengangkutan 
air.
 
Namun begitu, bagi lebih 300 penduduk di 25 perkampungan tradisional dekat 
sini, pengangkutan air masih digunakan secara meluas dalam urusan seharian 
mereka.
 
Oleh itu, jeti yang semakin dilupakan oleh masyarakat negara ini masih menjadi 
infrastruktur utama bagi penduduk di kampung-kampung di sekitar Sungai Pahang. 
 
Justeru, mereka berharap kerajaan dapat membaik pulih jeti Kampung Bangau Parit 
di sini yang digunakan sejak berpuluh-puluh tahun dahulu berikutan keadaannya 
yang semakin uzur dan boleh mengundang nahas.
 
Jeti yang digunakan oleh penduduk sebagai laluan utama menyeberangi Sungai 
Pahang dengan bot penambang itu kali terakhir dinaik taraf kira-kira 15 tahun 
dahulu.
 
Keadaan jeti yang semakin uzur dan tidak bertangga sangat berbahaya terutama 
kepada warga emas dan pelajar sekolah yang masih menggunakannya untuk ke 
seberang sungai.
 
Jeti terbabit adalah tapak asal yang mana penduduk dari seberang Sungai Pahang 
menggunakannya hampir seabad lalu ketika belum wujud jambatan menghubungkan dua 
kawasan berkenaan.
 
Seorang penduduk, Mohamad Othman berkata, jeti itu masih digunakan kerana 
pengangkutan air di kawasan itu menyingkatkan masa perjalanan terutama dari 
Jengka ke Temerloh.
 
Menurutnya, selain itu, di jeti itulah juga penduduk, peniaga dan mereka yang 
ada urusan di seberang sungai berkumpul kerana ia laluan utama untuk ke 
seberang.
 
"Kini walaupun sudah ada jambatan, namun masih ramai yang menggunakannya, 
terutama para peniaga kecil di Pekan Sehari yang jaraknya hanya 300 meter 
dipisahkan oleh sungai ini.
 
"Kampung ini yang paling hujung dan paling hampir dengan pekan atau bandar 
Temerloh dari seberang sini. Penduduk dari Gunung Senyum masih menggunakan 
perkhidmatan bot penambang dan jeti ini.
 
"Sebab itu kami merayu kerajaan mempertimbangkan permohonan untuk membaik pulih 
jeti ini, kerana bukan sahaja digunakan oleh orang kampung malah pelancong luar 
turut menggunakannya," kata Mohamad.
 
Seorang lagi penduduk, Zakaria Salleh berkata, dia menggunakan jeti itu sejak 
kecil namun keadaannya yang uzur tetap tidak berubah seperti 15 tahun dahulu.
 
Menurutnya, keadaan jeti di Kampung Bangau Parit jauh berbeza jika dibandingkan 
dengan Taman Esplanade di Seberang Sungai yang bernilai jutaan ringgit 
sedangkan kedua-dua jeti ini mempunyai kaitan iaitu mengambil dan menurunkan 
penumpang.
 
"Apa salahnya kalau kerajaan bantu baik pulih jeti yang sangat uzur ini kerana 
ia masih menjadi nadi perhubungan penduduk kampung tradisional.
 
"Dahulu saya ada dengar peruntukan baiki jeti diluluskan namun sehingga 
sekarang belum ada tanda untuk membaikinya.
 
"Kerajaan memberi peruntukan sehingga beratus ribu ringgit untuk bina jeti 
peniaga ikan di tempat lain. Jadi apalah salahnya jika sedikit peruntukan itu 
diberi kepada kampung ini untuk memperbaiki jeti yang juga digunakan oleh orang 
ramai," katanya.
 
Sementara itu, pengusaha bot penambang, Mohd. Sofi Alias, 19, berkata, beberapa 
pelancong yang berkunjung ke sini beberapa bulan lalu juga pernah mengeluarkan 
kata-kata sinis melihatkan keadaan jeti bot penambang yang sangat uzur tetapi 
masih digunakan penduduk.
 
Menurutnya, beberapa pelancong dari Singapura yang pada mulanya ingin singgah 
di Kampung Bangau Parit membatalkan hasrat mereka kerana bimbangkan keselamatan 
keluarga.
 
Menurutnya, ada pelancong luar yang tidak percaya apabila mendapati jeti di 
Kampung Bangau Parit sangat daif dan sangat berbeza dengan jeti di Taman 
Espalanade.
 
"Sudah banyak kali pelancong tempatan dan luar tegur dengan kedaifan jeti 
Kampung Bangau Parit, ada yang tergelak melihat kegagalan kerajaan membaik 
pulih jeti ketika mereka sibuk mempromosikan keindahan sungai dan ikan patin.
 
"Kedudukan jeti Kampung Bangau Parit bukanlah jauh sangat dengan bandar 
Temerloh, Jadi apa salahnya kerajaan bantu baik pulih jeti ini?
 
"Saya sendiri pernah lihat dua warga emas tergelincir semasa menaiki tebing 
yang tidak bertangga, mereka terpaksa meredah lumpur dan selut untuk naik ke 
tebing," katanya.
 
Mohd. Sofi berkata, kadang-kadang dia sendiri malu dan tidak tahu untuk 
memberikan jawapan apabila ditanya oleh pelancong asing.
 
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pahang&pg=wp_01.htm
 

Kirim email ke