Adakah Pusat Ikan Hiasan Marin di Port Dickson yang berharga RM4.8 juta ini digunakan sepenuhnya dan menjadi antara tempat tumpuan pelancongan dan lawatan sempena cuti sekolah ini? Nampaknya ada 2 projek mega Industri Asas Tani di N.Sembilan ini. Projek penternakan lembu NFC di Gemas dan Pusat Ikan Hiasan ini. Pembinaan Pusat Ikan Hiasan Marin masih ada kecacatan PORT DICKSON 20 Sept. - Pusat Ikan Hiasan Marin berharga RM4.8 juta di Batu 7, Teluk Kemang dekat sini didapati, masih mempunyai kecacatan, akibat pembinaan tidak sempurna. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat berkata, projek pembinaan pusat itu dimulakan Disember 2007 dan dijadual siap Disember 2008. "Namun projek ini lewat siap, kira-kira setahun. Sepatutnya projek ini siap Disember 2008 tetapi lewat sehingga September 2009. Projek ini siap sepenuhnya September 2009 dan diserahkan pada 28 Disember 2009. "Ini bermakna mulai Januari hingga Disember tahun ini, merupakan tempoh kecacatan yang harus diperbaiki pada bangunan dan persekitaran pusat itu," katanya kepada pemberita ketika melawat pusat itu, hari ini. Katanya, unit teknikal Jabatan Perikanan, pihak kontraktor yang membina projek itu dan syarikat mengendalikannya mengenal pasti beberapa kecacatan berkenaan berdasarkan kepada pemerhatian dan penelitian mereka. Beliau berkata, projek itu adalah yang pertama di negara ini dan dibina di atas bekas tapak pusat penetasan udang galah seluas 0.85 hektar. Ia antara lain bertujuan meningkat dan mempelbagaikan pengeluaran ikan hiasan dan memperluaskan pasarannya. Aktiviti di pusat itu termasuk penyelidikan dan pembangunan ikan hiasan, pengeluaran ikan hiasan, program inkubator dengan penglibatan pihak swasta, latihan, pembangunan stok induk serta agrotourism dan pendidikan awam. Antara kemudahan yang terdapat di situ ialah pembiakan dan asuhan, galeri pameran, pejabat, makmal, setor, sistem bekalan dan rawatan air serta ruang pembungkusan dan pemunggahan. Katanya, syarikat inkubator yang dilantik mengendalikan pusat itu ialah Integrated Bumi Aquarium Express Sdn Bhd. Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Integrated Bumi Aquarium Express Sdn. Bhd., Datuk Saipuddin Ahmad berkata, pada peringkat pertama ini sebanyak 40 spesies ikan hiasan air tawar dan ikan marin sedang dibiakkan di pusat itu. Katanya, 100 peratus ikan hiasan yang dibiakkan di pusat itu akan dieksport ke luar negeri terutama negara Eropah kerana permintaan tinggi dan harganya yang kompetitif. - BERNAMA http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0921&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_05.htm http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_13.htm

