SAYA amat berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri 
Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang sentiasa mengambil berat tentang 
keperluan murid-murid di sekolah. 
 
Bagi persediaan Penggal Persekolahan 2012 ini, 'Touch Point' beliau ialah 1 
Murid 1 Meja 1 Kerusi 1 set Buku Teks. Saya amat gembira dengan adanya 'touch 
point' tersebut di mana saya menganggarkan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia 
telah pun membuat pengagihan secukupnya bagi meja, kerusi dan buku-buku teks 
kepada setiap sekolah untuk setiap murid. 
 
Namun begitu saya difahamkan hanya murid Tahun 1 dan Tingkatan 1 sahaja diberi 
keutamaan untuk mendapat kelengkapan tersebut. Jadi bagaimanakah nasib 
murid-murid lain di sekolah? 
 
Saya seorang warga pendidik yang agak keliru dengan apa yang berlaku sekarang. 
Saya telah menghadiri Mesyuarat Guru Kali Pertama Bagi Tahun 2012 di sekolah 
saya di Dengkil. 
 
Pihak pentadbir sekolah telah membuat keputusan untuk meminta guru-guru 
menyumbangkan RM50.00 seorang bagi menampung kos pembelian meja dan kerusi 
murid bagi sesi persekolahan 2012. Manakala murid pula akan diminta untuk 
membayar RM10.00 seorang bagi tujuan tersebut. 
 
Menurut pihak pentadbir, keputusan ini terpaksa dibuat kerana sekolah berada 
dalam keadaan kritikal untuk menyediakan meja dan kerusi bagi murid. 
 
Justeru saya masih lagi terfikir-fikir akan siapakah sebenarnya yang 
bertanggungjawab untuk menyediakan kelengkapan murid tersebut? Saya bukan mahu 
berkira tetapi saya berpendapat ada pihak yang lebih bertanggungjawab dapat 
menyelesaikan perkara ini. 
 
Walaupun RM50.00 itu nampak kecil jumlahnya, janganlah kos penyediaan meja dan 
kerusi murid diletakkan di bahu guru kerana guru juga mempunyai tanggungan lain 
yang perlu diselesaikan. 
 
GURU KELIRU
Dengkil, Selangor
Utusan Malaysia, 4 Jan 2012 
 
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_03.htm
 

Kirim email ke