Malaysiakini , 20 Nov , 2011  
 
Beberapa bekas anggota tentera, yang telah berkhidmat selama beberapa dekad, 
tampil dan mendakwa gejala rasuah dalam Kementerian Pertahanan telah meletakkan 
nyawa mereka ibarat ‘telur di hujung tanduk’.
 
Seorang daripada mereka, semasa forum mengenai rasuah dalam industri 
pertahanan, memberitahu Malaysiakini, bahawa tindakan itu telah menyaksikan 
beberapa rakannya menjadi ‘kudung’ dan sebahagian besar mereka "menderita 
secara senyap".
 
Lelaki yang enggan namanya didedahkan itu kerana khuatir akan dikenakan 
tindakan tatatertib berkata, pegawai bukan tentera telah menolak cadangan pihak 
ketenteraan dan sebaliknya membeli peralatan kurang bermutu yang mempertaruhkan 
nyawa perajurit negara.
"Kita beli mesin gun HK 33 yang selepas tembakan sebanyak tiga pusingan akan 
tersekat. Ini memaksa askar mencampakkan senapang itu dan berjuang menggunakan 
parang,” katanya merujuk kepada satu operasi yang tidak dinamakannya.
 
Contoh lain, katanya, sekitar tahun 1970-an, kaki askar-askar dijangkiti 
sehingga ada yang terpaksa dipotong kerana but yang dibekalkan mereka karat. 
Ini kerana but yang dibekalkan itu diperbuat daripada kepingan zink dan 
bukannya aluminium seperti yang sepatutnya.
 
But berkenaan bertujuan melindungi kaki askar dari pancang perangkap samar yang 
tersembunyi ketika peperangan gerila di hutan. Namun, katanya, ia gagal untuk 
berbuat demikian kerana senang berkarat ketika askar-askar meredah hutan ketika 
hujan lebat.
 
Beliau turut memberi contoh, bagaimana, poncho atau baju hujan yang berkualiti 
rendah itu seringkali menyaksikan perajurit basah kuyup setiap kali hujan.
 
"Saya dalam kesejukan berada di hutan sedangkan seseorang telah mendapat habuan 
besar dan berseronok di tempat lain," katanya pada majlis anjuran Transparency 
International di Subang.
 
Lelaki itu juga mendakwa mutu makanan yang berkualiti rendah dibekalkan kepada 
pasukan tentera dan sekiranya pegawai mereka membuat bantahan, mereka pula akan 
dipindahkan ke tempat lain sebagai hukuman.
 
"Mereka tidak peduli. Saya percaya ia masih berterusan. Askar-askar kita  yang 
menderita,” rintihnya lagi.
 
http://www.malaysiakini.com/news/181858 

Kirim email ke