KUALA LUMPUR, 23 Nov 2011 : Kementerian Pertahanan diminta bertindak adil 
kepada bekas-bekas anggota tentera dan mereka yang masih berada dalam 
perkhidmatan, terutama melibatkan pencen dan caruman Lembaga Tabung Angkatan 
Tentera (LTAT).
 
Sehingga kini skim pencen yang diberikan kepada bekas-bekas anggota tentera 
hanyalah dikhususkan kepada mereka yang berkhidmat sehingga tidak kurang 21 
tahun, manakala mereka yang berhenti ketika perkhidmatan kurang tempoh itu 
tidak diberikan pencen.
 
Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria berkata, langkah tersebut ternyata 
tidak adil, malah jelas menganiaya bekas anggota tentera terbabit, pada hal 
mereka juga telah melakukan pengorbanan besar kepada negara walaupun tempoh 
perkhidmatannya kuurang 21 tahun.
 
Menurut beliau, untuk memberikan keadilan, mereka yang berkhidmat kurang 21 
tahun juga patut diberikan pencen oleh  pihak Kementerian Pertahanan.
 
Katanya, selain itu, kadar pencen di kalangan bekas tentera juga tidak sama 
antara mereka yang menamatkan perkhidmatan bermula tahun 2001 dan sebelumnya.
 
"Anggota tentera yang telah berkhidmat sehingga 21 tahun dan bersara mulai 
tahun 2001 menerima bayaran pencen llebih tinggi berbanding yang bersara 
sebelum tahun 2001. Ini jelas tidak adil dan menganiaya anggota tentera yang 
telah bersara sebelum tahun 2001.
 
" Oleh itu, bayaran pencen kepada mereka perlu diselaraskan bagi membolehkan 
mereka yang bersara sebelum tahun 2001 turut menerima bayaran pencen sama 
tinggi dengan mereka yang bersara mulai tahun 2001," katanya pada persidangan 
Dewan Rakyat, hari ini.
 
Ketika berucap membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 Peringkat 
Kementerian Pertahanan hari ini, beliau berkata, ketidakadilan juga turut 
berlaku berhubung caruman LTAT, apabila caruman tersebut hanya memberikan 
peluang kepada para pegawai.
 
Katanya, tabung tersebut ditubuhkan pada tahun 1991 yang disertakan 
penyelarasan gaji di kalangan anggota tentera ketika Perdana Menteri, Datuk 
Seri Najib Razak menjadi Menteri Pertahanan.
 
"Namun amat dikesali, caruman yang dibuat menerusi pembelian saham dengan 
potongan gaji 10 peratus itu tidak pula turut sama memberikan peluang kepada 
anggota tentera lain-lain pangkat.
 
"Demi keadilan, saya berharap agar anggota lain-lain pangkat turut diberkan 
peluang oleh pihak Kementerian Pertahanan bagi membolehkan mereka turut sama 
membuat caruman dalam tabung tersebut," ujarnya.
 
Beliau turut menyarankan pihak kementerian agar memberikan anugerah kepada 
Allahyarham Lafternan Adnan Saidi yang telah terkorban bersama 42 
rakan-rakannya dalam mempertahankan negara ketika penjajahan Jepun.
 
Kehebatan, komitmen dan kesungguhan Allahyarham dalam mempertahankan negara, 
katanya, tidak dapat dinafikan lagi oleh sebarang pihak malah turut diakui 
pihak tentera Jepun.
 
"Pihak tentera Jepun sendiri mengatakan jika ada 10 orang rakyat Malaysia 
seperti Allahyarham Adnan Saidi belum tentu negara ini dapat dijajah," tegasnya.
 
Pengorbanan Allahyarham, menurutnya, tidak sepatutnya dipandang sebelah mata 
dengan tidak diberikan anugerah yang sewajarnya oleh pihak kerajaan.
 
Ahli Parlimen Sik, Che Uda Che Nik, Ahli Parlimen Pendang, Dr Mohd Hayati 
Othman dan Ahli Parlimen Pokok Sena yang juga Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz 
Omar ketika bangun mencelah sewaktu penggulungan oleh Timbalan Menteri 
Pertahanan, turut mendesak pihak kerajaan memberikan keadilan kepada bekas 
anggota-anggota tentera.
 
Sementara itu, ketika ditemui di lobi Dewan Rakyat, Nasir Zakaria berharap agar 
pendedahannya ketika berucap membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 
Peringkat Kementerian Sumber Manusia kelmarin diberikan perhatian sewajarnya 
oleh pihak kementerian terbabit.
 
Dalam ucapannya, beliau mendedahkan beberapa aduan masalah yang sedang 
mencengkam pemandu-pemandu bas MARA Liner di seluruh negara.
 
Cengkaman tersebut berlaku ekoran tindakan pihak pentadbiran bas MARA Liner 
yang kini telah menghapuskan cuti isteri bersalin selama 7 hari kepada para 
pemandu bas tersebut.
 
Selain itu, cuti kematian waris dikurangkan dari 3 hari kepada 2 hari, 
kesukaran mendapatkan pinjaman bank disebabkan tidak mendapat sokongan majikan, 
tuntutan kerja lebih masa (OT) tidak dibayar jika melebihi 1/3 daripada gaji 
pokok.
 
Di samping itu, tuntutan elaun sewa khas bagi pemandu yang diarahkan keluar 
atas urusan sewa khas sebanyak RM17.00 terpaksa menunggu kadang-kadang hampir 6 
bulan baru dibayar, manakala bil hospital untuk rawatan dan perubatan keluarga 
pula tidak 'dicover' oleh majikan.
 
"Tentang jawatan pula, dari pengurus, penyelia sampai ke pemandu, semuanya  
bertaraf kontrak. Mereka terpaksa 'sign' kontrak dua tahun sekali. Sampai bila 
tak tahu bila mereka akan diberikan taraf jawatan tetap dan disahkan jawatan 
oleh majikan," jelasnya.
 
Belau berharap agar segala permasalahan yang dialami oleh para pemandu dan 
kakitangan bas tersebut diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak kementerian 
terbabit bagi kepentingan kebajikan mereka.
 
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6673-pencen-caruman-ltat-jangan-aniaya-bekas-tentera-
 
 
Bekas komando tuntut hak 
 
TANGGA BATU - Bekas Komando Angkatan Tentera yang pernah berjuang ketika zaman 
menentang pengganas komunis era 70-an menuntut kerajaan memberikan hak sama 
rata bagi Elaun Hilang Upaya anggota yang mengalami kecacatan kekal sewaktu 
mereka berkhidmat dahulu.
 
Koperal (B) Yaacob Hassan, 58, mendakwa, ketika ini kerajaan hanya menyediakan 
Skim Bayaran Pampasan Bencana Kerja (Ex-Gratia) bagi anggota tentera yang 
mengalami kecederaan bermula pada 2001 hingga sekarang.
 
Sedangkan menurutnya, anggota tentera sezaman dengannya hanya diberikan sedikit 
pampasan dianggap tidak setimpal berbanding zaman kini yang diberikan pelbagai 
kemudahan oleh pihak kerajaan.
 
Yaacob yang kehilangan pergelangan tangan kanan dan mengalami kecacatan tangan 
kiri akibat jerangkap samar ketika menyertai operasi mempertahankan negara 
daripada ancaman komunis pada 1976 di Gubir, Kedah mendakwa, hanya diberikan 
pampasan RM2,000 atas kecederaannya itu.
 
Menurutnya, ketika itu dia berumur 25 tahun dan terpaksa menerima hakikat 
menjalani kehidupan sebagai orang kurang upaya (OKU) seumur hidup.
 
“Umum sedia maklum, pada 2001 ke atas tiada lagi ancaman komunis. Bagi anggota 
yang menerima skim pencen bawah RM720 naik ke RM720.
 
“Tetapi, bagi yang sudah mencecah RM720 tidak merasa naik lagi. Begitu juga 
kadar elaun kecacatan kekal yang dibayar tidak sama rata antara kami. Tangan 
saya kudung dapat RM500 tetapi ada dalam kalangan rakan seperjuangan yang 
kudung kaki dapat RM150 sahaja,” katanya ketika meluahkan rasa tidak puas 
hatinya itu di rumahnya di Kampung Tanah Merah Jaya, semalam.
 
Yaacob berkata, golongan sepertinya berjuang melawan komunis tetapi jasa dan 
pengorbanannya bagaikan tidak dihargai.
 
“Apa salahnya jika kerajaan samakan bayaran kami semua dan serapkan dalam 
pencen. Saya dah jumpa pelbagai pihak untuk menyuarakan masalah ini tetapi 
malangnya masih tidak berhasil walaupun saya sudah perjuangkan perkara ini 
sejak 1978 lagi.
 
“Bukan saya sahaja yang tertunggu-tunggu perkara ini, bahkan hampir 200 bekas 
tentera seperti saya yang menjadi OKU kerana berperang dengan komunis menunggu 
tindakan kerajaan," katanya.
 
Menurutnya, golongan tentera kini dilayan istimewa oleh kerajaan apabila 
disediakan dengan pelbagai kemudahan dan insurans berkelompok serta pelbagai 
skim berbanding zaman dahulu.
 
“Bagi yang cedera atau terkorban ketika berkhidmat di luar negara, mereka 
dibayar dengan puluhan ribu ringgit.
 
“Kami pula diberikan sedikit sumbangan, kadang-kadang RM200 dan kadang-kadang 
RM500 ketika menghimpunkan kami sewaktu menyambut Hari Pahlawan, Hari 
Kemerdekaan ataupun hari raya,” katanya.

Kirim email ke