JEMPOL 22 Nov 2011 : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, 
Pakatan Rakyat kini semakin bertapak kukuh di pedalaman khasnya kawasan Felda 
yang sebelum ini dianggap kubu kuat Umno-Barisan Nasional.
 
Dalam satu program ceramah di Gugusan Felda Palong di sini malam tadi, Anwar 
berkata, ia memberikan isyarat bahawa Pakatan Rakyat kini semakin hampir ke 
Putrajaya dan bakal menyingkirkan Umno-BN pada Pilihan Raya Umum akan datang.
 
Ceramah berkenaan yang diadakan di Felda Palong 6, berjaya menarik kehadiran 
lebih 2,000 peneroka dari Gugusan Felda Palong.
 
Dalam ucapannya, Anwar melahirkan rasa terharu dengan sambutan luar biasa dan 
kehadiran ribuan peneroka Felda yang menandakan bahawa kubu kuat Umno di Negeri 
Sembilan itu berjaya ditembusi Pakatan Rakyat.
 
“Saudara dan saudari pada malam ini berjaya membuktikan bahawa akhirnya antara 
kubu Umno yang terkuat di Negeri Sembilan berjaya juga ditembusi.
 
“Saya percaya kebangkitan warga peneroka pada malam ini khususnya anak muda 
akan memberikan kemenangan kepada calon PR di Palong, Jeram Padang, Serting dan 
Jempol,” katanya di hadapan kira-kira 2,000 peneroka Felda dari Gugusan Felda 
Palong.
 
Anwar dalam ucapan lebih sejam mengingatkan Umno-BN terhadap penyelewengan yang 
dilakukan Felda dan kegagalan parti itu membela nasib peneroka.
 
Felda kini berdepan saman dari ribuan peneroka dari Negeri Sembilan, Kelantan, 
Johor dan Pahang ekoran penyelewengan yang dilakukan agensi itu terhadap hasil 
pendapatan peneroka.
 
“Nasihat saya kepada Umno, jangan berdendam, jangan balas dendam, jangan hukum 
orang apabila menyedari sokongan warga Felda kini mula berpihak kepada PR.
 
“Anda (Umno) harus persalahkan diri anda sendiri kerana gagal membela nasib 
warga peneroka Felda,” kata Anwar dan disambut dengan sorakan gamat daripada 
para hadirin.
 
Dalam program berkenaan Anwar turut menerima penyerahan borang kemasukan 
seramai 412 ahli baru KEADILAN dari Ranting Felda Palong 6; 105 ahli dari 
Ranting Felda Palong 4 dan 257 ahli dari Ranting Felda Palong 2.
 
Untuk rekod Gugusan Felda Palong mempunyai 16 Tanah Rancangan Felda bermula 
dari Felda Palong 1 dan berakhir dengan Felda Palong 16.
 
Beliau juga menyempurnakan pemberian Geran ‘Pengisytiharan Tanah Berkelompok 
Persendirian’ kepada 32 peneroka Felda Palong 8 yang mengusahakan penanaman 
semula getah dan kelapa sawit secara persendirian dan bukan melalui Felda.
 
Ketua Pembangkang itu turut menerima kemasukan 80 peneroka Felda Palong 8 yang 
menyerahkan Borang Permohonan Peneroka Generasi Baru.
 
http://www.keadilandaily.com/anwar-keadilan-tembusi-kubu-kuat-umno-felda/ 
 
KEADILAN lancar ‘Janji Palong’ bela peneroka Felda
 
JEMPOL 22 Nov 2011 : KEADILAN melancarkan manifesto warga Felda peringkat 
kebangsaan yang dikenali sebagai ‘Janji Palong’ bagi membela hak peneroka yang 
selama ini diabai kerajaan Umno-Barisan Nasional.
 
Manifesto itu dilancarkan oleh Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim 
pada perhimpunan warga Felda yang diadakan di Felda Palong 6 di sini malam tadi.
 
Program tersebut berjaya menarik kehadiran lebih 2,000 peneroka Felda di 
sekitar gugusan Felda Palong.
 
Anwar dalam ucapannya memuji usaha yang dilakukan Biro Masyarakat Felda dan 
Orang Asal KEADILAN (BMFOAK), dalam memperjuangkan hak peneroka yang ditindas 
oleh Felda di Gugusan Felda Palong dan sekitar Jempol.
 
Turut hadir dan memberi ucapan pada majlis itu Pengerusi BMFOAK, Suhaimi Said, 
Timbalan Pengerusi, T Kumar dan Setiausahanya, Rebin Birham.
 
Sebelum ini sebanyak lapan kes saman ke atas Felda yang melibatkan peneroka 
Felda Palong, Felda Serting dan Felda Jengka (Pahang) telah difailkan di 
Mahkamah yang dikendalikan oleh BMFOAK.
 
Janji Palong mengandungi 6 elemen penting di dalam perjuangan KEADILAN membela 
nasib Peneroka Felda dan Generasi Baru Felda.
 
Pertama, memansuhkan Felda Plantation seperti yang terkandung dalam Buku Jingga.
 
Kedua, menawarkan 830,000 ekar tanah Felda Plantation kepada 83,000 peneroka 
baru yang terdiri daripada generasi baru Felda.
 
Ketiga, berjanji membangunkan perumahan mampu milik untuk generasi baru yang 
menetap di kawasan Felda.
 
Keempat, menamatkan penipuan Kadar Perahan Gred (KPG) yang memerah hasil 
peneroka Felda.
 
Kelima, mengisytiharkan hutang Peneroka yang akan ditolak daripada pendapatan 
mengikut kiraan sebenar.
 
Dan keenam, pemberian insentif kepada peneroka tanam semula secara individu 
tanpa mengharapkan bantuan dan penggantungan kepada Felda.
 
http://www.keadilandaily.com/keadilan-lancar-janji-palong-bela-peneroka-felda/ 

Kirim email ke