Adakah ini merupakan kes terpencil atau ada lagi kes lain yang seumpama ini 
atau hampir serupa?
 
Jurutera terkejut diminta bayar hutang PTPTN
 
GEORGE TOWN 22 Nov. 2011 - Seorang jurutera elektrik terkejut apabila dituntut 
supaya melunaskan pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak 
RM4,320 walaupun beliau tidak pernah membuat pinjaman dari tabung pendidikan 
itu.
 
Loo Guay Hong, 33, berkata, beliau tidak pernah meminjam dengan tabung itu 
kerana mendapat tajaan biasiswa Tun Tan Cheng Lock sepanjang tiga tahun 
pengajiannya di Universiti Putra Malaysia (UPM) hampir 10 tahun lepas.
 
"Saya memang pernah membuat permohonan untuk pinjaman PTPTN tetapi 
membatalkannya setelah mendapat tajaan biasiswa,” katanya kepada pemberita 
selepas membuat aduan di Pejabat MCA di sini hari ini.
 
Katanya, beliau telah menghantar surat pembatalan pinjaman PTPTN melalui 
pengurusan universiti kerana enggan berhutang dengan tabung itu dari semester 
pertama lagi.
 
Beliau bagaimanapun hanya menyedari kononnya masih berhutang dengan PTPTN 
apabila dihalang oleh Jabatan Imigresen ketika ingin berlepas ke New Zealand 
pada 23 Oktober lepas atas alasan mempunyai rekod senarai hitam kerana 
berhutang dengan kerajaan.
 
Guay Hong berkata, apa yang menghairankannya ialah sejak menamatkan pengajian 
pada tahun 2002, beliau tidak pernah menerima sebarang surat mengenai tunggakan 
hutang daripada PTPTN yang dihantar ke alamat kolej pengajiannya.
 
"Sebelum ini, saya sering ke luar negara atas urusan kerja dan tidak pernah 
mempunyai sebarang masalah,” katanya.
 
Beliau kemudian menghubungi PTPTN dan terkejut apabila diminta membayar hutang 
dengan pendahuluan sebanyak RM1,000 untuk membersihkan namanya daripada 
disenaraihitam oleh kerajaan.
 
"Saya juga diminta membayar RM100 setiap bulan sehingga jumlah penuh pinjaman 
diselesaikan,” katanya.
 
Sementara itu, Timbalan Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Pulau Pinang, Lim Thoon 
Deong berkata, pihaknya telah meminta maklum balas dari pihak PTPTN dan UPM 
berhubung perkara ini.
 
"Berdasarkan rekod bahagian akaun di unit bendahari UPM, semua yuran pengajian 
yang dijelaskan oleh Guay Hong tidak pernah dibiayai oleh PTPTN,” katanya. - 
Bernama
 
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_24.htm
 

Kirim email ke