Apakah masalah peserta-peserta  Rancangan Tanah Pinggir Air Gelugor 2 
,Gemencheh, Negeri Sembilan telah menemui jalan penyelesaiannya? Cuba bayangkan 
para peserta menerima pendapatan hasil sawit sebanyak RM 444 dalam masa 4 bulan 
. Pendapatan sebanyak RM 110 sebulan umur sawit 9 tahun yang sepatutnya 
hasilnya maksimum sedangkan peserta yang tidak bernaung bawah RISDA memperolehi 
pendapatan lebih kurang RM 600.
 
“Kami sudah hilang kepercayaan” 
 
Sinar Harian 4 Mac 2010
 
GEMENCHEH – Peserta Projek Tanam Semula Berkelompok (TSB) Kampung Tenai/Air 
Gelugor meluahkan rasa tidak puas hati dengan bayaran dividen diterima hasil 
pengeluaran buah kelapa sawit yang dikatakan tidak munasabah.
 
Mereka menyifatkan pembayaran dividen itu tidak setimpal sehingga terpaksa 
menanggung hutang bayaran ganti rugi mencecah puluhan ribu ringgit.
 
Peserta, Hassan Mohd Dom, 60, berkata, pembayaran dividen sebanyak RM100 
sebulan tidak memadai dengan segala usaha dilakukan, sebaliknya menyedari 
menanggung hutang ganti rugi RM10,648 bagi satu lot tanah selepas mencuba 
keluar daripada Projek TSB terbabit.
 
“Saya berasa amat kecewa dengan pentadbiran jawatankuasa pengelola Projek TSB 
kerana melakukan sebegini rupa. Kesemua peserta kebanyakannya adalah ibu 
tunggal serta warga emas.
 
“Pendapatan peserta semakin susut dengan anggaran purata RM80 hingga RM100 
sebulan mengikut keluasan tanah. Bayaran dividen ini sebenarnya tidak munasabah 
kerana hasil yang dikeluarkan kebun adalah 100 peratus,” katanya.
 
Hassan berkata, bayaran dividen itu menjadikan peserta atau pemilik tanah 
berada dalam lingkungan tahap miskin tegar.
 
“Bagaimanapun, peserta yang kecewa tidak boleh keluar daripada Projek TSB 
sebelum menjelaskan hutang bayaran ganti rugi terlebih dahulu,” katanya kepada 
Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, dekat sini, semalam.
 
Bayaran ganti rugi bertambah
 
Hassan berkata, peserta juga bingung kerana mendapati hutang bayaran ganti rugi 
projek yang dikenakan semakin bertambah tanpa mengetahui sebabnya.
 
Malah, katanya, jumlah ganti rugi mencecah puluhan ribu ringgit dan membebankan 
peserta.
 
Menurutnya, perkara itu pernah dibangkitkan dalam mesyuarat bersama 
jawatankuasa pengelola Projek TSB kampung bagi mendapatkan penjelasan, namun 
segala pertanyaan tidak dilayan.
 
“Rasa tidak puas hati juga timbul apabila pelantikan jawatankuasa pengelola 
Projek TSB kini dibuat secara dwi-tahunan berbanding terdahulu pada setiap 
tahun,” katanya.
 
Menurutnya, peserta ada memohon supaya jawatankuasa pengelola Projek TSB 
dipilih setiap tahun, namun, mereka hanya diberitahu proses pemilihan dibuat 
mengikut dwi tahunan.
 
Dividen tak relevan
 
Mokhtar Hamid, 56, berkata, pembayaran dividen yang diberikan kepada peserta 
setiap empat bulan sekali dengan anggaran purata RM100 sebulan adalah tidak 
relevan.
 
“Saya rasa tidak munasabah dengan pembayaran wang dividen yang diberikan 
mengikut lot tanah masing-masing kerana hasil buah kelapa sawit amat memuaskan. 
Sepatutnya peserta hanya menanggung hutang berjumlah kecil sekarang.
 
“Tambahan pula, saya yang juga salah seorang peserta TSB kampung ada mencuba 
mengusahakan sendiri projek di atas tanah milik ipar dan mampu meraih 
pendapatan sebanyak RM1,000 bagi tempoh 20 hari tanpa menanggung hutang,” 
katanya.
 
Mokhtar berkata, peserta merasakan sudah hilang tempat mengadu dan tidak dapat 
berbuat apa-apa melainkan akur untuk menjelaskan hutang bayaran ganti rugi 
dikenakan sekiranya mahu keluar daripada Projek TSB kampung ini.
 
“Kami ada menyuarakan permasalahan kami kepada Setiausaha Kerajaan (SUK) 
Negeri, Risda negeri dan daerah ini namun tidak pasti langkah diambil pihak 
berkaitan untuk menyelesaikan maslaah ini,” katanya.
 
JKKK sudah maklumkan Risda
 
Ahmad Ramlan, 63, mendakwa, terdapat sub kontraktor dilantik bagi memetik hasil 
tanaman menjalankan kerja di luar waktu ditetapkan dan aduan pernah dibuat 
kepada Risda daerah, namun tindakan tidak dapat diambil berikutan tiada bukti 
sahih.
 
Pengerusi Jawatankuasa Kese-lamatan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Tenai Air 
Gelugor, Baharudin Rashid ketika dihubungi mengesahkan ada menerima keluhan 
peserta projek TSB terbabit sekali gus menggesa pihak berwajib mengambil 
tindakan segera.
 
“Pihak JKKK sudah memak-lumkan kepada wakil rakyat kawasan, pentadbiran Risda 
peringkat daerah dan negeri bagi mengambil tindakan segera dengan memulangkan 
semula tanah peserta di samping melupuskan hutang bayaran ganti rugi.
 
“Hal ini perlu diperhalusi dan disegerakan proses penyelesaian-nya demi 
kesejahteraan peserta kerana saya sendiri sudah tidak tahan melihat kesusahan 
yang dialami mereka dengan pemberian dividen hasil tidak seberapa,” katanya.
 
Sementara itu Sinar Harian cuba menghubungi pihak Risda untuk mendapatkan 
penjelasan lanjut mengenai permasalahan itu namun gagal.
 
Tiada berlaku penyelewengan
 
Pengerusi Jawatankuasa Projek TSB, Siti Rohani Ayob berkata, tiada 
penyelewengan berlaku di dalam projek itu seperti didakwa, sebaliknya peserta 
perlu mematuhi peraturan yang sudah dipersetujui dalam projek itu.
 
Menurutnya, dividen diterima peserta lebih kecil jumlahnya sebelum beliau 
mengambil alih jawatan itu pada 1 Januari 2009.
 
“Sebelum ini, semasa Pengerusi lama memegang jawatan, peserta hanya mampu 
meraih dividen RM50 hingga RM150 setahun.
 
“Bagaimanapun sejak saya mengambil alih, mereka mampu meraih RM400 dalam tempoh 
tiga bulan,” katanya.
 
Beliau sendiri tidak faham mengapa ada pihak cuba menjatuhkannya sedangkan 
selaku Pengerusi, dia hanya menjaga dan membersihkan kawasan Projek TSB.
 
“Bagaimanapun apabila kawasan ladang sudah bersih dan cantik, timbul pula 
masalah dividen ini,” katanya.
 
Sumber :
http://pasns.blogspot.com/2010/03/kami-sudah-hilang-kepercayaan.html 
http://kgtenaiairgelugor.blogspot.com/2010/02/bila-tuk-din-berkata-2.html 

Kirim email ke