39 pelatih PLKN gaduh. KUALA KANGSAR , 2 Dis 2011 - Sepuluh pelatih Program 
Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Desa Rimba, Sauk, di sini cedera malam 
kelmarin, dalam pergaduhan melibatkan 39 pelatih, sebahagian daripada mereka 
mengguna peralatan di kem sebagai senjata.
 
Mereka yang cedera dipukul dengan batang kayu, besi, tali pinggang dan beberapa 
peralatan lain.
 
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Guan Beng Kang 
berkata, kejadian itu hanya disedari jurulatih kem berkenaan kira-kira jam 
11.30 malam.
 
Menurutnya, ketika membuat rondaan, jurulatih berkenaan terdengar bunyi bising 
dari arah asrama dan mendapati sekumpulan pelatih sedang bergaduh.
 
“Melihat kejadian itu, jurulatih yang bertugas memanggil beberapa jurulatih 
lain untuk meleraikan perbalahan di antara pelatih-pelatih berkenaan.
 
“Setelah diperiksa didapati 10 daripada mereka mengalami kecederaan di badan 
dan kepala. Malah, seorang pelatih yang hanya bertindak meleraikan pergaduhan 
turut menjadi mangsa serangan,” katanya pada sidang media, di pejabatnya di 
sini, semalam.
 
Beliau berkata, semua pelatih sepatutnya pulang ke rumah pada hari ini (Khamis) 
kerana sudah tamat latihan dan kem akan ditutup pada jam 10.00 pagi.
 
“Bagaimanapun, 29 daripada pelatih yang disyaki terlibat itu ditahan untuk 
memberikan keterangan sebelum dibenarkan pulang, manakala 10 pelatih yang 
cedera dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Kangsar.
 
“Polis turut merampas senjata yang digunakan, termasuk besi dan batang kayu 
yang diambil daripada palang almari,” katanya.
 
Katanya, siasatan awal mendapati punca pergaduhan disebabkan perselisihan faham 
di antara pelatih-pelatih tersebut sehingga menimbulkan perasaan tidak puas 
hati.
 
“Kesemua mereka yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
 
"Kes ini akan dirujuk kepada pihak berkaitan untuk siasatan selanjutnya,” 
katanya. 
 
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/39-pelatih-plkn-gaduh-1.9235 
 
Koleksi berita-berita kematian, kemalangan, pergaduhan dan lain-lain berkaitan 
PLKN di Blog Berita PLKN di http://beritaplkn.blogspot.com 

Kirim email ke