Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin menegaskan hanya borang 
asli BR1M boleh digunakan untuk memproses bantuan RM500, tidak boleh 
menggunakan borang yang difotostat. Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad 
Husni Hanadzlah pula berkata boleh guna yang difotostat. Apakah Menteri pun 
tidak sependapat dengan cara memproses bantuan RM500 ini atau ada sesuatu yang 
tidak kena?
 
Hanya borang asli
Harian Metro, 17 Dis 2011
 
BACHOK: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak menerima borang permohonan 
fotostat yang dikemukakan mendapatkan bantuan RM500 skim Bantuan Rakyat 
1Malaysia (BR1M) yang ditutup permohonannya hujung bulan ini.
 
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, pemohon perlu 
terlebih dulu memastikan borang permohonan yang hendak diisi asli. 
“Kerajaan hanya menerima permohonan melalui borang asli yang dikeluarkan LHDN 
yang mula diedarkan awal bulan ini,” katanya kepada pemberita selepas 
menyerahkan wang ehsan kepada petani di Kampung Alor Ganu, di sini semalam. 
 
Seramai 56 petani menerima bantuan RM50,000 berikutan tanaman padi yang 
diusahakan mereka musnah diserang penyakit karah. 
 
Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan 
berkata, LHDN mempunyai mekanisme mengesahkan sama ada borang permohonan yang 
diterima tulen atau sebaliknya. 
 
Menurutnya, kerajaan mengeluarkan borang permohonan yang mencukupi bagi isi 
rumah berpendapatan tidak lebih RM3,000 sebulan yang layak memohon bantuan itu. 
- Bernama
 
http://www.hmetro.com.my/articles/2011121703120520111217031205/Article 
 
Borang BR1M yang difotostat boleh digunakan: Ahmad Husni
Berita Harian 17 Dis 2011 
 
IPOH: Borang skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang difotostat daripada 
borang asal boleh digunakan orang ramai untuk membuat permohonan bagi 
mendapatkan bantuan RM500 melalui inisiatif berkenaan, kata Menteri Kewangan 
Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah hari ini. 
 
"Borang asli yang telah difotostat boleh digunakan, selagi format borang tidak 
diubah, maka ia sah digunakan," katanya kepada pemberita di sini. Beliau 
berkata pihaknya banyak menerima pertanyaan berikutan kekeliruan orang ramai 
berhubung penggunaan borang permohonan BR1M yang difotostat bagi tujuan 
mendapatkan bantuan itu. Ahmad Husni berkata orang ramai tidak perlu panik dan 
menasihatkan mereka supaya mendapatkan borang tersebut yang diedarkan melalui 
agensi-agensi yang dipertanggungjawabkan. 
 
Katanya sehingga Khamis lalu, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah 
menerima dua juta borang permohonan BR1M daripada orang ramai dan sudah mula 
memproses permohonan berkenaan. 
 
Tarikh akhir menghantar borang permohonan BR1M ialah 10 Jan 2012. 
 
Ahmad Husni berkata borang BR1M akan diiklankan di akhbar-akhbar utama pada 
Isnin ini selain boleh didapati melalui laman web Kementerian Kewangan. 
Mereka yang berdaftar dengan e-Kasih Jabatan Kebajikan Masyarakat juga akan 
mendapat pemberian RM500 itu. 
 
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya membuat laporan polis jika 
didatangi pihak tidak bertanggungjawab yang mengenakan bayaran selain meminta 
nombor akaun bank bagi mendapatkan bantuan berkenaan. – BERNAMA
 
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BorangBR1Myangdifotostatbolehdigunakan_AhmadHusni/Article
 

Kirim email ke