Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 25 Nov 2011 : Kerajaan BN diminta membatalkan sahaja kursus 
perguruan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) jika tiada penempatan 
mengajar kepada para graduannya.
 
Sekiranya langkah itu tidak dilakukan, ia hanya akan menyusahkan para 
pelajarnya, sedangkan mereka telah menghabiskan masa beberapa tahun untuk 
menamatkan pengajian masing-masing.
 
Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria berkata, para graduan UPSI yang masih 
belum mendapat peluang mengajar pasti amat kecewa dengan kejadian itu, pada hal 
nasib buruk sedemikian tidak seharusnya diterima oleh mereka.
 
Menurutnya, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi sepatutnya 
telah membincangkan secara terperinci perkara itu dan mengambil langkah yang 
sewajarnya untuk mengatasinya.
 
Katanya, namun sehingga kini masalah ketiadaan peluang mengajar bagi 
graduan-graduan UPSI itu masih berterusan dan kejadian seperti itu juga pasti 
akan turut dialami oleh para pelajar baru nanti sekiranya pihak kerajaan terus 
gagal menyelesaikannya dalam masa terdekat.
 
"Pihak kerajaan sepatutnya telah membincangkan perkara ini dengan baik agar 
mereka mempunyai penempatan. Kalau tiada penempatan untuk mereka, lebih baik 
dibatalkan sahaja kursus perguruan di UPSI," katanya ketika ditemui 
Harakahdaily, di sini.
 
Perkara itu turut disuarakan oleh beliau ketika berucap membahaskan Rang 
Undang-undang Perbekalan 2012 Peringkat Kementerian Pengajan Tinggi pada 
persidangan Dewan Rakyat kelmarin.
 
Dalam perbahasan itu, beliau turut menarik perhatian kementerian terbabit 
mengenai prosedur yang digariskan oleh kementerian itu untuk setiap universiti 
membuka kursus atau kos baru kepada para pelajar.
 
Katanya, sehingga kini terdapat beberapa kursus di beberapa buah pusat 
pengajian tinggi yang masih tidak diiktiraf oleh JPA dan Agensi Kelayakan 
Malaysia (MQA).
 
"Kursus-kursus tersebut termasuk Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di 
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Ijazah Kewangan Islam (Takaful) di 
Kolej Universiti Islam Selangor dan Medical Program di Insaniah.
 
"Adakah pihak kementerian sedar wujudnya beberapa kursus yang masih tidak 
diiktiraf oleh MQA dan JPA itu? Jika sehingga graduasi, kursus yang diambil 
oleh pelajar masih tidak diiktiraf, bagaimana pelajar-pelajar itu ingin 
mendapatkan pekerjaan?" tanyanya.
 
Pihak kementerian, tambahnya, sewajarnya tegas dengan isu tersebut dan beliau 
mencadangkan agar hanya kursus yang telah diiktiraf sahaja yang dibenarkan 
dibuka untuk pelajar universiti atau pusat pengajian tinggi.
 
Sebelum itu, beliau turut menyentuh tentang Program Mybrain15 dengan meminta 
pihak kerajaan menyediakan peruntukan lebih besar bagi dimanfaatkan oleh lebih 
ramai pelajar termasuk bagi MyMaster dan MyPhD.
 
Beliau juga turut mendesak agar Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej 
Universiti (AUKU) 1971  dimansuhkan kerana akta tersebut ternyata sudah tidak 
relevan lagi dengan perkembangan kini.
 
Kelmarin, Mahkamah Rayuan turut memutuskan akta tersebut yang melarang 
mahasiswa menzahiirkan sokongan atau bangkangam dalam politik sebagai tidak sah 
dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
 
Menurut beliau, keputusan majoriti 2-1 oleh panel tiga hakim yang diketuai 
Datuk Wira Low Hop Bing itu dibuat selepas mahkamah membenarkan rayuan empat 
penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang didakwa terbabit dalam 
kempen pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor pada April tahun lalu.
 
Katanya, keputusan tersebut sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi 
Kuala Lumpur pada 28 September 2010 yang memutuskan seksyen berkenaan tidak 
melanggar Perlembagaan selepas menolak saman pemula keempat-empat penuntut itu.
 
"Saya menghayati pendirian Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifudin 
Abdullah yang komited bahawa AUKU perlu dipinda, tetapi kami dari Pakatan 
Rakyat lagi komited bahawa AUKU ini perlu dimansuhkan terus dalam sejarah hidup 
mahasiswa di universiti," tegasnya.
 
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6699-sampai-bila-graduan-upsi-tiada-tempat-mengajar
  

Kirim email ke