MStar 3 Dis 2011 
 
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengesahkan bahawa sejumlah 13 jenis produk 
yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) tidak menepati spesifikasi 
Peraturan Kawalan Makanan 1985 dan tindakan telah diambil untuk memastikan ia 
dikeluarkan daripada rak-rak jualan.
 
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong berkata, produk-produk itu ialah susu 
segar, susu sejat, susu pekat manis, sos tiram, jem buah-buahan, kari ayam tin, 
kordial mangga, minyak sapi, kacang tanah, mentega kacang berkrim,mentega 
kacang ranggup, sardin tin, dan soso tomato.
 
Katanya, produk-produk ini juga tidak menepati spesifikasi penglabelan, 
komposisi produk dan tidak menepati aspek keselamatan makanan.
 
Liow juga berkata, ekoran dari itu, pihak kementerian turut menjalankan 
pemeriksaan ke atas 30 kilang yang membekalkan makanan-makanan berkenaan ke 
kedai KR1M.
 
Beliau menyatakan pihak kementerian juga telah mengambil 93 sampel dari 43 
produk makanan yang dijual di KR1M untuk tujuan analisis.
 
Katanya lagi, Kementerian Kesihatan akan terus memantau kualiti makanan yang 
dijual di kedai KR1M dan konsumer yang mempunyai maklumat ke atas sebarang 
produk yang meragukan supaya menghubungi pihak berkuasa dengan serta merta.
 
Isu mengenai kualiti produk yang dijual di KR1M yang tidak mematuhi spesifikasi 
yang ditetapkan oleh kementerian telah dibangkitkan oleh ahli parlimen DAP, 
Tony Pua baru-baru ini.
 
Dalam hubungan ini, kata Liow tindakan Tony Pua mengumumkan tentang perkara 
tersebut secara terbuka telah menjejaskan pihak berkuasa menjalankan siasatan 
kerana apabila pemeriksaan dilakukan sebahagian daripada produk yang meragukan 
itu telah pun dikeluarkan dari rak jualan.
 
Bagaimanapun Liow berkata, pihak kementerian telah berjaya mengesan siapakah 
pihak yang mengeluarkan produk-produk makanan itu.
 
Tambah beliau dari Januari hingga Ogis tahun ini, 125,709 barangan yang dibawa 
masuk ke Malaysia telah diperiksa di bawah Sistem Maklumat Keselamatan Makanan.
 
“Hasil siasatan dan ujian mendapati, 1.1% daripada barangan ini didapati 
melanggar Akta Makanan 1983 dan Peraturan Kawalan Makanan 1985,” ujarnya.
 
Untuk produk tempatan pula, 41,518 sampel telah diambil dari Januari hingga 
September tahun ini dan daripadanya 4.9% telah didapati melanggar Akta Makanan 
1983 dan Peraturan Kawalan Makanan 1985. 
 
http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/12/3/mstar_berita/20111203160322&sec=mstar_berita
 

Kirim email ke