Adun wanita DAP `serang’ Menteri Besar N.Sembilan
Zefry Dahalan
November 24, 2011 
 
Berhubung kenyataan Datuk Seri Mohamad Hasan kadang kala jenayah juga berpunca 
daripada kecuaian orang ramai yang tidak mengunci pintu dan meletakkan tong gas 
di belakang rumah.
 
SEREMBAN: Sidang DUN Negeri Sembilan hangat seketika apabila Adun wanita Wong 
May  May (DAP-Mambau) “menyerang” Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan 
berhubung kenyataan kadang kala jenayah juga berpunca daripada kecuaian orang 
ramai yang tidak mengunci pintu dan meletakkan tong gas di belakang rumah 
mereka.
 
Mohamad (BN-Rantau) berkata demikian ketika menjawab soalan asal P Gunasekaran 
(DAP-Senawang) yang meminta kes jenayah perlu dibanteras secepat mungkin agar 
orang awam bebas bergerak dan berada di dalam situasi yang selamat.
 
Jawapan  itu membangkitkan kemarahan May May apabila beliau mendesak Mohamad 
meminta maaf kerana menyalahkan mangsa jenayah.
 
“Jawapan ini menghina dan meletakkan kesalahan pada mangsa jenayah sedangkan 
peratusan mangsa cuai adalah amat kecil.
 
“Malah rumah Adun Lobak, Loke Siew Fook sendiri pernah dipecah masuk sehingga 
pintu bilik beliau turut dipecah walaupun rumah beliau mempunyai tiga kunci dan 
bilik juga berkunci”, kata May May.
 
Ketika itu  Zainal Abidin Ahmad (BN-Sungai Lui) mencelah dengan bertanya pada 
May May “Mambau masuk bilik Lobak kah?”.
 
Desak minta maaf
 
Pertanyaan yang berbaur lucah tersebut membuatkan wajah May May agak berang. 
Bagaimanapun May May tidak menghiraukan Zainal Abidin dan terus mengasak 
Mohamad dengan mendesak meminta maaf.
 
May May juga turut mempertikaikan jawapan Mohamad bahawa kadar jenayah telah 
menurun sebanyak 20 peratus.
 
May May berkata kadar jenayah tidak turun tetapi mungkin ramai yang tidak mahu 
membuat laporan polis kerana hilang keyakinan ke atas pihak polis .
 
“Ada mangsa yang membuat lima hingga enam laporan polis tetapi tiada 
tindakan.Kadang kala terpaksa menunggu sehingga berjam-jam untuk membuat 
laporan polis dan menunggu pegawai penyiasat (IO).
 
“Mangsa yang dalam keadaan seperti ini sudah tentu akan hilang keyakinan kepada 
pihak polis”, ulas May May lagi.
 
Mohamad  bangun dan menjelaskan bahawa beliau tidak bermaksud meletakkan 
kesalahan kepada orang ramai yang cuai sebagai punca jenayah tetapi sekadar 
mengingatkan bahawa tanggungjawab untuk memastikan tahap jenayah terkawal itu 
adalah tanggungjawab bersama dan bukan seratus peratus diletakkan di atas bahu 
pihak berkuasa semata-mata.
 
http://www.freemalaysiatoday.com/2011/11/24/sidang-dun-adun-wanita-dap-serang-menteri-besar/
 

Kirim email ke